ULASAN Penangkapan secara sewenang-senang dan pendakwaan terpilih yang semakin kerap terhadap pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, menjelang sambutan ulangtahun Merdeka ke-57 pada 31 Ogos ini, menandakan lahirnya Despotisme Baru dalam landskap politik Malaysia.
Semalam sahaja dua orang pemimpin Pakatan Rakyat diheret ke
mahkamah untuk berhadapan dengan dakwaan jenayah, iaitu Naib Presiden PKR dan MP Pandan Rafizi Ramli serta MP PKR Padang Serai N Surendran.
Rafizi didakwa dengan tuduhan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan ‘fitnah dan provokasi’ terhadap ahli Umno, manakala Surendran dikenakan dakwaan di bawah Akta Hasutan berhubung dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan liwat 2 – dakwaan di bawah Akta Hasutan kedua yang dikenakan terhadap Surendran dalam masa 10 hari.
Dalam sepuluh hari terakhir ini juga seorang MP Pakatan yang lain dan dua ADUN diheret ke mahkamah. MP PAS Shah Alam Khalid Samad dan ADUN DAP Seri Delima RSN Rayer didakwa di bawah Akta Hasutan, manakala ADUN PAS Changkat Jering Datuk Seri Nizar Jamaluddin didakwa dengan fitnah jenayah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
MP Pakatan lain yang sedang dibicarakan di bawah Akta Hasutan termasuk MP DAP Seputeh Teresa Kok dan MP PKR Batu Tian Chua.
Jika kerajaan Barisan Nasional berjaya bukan sekadar menyabitkan, malah dengan hukuman denda lebih RM2,000 dan penjara setahun yang membatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat, ia bermakna lima Pilihan raya Kecil (PRK) peringkat Parlimen bakal diadakan, iaitu Seputeh, Batu, Pandan, Padang Serai dan Shah Alam dan dua PRK peringkat DUN - Seri Delima dan Changkat Jering.
Jika kita menyertakan kemungkinan PRK di Permatang Pauh, iaitu kalau Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini, maka kita melihat kepada kemungkinan besar enam PRK peringkat Parlimen yang berpunca daripada siri terbaru tangkapan dan pendakwaan terhadap pimpinan Pakatan.
Ini adalah kemuncak ironi kerana Najib, pada Julai 2012, telah
mengumumkan yang Akta Hasutan akan dimansuhkan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara demokrasi terbaik di dunia,” namun hakikatnya beliau mencipta rekod baru menggunakan akta itu terhadap Ahli Parlimen dan ADUN.
Malah, ‘pencapaian’ beliau mengatasi 22 tahun ‘zaman gelap’ di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir.
Lima MP (termasuk Karpal Singh) dan seorang ADUN telah didakwa kerana menghasut sepanjang enam tahun pentadbiran Najib.
Sedangkan sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir hanya seorang MP yang didakwa, dipenjara, dan digugurkan sebagai MP, iaitu Lim Guan Eng.
Tentunya, Mahathir ‘dibantu’ Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal dengan tahanan tanpa bicara, namun ia bukanlah alasan untuk memulakan zaman kuku besi baru di bawah kepimpinan Najib.
Kebebasan demokratik akan terjejas jika Akta Hasutan dan undang-undang lain yang tidak demokratik dan menindas digunakan sebagai senjata.
Bukan sahaja Najib dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang perlu dipertanggungjawabkan atas era kuku besi baru di Malaysia, seluruh menteri kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional harus dipertanggungjawabkan.
Mereka perlu menjauhkan diri daripada tindakan-tindakan yang menyebabkan kemerosotan demokrasi. Jika tidak, mereka boleh dianggap bersubahat melahirkan era pemerintahan kuku besi baru di Malaysia.
LIM Kit Siang adalah Ahli Parlimen Gelang Patah