Followers

Tuesday, March 31, 2015

Bung: Nasib baik polis tak acu pistol ke kepala

 

Perbahasan panas berlangsung di Parlimen berhubung perhimpunan Kita Lawan.

Anggota Parlimen Umno Bung Mohtar Radin berkata di sesetengah negara, polis sudah pun mengacukan senjata masing-masing.

Wakil rakyat Kinabatangan itu mengeluarkan kenyataan itu ketika bertegang urat dengan wakil PKR daripada Kapar G Manivanan.

Bung membidas pembangkang susulan kritikan terhadap polis berhubung siasatan dan tangkapan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis.

Katanya pembangkang bernasib baik kerana Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menggunakan senjata untuk menyuraikan perhimpunan.

Bung berhujah, pembangkang sering membuat masalah dengan perhimpunan mereka tetapi apabila polis bertindak, mereka mendakwa polis kejam dan menyalah guna kuasa.

Katanya, di negara lain, sewaktu penguatkuasaan polis kadang kala mengacukan pistol ke kepala.

Berang dengan kenyataan itu, Manivannan meminta Timbalan Speaker Datuk Roland Kiandee menegur Bung.

BN Selangor digesa segera lantik Ketua Pembangkang FMT Reporters

 
hannah-yeoh-IMG_6429-72DUN tidak mengiktiraf jawatan penyelaras dan hanya jawatan Ketua Pembangkang sahaja yang diiktiraf.
SHAH ALAM : Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) Selangor disaran menyemak semula keputusan tidak menamakan calon Ketua Pembangkang baharu pada persidangan DUN yang bermula hari ini.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, ini disebabkan selepas DUN melakukan pindaan peratuan tetap pada November tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan (PAC) Selangor dan Ketua Pembangkang harus diisi oleh BN.

Menurut beliau, walaupun kepimpinan BN Selangor memutuskan untuk memilih Mat Nadzari Ahmad Dahlan iaitu ADUN Batang Kali sebagai Penyelaras ADUN BN, jawatan tersebut tidak diiktiraf oleh DUN Selangor.

“Selepas Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias meletak jawatan, saya telah menulis dua surat kepada kepimpinan BN Selangor untuk menamakan Ketua Pembangkang yang baru dan mereka membalas secara rasmi yang mengatakan mereka tidak berhasrat untuk melantik seorang Ketua Pembangkang tetapi mereka mempunyai seorang penyelaras.

“DUN tidak mengiktiraf jawatan penyelaras dan hanya jawatan Ketua Pembangkang sahaja yang diiktiraf,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-3 Dewan Negeri Selangor yang ke-13 tahun 2015 di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Hannah menggesa supaya BN menamakan Ketua Pembangkang dengan secepat mungkin agar DUN Selangor mempunyai semak dan imbang

Hannah turut ditanya siapakah penyelaras yang dilantik oleh BN Selangor dan beliau berkata “penyelaras itu (ADUN) Batang Kali (Mat Nadzari Ahmad Dahlan), tapi jawatan itu tidak diiktiraf”,” katanya.

Hannah turut ditanya adakah BN akan dikenakan tindakan kerana tidak melantik Ketua Pembangkang dan beliau menyatakan BN tidak ada tindakan dikenakan.

“Kita melihat jika tidak ada Ketua Pembangkang, mereka tidak bersedia untuk menjadi kerajaan sekali lagi. Semudah itu.

“Selagi kerusi itu tidak diisi oleh BN, maka selagi itulah mereka belum bersedia untuk menjadi kerajaan lagi,” katanya.


FMT

GST akan menjerut BN di PRU14?

Jika BN gagal kendali GST, impaknya pada PRU. Ho Kit Yen | March 30, 2015 Pakatan Rakyat (PR) mungkin akan menggunakan peluang itu dengan janji memansuhkan GST dalam manifesto pilihan raya mereka. Datuk-Ibrahim-Ali_600

KUALA LUMPUR: Perkasa akui sebarang masalah berkaitan GST yang gagal diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pelaksanaannya kelak akan digunakan sebagai peluang oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk memancing undi daripada rakyat. “Bolehkah kerajaan menjamin harga akan terus dikawal dan tidak wujud sebarang masalah selepas GST dilaksana?”.

