Impak negatif lebih nyata daripada kesan positif yang diuar-uarkan oleh kerajaan selama ini
KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
memohon penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam isu
kenaikan kos pendidikan dan sara hidup mahasiswa.
PKPIM juga mendesak Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan
bersuara mempertahankan nasib mahasiswa yang telahpun menjadi mangsa
kenaikan harga yuran perkhidmatan pengajian dan barangan.
Persatuan tersebut mendesak demikian ketika menyuarakan kerisauan dan
keresahan akan nasib para pelajar khususnya mahasiswa yang menuntut di
peringkat pengajian tinggi selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) April ini.
“GST yang diuar-uarkan di media sebagai ‘baik’ dan ‘dapat
mengurangkan harga barangan’ ternyata suatu penyelewengan daripada
realiti,” ujar Presiden PKPIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh dalam satu
kenyataan, lapor Harakahdaily.
Pihak kami menerima aduan daripada para mahasiswa bahawa mereka telah
menerima notis daripada pihak pentadbiran universiti tentang kenaikan
harga yuran pengajian, yuran asrama, dan yuran berkaitan yang
menyebabkan kos sara hidup mereka semakin meningkat.
Kerajaan telah berjanji bahawa beberapa barangan dan sektor
perkhidmatan dikecualikan daripada GST. Antaranya adalah sektor
kesihatan, pengangkutan awam dan pendidikan (exempted) dan beberapa
barangan keperluan asas (zero-rated).
Namun, pihak kami meragui kesan pengecualian GST atas perkhidmatan
tersebut kerana penyedia perkhidmatan tetap dikenakan GST dalam kos
pentadbirannya.
Justeru, walaupun pengguna perkhidmatan tersebut dikecualikan
daripada GST tetapi harga perkhidmatan akan tetap dinaikkan, dan
mahasiswa akan menjadi mangsa.
Mungkin sesetengah pihak menarik nafas lega setelah Perdana Menteri
baru-baru ini mengumumkan bahawa buku-buku akan termasuk dalam kelompok
barang perbekalan berkadar sifar.
Namun begitu, akibat pelaksanaan GST, pihak pencetak dan penerbit
buku tetap akan menaikkan harga buku walaupun tanpa GST dan rakyat tetap
akan terbeban dengan kenaikan tersebut.
Apatah lagi, dalam riuh rendah keresahan rakyat terhadap GST,
tiba-tiba secara mengejut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
mengumumkan kenaikan harga tambang perkhidmatan awam yang berkuatkuasa
serta merta, menjadikan keadaan semakin meresahkan.
Dalam masa yang sama, pinjaman PTPTN pun telah dikurangkan dan
tindakan ini menjadi penyebab kehidupan kemahasiswaan semakin tertekan.
Perlu diingat bahawa mahasiswa adalah kelompok yang tidak berkerjaya dan
tiada perolehan pendapatan.
Mahasiswa juga terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barang secara
mendadak. Mereka juga perlu berbelanja untuk makanan, perkhidmatan
awam, yuran pengajian, buku akademik dan peralatan pengajian.
Atas pertimbangan ini, ramai mahasiswa marah dan sesetengah mereka
menyatakan bantahan secara terbuka termasuk melalui tunjuk rasa dan
demonstrasi. Tindakan mereka adalah disebabkan rasa kesal terhadap janji
kerajaan untuk mengutamakan rakyat.
Oleh demikian, PKPIM juga mencadangkan agar KPM:
i) Mengawal harga dan memberikan pengecualian kepada mahasiswa
daripada terkena impak segera GST khususnya untuk harga makanan dan
minuman di kafe universiti, serta harga barangan dan perkhidmatan dalam
kampus.
ii)Menjamin perlindungan kepada mahasiswa daripada kenaikan harga
yuran pengajian dan servis lain seperti asrama dan perkhidmatan oleh
universiti.
iii) Diskaun kepada mahasiswa untuk perkhidmatan awam, pembelian buku
dan barangan pengajian. Kad Siswa 1 Malaysia wajar diperluaskan
penggunaannya.
“Perlu dinyatakan di sini, sebagai pertubuhan mahasiswa, kami juga melakukan survei dan kajian impak ini secara ilmiah.
“Bukanlah telahan kami ini bermaksud menafikan kesan positif GST
untuk perkembangan ekonomi negara akan tetapi melihat kepada kondisi
semasa ketidakstabilan ekonomi dalam negara, kami berpandangan adalah
tidak sesuai untuk ia dilaksanakan.
“Ternyata impak negatif lebih nyata daripada kesan positif yang diuar-uarkan oleh kerajaan selama ini.”
Kegagalan KPM memenuhi tuntutan ini akan menatijahkan kesan buruk
kepada mahasiswa dan tidak mustahil aksi-aksi bantahan akan terus
dijalankan secara lebih agresif.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.