Followers

Monday, December 14, 2015

Ibu tunggal dipenjara 20 hari curi pakaian

Akibat mencuri baju, seluar dan pakaian dalam, seorang ibu tunggal dihukum penjara 20 hari dan denda RM500 Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Norlida Muhammad, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri 24 helai baju, seluar dan pakaian dalam yang kesemuanya bernilai RM1,157.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh ditangkap iaitu semalam dan turut memerintahkannya dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu bersama adiknya Noramira Muhammad, 20, seorang suri rumah di Pasaraya Aeon Jusco, Maluri, Cheras pada pukul 4.30 petang semalam.

Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhkan hukuman terhadap Noramira kerana menunggu laporan akhlak dan membenarkannya diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes pengadu yang merupakan pekerja di pasar raya itu melihat kedua-dua beradik itu dalam keadaan mencurigakan sedang memilih beberapa pakaian dan masuk ke dalam bilik persalinan.

Pengadu mengekori kedua-dua tertuduh apabila melihat mereka bergerak ke tempat parkir kereta selepas keluar dari bilik persalinan tanpa membuat sebarang bayaran.

Ketika rayuan Norlida yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah, dia mencuri pakaian itu untuk kegunaan harian dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung seorang anak berusia 8 tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Siamalah. – Bernama, 14 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.