“Jika mereka (kerajaan) gagal menangani masalah dalam tempoh tiga tahun, maka ia akan membawa kepada kegagalan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang,” kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini. Beliau menambah, Pakatan Rakyat (PR) mungkin akan menggunakan peluang itu dengan janji memansuhkan GST dalam manifesto pilihan raya mereka.

“PR boleh menggunakan helah ‘memansuhkan GST’ dalam manifesto mereka jika masalah GST gagal diselesaikan oleh kerajaan,” katanya lagi. Ibrahim berharap agar kerajaan mengambil langkah yang wajar untuk mengawal keadaan selepas pelaksanaan GST pada hari Rabu ini.

Sementara itu, beliau juga menyeru Putrajaya untuk menilai semula gaji minimum dan mencadangkan ia dinaikkan kepada RM1,200 berbanding hanya RM900 kini.

Ia adalah untuk membendung kenaikan harga barangan selaras dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan cukai kelak (GST).

Jelasnya, dengan menaikkan gaji, ia boleh memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Cara itu boleh mengurangkan keluhan dan beban akibat kenaikan harga disebabkan pelaksanaan GST,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Perkasa di sini hari ini. “Tentu sekali RM900 sebulan terlalu rendah dan tidak mencukupi,” katanya.

“Walaupun terdapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM 600, atau RM50 sebulan, ia masih tidak cukup walhal untuk menampung dua orang sekalipun, “katanya. “Dengan gaji minimum semasa, saya ragu-ragu jikalau Malaysia boleh mencapai status negara maju dalam tempoh lima tahun,” katanya lagi.

Posted by mountdweller

MB jamin rakyat, kedaulatan Selangor diutamakan FMT Reporters

Komited untuk memuktamadkan perjanjian utama industri air di Selangor dengan syarat kerajaan pusat tidak berganjak daripada semangat dan prinsip dalam terma perjanjian.

azminSHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini memberi jaminan bahawa, kepentingan rakyat dan kedaulatan negeri Selangor akan diutamakan dalam perjanjian penstrukturan air di negeri itu .

Komitmen itu, tegas beliau, adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri itu dimuktamadkan segera.

“Saya dah nyatakan berulang kali bahawa kami komited untuk memuktamadkan perjanjian utama industri air di Selangor dengan syarat kerajaan pusat tidak berganjak daripada semangat dan prinsip dalam terma perjanjian yang telah ditandatangani.

“Dan ini ditegaskan sendiri oleh Sultan Selangor supaya kerajaan negeri memelihara kedaulatan negeri selangor,” katanya di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor yang antara lain mahu perjanjian penstrukturan semula industri air di negeri itu dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada 12 September 2014.

Katanya, adalah menjadi prinsip kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor selama ini untuk tidak mempolitikkan perjanjian air yang telah ditandatangani dan pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili bagi memuktamadkan syarat-syarat perjanjian secepat mungkin.

Mohamed Azmin sebelum ini mengumumkan keputusan kerajaan Selangor untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar beberapa terma Perjanjian Utama yang ditandatangani September tahun lepas.


FMT

Pelawak Popular Didakwa Minta Gambar Bogel

 Seorang pelawak popular didakwa bermain cinta dengan ramai wanita dengan menggunakan popularitinya serta pelbagai tipu helah.


Perkara itu didedahkan oleh seorang wanita bernama Sasha yang juga merupakan salah seorang mangsa kepada pelawak tersebut.


"Bukan saya seorang saja yang dieprdaya serta ditipu oleh lelaki itu. Ketika melepak bersama kawan-kawan, saya terkejut kerana pelawak itu juga cuba untuk mengurat mereka.

"Ini bukannya tuduhan melulu kerana saya berani tampil membuat pengakuan berdasarkan bukti yang ada pada saya. Helah yang digunakan sama saja iaitu dengan meminta gambar bogel serta mahu berborak secara 'video call'.

"Dia pandai berdrama membuat muka sedih meminta simpati dengan pelbagai kenyataan yang dibuat olehnya. Namun saya percaya sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga," katanya.

Tambah Sasha lagi, dia berasa muak dengan perangai pelawak itu dan berkata bukan setiap wanita murah dan senang termakan janji manis.

"Bukan setiap wanita murah dan termakan janji manis dengna begitu mudah. Saya harap dia segera berhenti membuat kerja bodoh sebelum jatuh kerana perangai buruknya sendiri."

Dalam pada itu, Sasha turut menegaskan dia tidak berniat untuk menjatuhkan pelawak itu tetapi tindak tanduknya yang membuatkan popularitinya merudum.

"Saya tahu dia pasti akan memutar belit cerita selepas mengetahui kenyataan yang dibuat oleh saya ini. namun saya bukan bercakap kosong tetapi ada bukti yang saya simpan dan jika perlu saya akan tunjuk semuanya."

Tren monorel terbakar FMT Reporters

Kejadian jam 8.50 pagi itu menyebabkan kesesakan lalulintas di sepanjang Jalan Tun Razak.

monorail-terbakar

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan monorel dihentikan sementara waktu berikutan berlakunya kebakaran pada tayar sebuah gerabak di stesen monorel Titiwangsa pagi tadi.

“Kebakaran di stesen monorel Titiwangsa. Pasukan polis dan bomba berada di lokasi. Trafik sesak di sekitar lokasi,” mengikut twitter dari ITIS DBKL yang dimuat naik kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.

Ketua Pegawai Operasi Bomba Kuala Lumpur, Shamsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.52 pagi tentang kebakaran itu dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik tiba, kesemua penumpang diarahkan keluar dan pihak pengendali monorel diarahkan mengalihkan gerabak yang terbakar ke satu tempat jauh dari bangunan.

Beliau berkata 22 anggota dan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Kebakaran tersebut turut menyebabkan Jalan Tun Razak sesak tetapi terkawal kerana polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menutup sebahagian laluan bagi memudahkan tugas pasukan Bomba.


FMT

Monday, March 30, 2015

Polis siasat rompakan rumah keluarga Hannah Yeoh FMT Reporters

Lima lelaki bertopeng tidak dikenali bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa pada jam 10 pagi.

Hannah-Yeoh_600 

KUALA LUMPUR: Polis kini melakukan siasatan terhadap kes pecah masuk dan rompak ke atas rumnah keluarga Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh di USJ 13.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Tan Ah Chua berkata, perompak yang melakukan rompakan itu bersenjatakan parah dan rumah terbabit terletak di dalam kawasan kejiranan berpagar.

“Jadi polis sekarang sedang menyoal siasat pihak pengawal keselamatan bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai suspek terutama bagaimana mereka boleh lepas masuk, kenderaan yang diguna serta penampilan mereka,” katanya.

Menurut Tan, lima lelaki bertopeng tidak dikenali bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa pada jam 10 pagi.

Suspek melarikan wang tunai RM8,000, barang kemas, minuman keras dan beberapa barangan lain.
“Kami juga telah merakamkan keterangan mangsa dan meminta bantuan daripada Unit Forensik Polis Selangor,” kata Ah Chua, lapor The Rakyat Post.

Menurut Ah Chua, lima ahli keluarga Yeoh serta amah mereka berada di dalam rumah ketika suspek masuk melalui pintu bahagian tepi rumah yang tidak berkunci.

Tambahnya, suspek kemudian mengarah mangsa berkumpul di dalam bilik tv lalu diikat, dan kemudian menggeledah rumah berkenaan selama kira-kira 20 minit sebelum melarikan diri dengan kenderaan yang belum dikenalpasti.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11 pagi setelah dihubungi oleh seorang daripada mangsa yang berjaya melepaskan diri setelah suspek melarikan diri.

Rumah mangsa dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), namun peranti rakamannya turut dilarikan suspek.

Hannah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Subang Jaya sebelum ini dilaporkan turut memaklumkan mengenai kejadian rompakan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter.


FMT

POTA dibentang dalam Parlimen - Faiz Zainudin

Akta baharu perlu digubal bagi mencegah individu daripada melakukan sebarang aktiviti keganasan dalam dan luar negara 

hamidi

KUALA LUMPUR: Tujuh rang undang-undang (RUU) yang merangkumi dua akta baharu bagi membendung aktiviti jenayah negara akan dibentang kerajaan hari ini.

RUU tersebut akan di bentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat.

Dua daripada rang undang-undang berkenaan ialah Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 dan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara akan memperuntukkan kuasa kepada ketua polis negara dan ketua pengarah Imigresen Malaysia untuk menggantung atau membatalkan semua dokumen perjalanan Malaysia yang telah dikeluarkan kepada seseorang atau individu.

“Penggantungan atau pembatalan sedemikian adalah perlu untuk mencegah orang (Individu) daripada melakukan perbuatan tersebut,” menurut kandungan kertas rang undang-undang tersebut.

Dalam peruntukan Fasa 5 akta tersebut, setiap dokumen perjalanan Malaysia milik individu boleh digantung dan dibatalkan bagi mencegah individu tersebut keluar negara untuk menyertai perbuatan atau menyokong akiviti keganasan.

“Akta ini hendaklah, berhubung dengan mana-mana orang, walau apa pun kerakyatannya atau kewarganegaraannya, mempunyai kuat kuasa di luar dan juga di dalam Malaysia, dan jika suatu kesalahan di bawah akta ini dilakukan oleh mana-mana orang di mana-mana tempat di luar Malaysia, dia boleh diuruskan berkenaan dengan kesalahan sedemikian seolah-olah kesalahan itu dilakukan di mana-mana tempat dalam Malaysia,” kata dokumen RUU itu lagi.

Sementara itu, bagi warganegara Malaysia yang ditahan dokumen,mereka tidak diberi sebarang tempoh penahanan sebaliknya dibenarkan untuk membuat permohonan bertulis kepada ketua Imigresen.

Manaka bagi warganegara asing yang bersalah atas tuduhan melakukan kegiatan keganasan, pihak kerajaan boleh menahan dokumen perjalanan mereka selama 14 hari.

Dalam pada itu, lima lagi akta sedia ada yang akan dipinda‎ termasuklah; rang undang-undang Penjara (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) di Dewan Rakyat, 6 hingga 9 April ini.

Menurut Zahid, akta itu yang digubal khusus bagi mengekang penularan kegiatan keganasan dan ekstremisme, berbeza dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan sebelum ini.

“POTA ini berbeza dengan ISA, tidak seperti didakwa beberapa peguam hak asasi manusia.

“Ini kerana kuasa eksekutif untuk menahan pesalah tidak berada di tangan seorang menteri tetapi agensi pencegahan jenayah,” katanya.


FMT

GST beri kesan negatif kepada mahasiswa - FMT Reporters

Impak negatif lebih nyata daripada kesan positif yang diuar-uarkan oleh kerajaan selama ini 

ppkim

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memohon penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam isu kenaikan kos pendidikan dan sara hidup mahasiswa.

PKPIM juga mendesak Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan bersuara mempertahankan nasib mahasiswa yang telahpun menjadi mangsa kenaikan harga yuran perkhidmatan pengajian dan barangan.

Persatuan tersebut mendesak demikian ketika menyuarakan kerisauan dan keresahan akan nasib para pelajar khususnya mahasiswa yang menuntut di peringkat pengajian tinggi selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April ini.

“GST yang diuar-uarkan di media sebagai ‘baik’ dan ‘dapat mengurangkan harga barangan’ ternyata suatu penyelewengan daripada realiti,” ujar Presiden PKPIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh dalam satu kenyataan, lapor Harakahdaily.

Pihak kami menerima aduan daripada para mahasiswa bahawa mereka telah menerima notis daripada pihak pentadbiran universiti tentang kenaikan harga yuran pengajian, yuran asrama, dan yuran berkaitan yang menyebabkan kos sara hidup mereka semakin meningkat.

Kerajaan telah berjanji bahawa beberapa barangan dan sektor perkhidmatan dikecualikan daripada GST. Antaranya adalah sektor kesihatan, pengangkutan awam dan pendidikan (exempted) dan beberapa barangan keperluan asas (zero-rated).

Namun, pihak kami meragui kesan pengecualian GST atas perkhidmatan tersebut kerana penyedia perkhidmatan tetap dikenakan GST dalam kos pentadbirannya.

Justeru, walaupun pengguna perkhidmatan tersebut dikecualikan daripada GST tetapi harga perkhidmatan akan tetap dinaikkan, dan mahasiswa akan menjadi mangsa.

Mungkin sesetengah pihak menarik nafas lega setelah Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan bahawa buku-buku akan termasuk dalam kelompok barang perbekalan berkadar sifar.

Namun begitu, akibat pelaksanaan GST, pihak pencetak dan penerbit buku tetap akan menaikkan harga buku walaupun tanpa GST dan rakyat tetap akan terbeban dengan kenaikan tersebut.

Apatah lagi, dalam riuh rendah keresahan rakyat terhadap GST, tiba-tiba secara mengejut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kenaikan harga tambang perkhidmatan awam yang berkuatkuasa serta merta, menjadikan keadaan semakin meresahkan.

Dalam masa yang sama, pinjaman PTPTN pun telah dikurangkan dan tindakan ini menjadi penyebab kehidupan kemahasiswaan semakin tertekan. Perlu diingat bahawa mahasiswa adalah kelompok yang tidak berkerjaya dan tiada perolehan pendapatan.

Mahasiswa juga terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barang secara mendadak. Mereka juga perlu berbelanja untuk makanan, perkhidmatan awam, yuran pengajian, buku akademik dan peralatan pengajian.

Atas pertimbangan ini, ramai mahasiswa marah dan sesetengah mereka menyatakan bantahan secara terbuka termasuk melalui tunjuk rasa dan demonstrasi. Tindakan mereka adalah disebabkan rasa kesal terhadap janji kerajaan untuk mengutamakan rakyat.

Oleh demikian, PKPIM juga mencadangkan agar KPM:

i) Mengawal harga dan memberikan pengecualian kepada mahasiswa daripada terkena impak segera GST khususnya untuk harga makanan dan minuman di kafe universiti, serta harga barangan dan perkhidmatan dalam kampus.

ii)Menjamin perlindungan kepada mahasiswa daripada kenaikan harga yuran pengajian dan servis lain seperti asrama dan perkhidmatan oleh universiti.

iii) Diskaun kepada mahasiswa untuk perkhidmatan awam, pembelian buku dan barangan pengajian. Kad Siswa 1 Malaysia wajar diperluaskan penggunaannya.

“Perlu dinyatakan di sini, sebagai pertubuhan mahasiswa, kami juga melakukan survei dan kajian impak ini secara ilmiah.

“Bukanlah telahan kami ini bermaksud menafikan kesan positif GST untuk perkembangan ekonomi negara akan tetapi melihat kepada kondisi semasa ketidakstabilan ekonomi dalam negara, kami berpandangan adalah tidak sesuai untuk ia dilaksanakan.

“Ternyata impak negatif lebih nyata daripada kesan positif yang diuar-uarkan oleh kerajaan selama ini.”

Kegagalan KPM memenuhi tuntutan ini akan menatijahkan kesan buruk kepada mahasiswa dan tidak mustahil aksi-aksi bantahan akan terus dijalankan secara lebih agresif.


FMT

GST tidak perlu di Malaysia

Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan pendapat beliau mengenai pelaksanaan GST di Malaysia melalui surat terbuka yang disiarkan di Harakahdaily.



GST calculator

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
Salah guna

Melihat rakyat marhaen berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak pada hujung minggu yang lalu menggambarkan kerisauan yang mendalam di kalangan rakyat terhadap GST.

Situasi tersebut adalah sama seperti yang disaksikan di stesen minyak pada malam terakhir sebelum harga diumumkan naik pada hari keesokannya.

Fenomena ini menunjukkan rata-rata pembeli merasakan harga barangan akan meningkat selepas 1 April ini.

Majoriti negara di dunia ini melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.

GST tidak pernah diperlukan selama ini di negara kita kerana negara Malaysia sebenarnya kaya dengan sumber asli.

Sejak zaman Pak Lah sehinggalah sekarang, kita mula kedengaran hutang negara menjadi semakin meningkat menghampiri 55% GDP.

Kita mula mendengar penyelewengan dan salah guna dana awam yang semakin meruncing setiap tahun di dalam laporan audit tahunan.

Samar-samar cari jawapan

Selepas itulah, baru kita terdengar negara Malaysia tiba-tiba memerlukan GST untuk memperbetulkan defisit kewangannya.

Ketika rakyat masih samar-samar mencari jawapan, tanpa sedar, GST bakal menemui rakyat Malaysia dalam dua hari lagi.

Persoalannya, apakah negara sudah bersedia dengan GST?

Apakah kerajaan sudah melakukan persiapan yang cukup dan melakukan simulasi terhadap apa yang akan berlaku bilamana GST terlaksana?

Jika ya, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana (RM5,000 ke bawah)? Apakah kesannya kepada hutang seisi rumah? Tanpa GST, rata-rata rakyat marhaen sudah hidup dalam keadaan hutang sekeliling – bagaimana pula selepas GST?

Bagaimana pula dengan golongan pencen dan tua? Apakah kerajaan sudah membuat simulasi kesan GST terhadap mereka? Apakah semua ini sudah dikaji, dan daripadanya terhasil satu tindakan susulan untuk membantu mereka selepas GST terlaksana?

Selain itu, apakah kerajaan sudah membuat simulasi kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan seterusnya sejurus GST dilaksanakan? Jika ya, sekadar pertanyaan, apakah kerajaan sudah ada satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang dijangkau kerajaan untuk mengelakkan rakyat tertekan dan terbeban?

GST yuran universiti

Bukan itu sahaja, apakah GST akan menyebabkan peningkatan kadar penggangguran kerana mungkin ada perniagaan-perniagaan bermodal sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk menampung kos perniagaan yang meningkat kerana GST? Apakah kerajan sudah melakukan simulasi terhadap situasi ini? Jika ya, apakah hasilnya?

Ada juga yang tertanya-tanya mengenai kesan GST pada yuran di universiti awam? Apakah pelajar yang sedang mengaji perlu membayar 6% tambahan kepada pemprosesan yuran universiti dan apa-apa kos pentadbiran universiti yang lain termasuk bayaran peperiksaan dan juga graduasi?

Bagaimana pula dengan pihak PTPTN, apakah kerajaan sudah mengkaji apakah wajar pelajar diberikan pinjaman tambahan untuk menampung kos kehidupan mereka selepas GST terlaksana?

Apakah saluran sudah disediakan untuk para konsumer yang menjadi mangsa untuk mendapatkan pampasan sekiranya mereka terbayar GST kepada barangan yang sepatutnya dikecualikan GST? 

Bagaimanakah para konsumer boleh mengetahui samada mana-mana satu kedai boleh mengenakan GST mahupun tidak? Bagaimana pihak kastam dapat memantau kutipan GST haram daripada mereka yang tidak layak mengenakan GST?

Pokoknya, apakah kita sebagai satu negara sudah bersedia dengan GST?

Tangguh 6 bulan

Maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa tidak lagi bersedia. Dan saya yakin ramai lagi yang bersetuju dengan saya.

Saya percaya ramai rakyat biasa hanya sekadar bersedia dan tahu mereka terpaksa berbelanja lebih apabila GST terlaksana tanpa mengetahui apa-apa yang lain dan kesannya.

Kerajaan pula dilihat hanya menyibukkan diri untuk menyakinkan rakyat bahawa GST tidak akan menyebabkan peningkatkan kos sara hidup daripada tugas untuk memastikan perlaksanaan GST tidak bermasalah.

Melihat bagaimana kerajaan tiba-tiba tidak mengenakan GST pada buku pada saat-saat akhir sebelum melaksanakan GST menyakinkan saya lagi bahawa kerajaan masih tidak bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST.

Saya merasa perlunya untuk kerajaan melaksanakan tempoh percubaan GST selama tiga bulan, contohnya di Langkawi, untuk menilai keberkesanan sistem GST yang ada sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara.

Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, inilah masanya untuk mendahulukan rakyat. Jangan perjudikan nasib rakyat dengan pelaksanaan GST yang masih tidak menentu dan stabil.

Oleh itu, saya memohon agar kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST sekurang-kurangnya untuk 6 bulan untuk memastikan segala impak pada negara dan rakyat dapat diminimumkan. 

Lebih baik jika kerajaan dapat memansuhkannya sahaja dan fokus kepada usaha menangani rasuah dan ketirisan dengan cara lebih efektif.

Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Naib Presiden Pas dan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
With a firm belief in freedom of expression and without prejudice, FMT tries its best to share reliable content from third parties. Such articles are strictly the writer’s personal opinion. 

FMT does not necessarily endorse the views or opinions given by any third party content provided.

Sultan perintah perjanjian air dimuktamadkan segera - FMT Reporters

 Penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak agar ia dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kehidupan rakyat.

Sultan-Selangor

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berharap penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor dapat dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma Perjanjian Utama yang telah ditandatangani pada 12 September 2014.

Sultan Sharafuddin turut yakin pendekatan bersemuka dan berbincang dapat menyelesaikan persoalan itu secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga Selangor.

“Beta juga mahu langkah-langkah persediaan diambil untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik dan industri.

“Air adalah satu keperluan yang sangat penting untuk keperluan rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-3 Dewan Negeri Selangor yang ke-13 tahun 2015 di sini hari ini.

Sultan Selangor turut menyeru supaya penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak agar ia dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kehidupan rakyat.

Pada 25 Mac lalu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTha) menyatakan kerajaan persekutuan masih kekal dengan perjanjian yang sama berhubung isu air di antara kerajaan negeri Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, sehingga kini tiada sebarang perubahan melibatkan terma projek Langat 2.

“Masih kekal pada perjanjian air sebelum ini sementara menunggu surat daripada kerajaan negeri pula,” katanya

Pada 23 Mac lalu, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk memuktamadkan keputusan perjanjian air bersama kerajaan persekutuan.

Keputusan perbincangan penyambungan semula perjanjian air itu dibuat selepas mengambil kira kesediaan KeTTha untuk kembali semula kepada terma perjanjian utama air yang ditandatangani pada 2014.


FMT

Ringgit Malaysia susut kerana faktor luaran - Mohamad Fadli

 
Penyusutan RM membolehkan sebahagian sektor ekonomi di Malaysia akan menerima manfaat dan sebahagian lagi terjejas.
ringgit

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong mendakwa penyusutan pada nilai Ringgit Malaysia (RM) yang berlaku bukan satu kes terpencil tetapi didorong faktor luaran.

Beliau berkata penyusutan RM juga dialami oleh negara serantau yang lain di antara 1.1 peratus sehingga 9.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak September 2014 hingga 20 Mac 2015.

“Pengukuhan dolar AS adalah disebabkan oleh prospek ekonomi AS yang semakin baik dan kemungkinan kenaikan faedah yang menarik minat pelabur terhadap aset dalam nilai Dolar.

“Disebabkan faktor itu negara-negara pengeksport ekonomi termasuk Malaysia turut mengalami kesan selain kejatuhan harga minyak mentah dunia,” katanya di Parlimen.

Katanya lagi, penyusutan RM membolehkan sebahagian sektor ekonomi di Malaysia akan menerima manfaat dan sebahagian lagi akan terjejas.

“Secara khususnya penyusutan nilai RM akan memberi manfaat kepada pengeskport perkilangan negara yang menyumbang dua pertiga daripada jumlah eksport kasar.

“Kejatuhan nilai RM juga akan memberi manfaat kepada industri pelancongan melalui impak positif kepada akaun semasa dalam imbangan pembayaran negara,” kata Ahli Parlimen Labis-BN.

Walau bagaimanapun, penyusutan nilai RM akan menyebabkan kenaikan kos import dan kesan langsung kepada indeks harga pengguna.

“Ini kerana barangan yang diimport secara terus dari luar negara akan menjadi lebih mahal.
“Namun kesan kadar inflasi adalah kecil kerana barangan import tidak termasuk diesel dan petrol mencakupi 7.2 peratus,” katanya lagi.

Tambahnya, penyusutan nilai RM juga akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan bahan mentah yang diimport.

“Namun kesan ini akan diserap oleh harga bahan mentah yang lebih rendah susulan kejatuhan harga minyak global dan harga komoditi,” jelasnya.

Justeru, kerajaan akan terus mengambil langkah seperti memantau rizab antarabangsa bagi menstabilkan pertukaran mata wang.


FMT

Tukar slogan #Kita Lawan- Saravanan - Faiz Zainudin

 Saya risau penggunaan slogan itu mungkin menyebabkan belia yang berwibawa di Selangor tidak menyertai lagi aktiviti sukan.

saravanan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan menggesa kerajaan Negeri Selangor untuk segara menukar slogan #Kita Lawan yang digunakannya sebagai slogan rasmi sukan Malaysia (Sukma 2016) di Sarawak nanti.

Jelas beliau, slogan #Kita Lawan sebelum ini jelas digunakan pihak pembangkang untuk menentang kerajaan dan ia akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan belia terhadap slogan tersebut.

“Saya risau penggunaan slogan itu mungkin menyebabkan belia yang berwibawa di Selangor tidak lagi menyertai aktiviti sukan.

“Ini akan merugikan golongan beliau dan industri sukan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab bertindak membetulkan keadaan kerana perkara ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak terutamanya golongan muda negara.

“Saya harap mereka tidak libatkan politik dengan sukan. Jangan bagi jenama politik terhadap sukan negara dan saya gesa supaya pihak kerajaan Selangor tukar slogan #Kita Lawan kepada slogan lain yang lebih bersemangat kesukanan,” tegas beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari mengumumkan slogan itu selepas mempengerusikan mesyuarat dengan persatuan sukan di negeri itu pada Jumaat

#Kitalawan dipilih menjadi slogan kegunaan dalam kalangan atlet oleh kerajaan Selagor mewakili negeri tersebut sekali gus menjadikan beberapa pihak tidak berpuas hati malah kecewa dengan sikap kerajaan itu yang menggunakan politik dalam semangat kesukanan.


FMT

Gantikan segera Tanah Rizab Melayu yang telah dibatalkan – Sultan Selangor Khairil Ashraf

 Sebarang bentuk penggantian tanah baru harus “serupa keadaannya” dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif. 

sultan

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya hak-hak orang Melayu dan Bumiputera dipertahankan termasuk jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, sebarang bentuk penggantian tanah baru harus “serupa keadaannya” dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.

“Beta mahu usaha menggantikan Tanah Rizab Melayu yang telah dibatalkan akibat projek-projek pembangunan digantikan segera,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-3 Dewan Negeri Selangor yang ke-13 tahun 2015 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri khususnaya di Pantai Timur dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Baginda menegaskan, pengurusan alam sekitar dan ekosistem melalui pemuliharaan hutan simpan kekal dan penanaman pokok mesti diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

“Beta mahu jumlah keluasan hutan simpan kekal di Negeri Selangor tidak kurang 30 peratus dari keluasan tanah Negeri Selangor,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyokong usaha kerajaan negeri untuk memastikan kesempurnaan pembangunan melalui pembangunan teknologi hijau yang mesra alam serta mensasarkan Selangor sebagai negeri rendah karbon bagi menjamin persekitaran yang sihat.

Projek pembangunan Taman Hijau yang akan dibangunkan oleh kerajaan negeri juga boleh dinikmati oleh penduduk Selangor untuk tujuan riadah dan rekreasi bagi menjamin kualiti kehidupan bersama keluarga, titah beliau,

FMT

Hadi tidak tahu PR ada masa depan atau tidak Mohamad Fadli

 
Sekiranya DAP sudah tidak percaya kepada PAS, itu terpulang kepada dia (DAP)

hadiawang540px_4

KUALA LUMPUR: PAS tetap akan konsisten dengan pendirian parti itu untuk menegakkan Islam dan ingin berlaku adil terhadap semua kaum.

Kenyataan itu disuarakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengulas mengenai kemelutnya antara PAS dan DAP dalam pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Syariah atau dikenali sebagai Hudud.

Katanya, pendirian PAS tetap sama, namun beliau tidak menolak pendirian parti lain yang mungkin hanya memperjuangkan satu kaum sahaja.

“Itu terpulang kepada masing-masing. Tujuan kita satu iaitu untuk menyelamatkan semua.
“Tiada perjuangan yang mudah. Sekiranya Hudud tidak dapat dilaksanakan di Kelantan, PAS sudah ada alternatif atau jalan yang lain,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Mengulas lanjut sama ada Pakatan Rakyat (PR) mempunyai masa depan atau tidak, Hadi berkata beliau tidak tahu.

“Kita lihat dahulu. Sekiranya DAP sudah tidak percaya kepada PAS, itu terpulang kepada dia (DAP).

“DAP juga sudah buat kenyataan bersetuju dan tidak bersetuju. Saya tidak terperanjat, sudah lama kita tahu,” katanya Ahli Parlimen Marang.

Tambahnya, sekiranya Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan, beliau tidak menolak negeri-negeri lain akan turut mengikuti langkah sedemikian dan menggalakkan orang bukan Islam juga untuk menerima Hudud.

“InshaAllah Hudud akan menggalakkan negeri lain dan menggalakkan orang bukan Islam untuk menerimanya,”ujarnya.

Katanya lagi, pembentangan Hudud di Parlimen akan dibuat mengikut kesesuaian masa.
“Namun, sekiranya tidak sempat dibentangkan pada sidang kali ini, Hudud akan tetap dibentangkan di Parlimen pada masa hadapan,” akhirinya.


FMT