Apabila berbicara mengenai kemiskinan, terutamanya kedaifan ekonomi
orang Melayu, kita lebih tertumpu terhadap kemiskinan fizikal, iaitu
dari segi wang ringgit dan harta.
Justeru bajet negara, mahupun pelbagai rancangan pembangunan, lebih
tertumpu kepada menghapuskan kadar kemiskinan, baik di desa mahupun di
bandar. Data menunjukkan kita telah berjaya dalam usaha murni ini, malah
pencapaian kita adalah antara yang terbaik di dunia.
Namun, kemiskinan tidak boleh dilihat hanya dari satu dimensi.
Kemiskinan bukan sahaja merujuk kepada kekurangan harta, tetapi lebih
penting lagi, adalah kemiskinan jiwa dan cita-cita.
Hal ini telah digariskan oleh Pendeta Zaaba
dalam rencana ‘The Poverty of the Malays’ yang ditulis hampir sembilan
dekad lalu. Jika ini dijadikan kayu ukur, kita telah gagal.
Kemiskinan sebegini masih lagi tebal membelenggu kaum Melayu, ataupun
lebih tepat lagi, terutamanya, golongan yang kaya dan terpelajar.
Adakah kaum Melayu telah atau berupaya memerdekakan diri dari penjajahan minda dan jiwa? Jawapannya jelas, tidak.
Malah, tidak keterlaluan jika diusulkan bahawa kemiskinan dari segi
akhlak dan moral kini berada di tahap kronik. Berdasarkan tindak balas
kaum Melayu terhadap isu urus tadbir semasa, ia merudum jatuh ke tahap
yang terburuk dalam sejarah.
Tidak pernah terjadi dalam sejarah tanah air, baik sebelum mahupun selepas kemerdekaan, di mana pemimpin yang dicemari pelbagai skandal dan jelik akhlaknya masih dijunjung tinggi melangit.
Pemimpin sebegini, seperti diungkapkan oleh tokoh falsafah agung negara, Almarhum Profesor Syed Husin Alatas, adalah pemimpin yang ‘jadong’, iaitu pemimpin yang jahat, bodoh dan sombong dan dipandu cita bencana.
Malangnya, bukan hanya pemimpin sebegini masih disanjung dan dipuji, malah mereka yang mengkritik akan dicerca, dihukum malah diheret ke mahkamah.
Pemimpin sebegini, seperti diungkapkan oleh tokoh falsafah agung negara, Almarhum Profesor Syed Husin Alatas, adalah pemimpin yang ‘jadong’, iaitu pemimpin yang jahat, bodoh dan sombong dan dipandu cita bencana.
Malangnya, bukan hanya pemimpin sebegini masih disanjung dan dipuji, malah mereka yang mengkritik akan dicerca, dihukum malah diheret ke mahkamah.
Yang lebih menghairankan lagi, rata-rata rakyat marhaen masih lagi
berpeluk tubuh diam membisu. Mengapa miskin sekali jiwa dan minda
mereka?
Mengapa orang Melayu zaman moden yang hebat-hebat dan bijak pandai
belaka ini, pada hakikatnya papa kedana, mundur pemikiran dan miskin
nilai-nilai luhur dan mulia? Apakah orang Melayu juga miskin keberanian?
Adakah mereka tidak pernah memberontak terhadap pemimpin yang zalim?
Adakah hanya rakyat negara lain atau bangsa lain sahaja yang berani?
Lihatlah sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin yang mengaut kekayaan untuk
diri sendiri akhirnya tumbang dengan tragik seperti mana yang berlaku
kepada Hosni Mubarak di Mesir, Shah Reza di Iran, Ferdinand Marcos di
Filipina, Ben Ali di Tunisia. Banyak lagi kisah sebegini, banyak juga
pemimpin yang dibunuh mahupun terpaksa hidup dalam buangan.
Adakah pemberontakan terhadap kezaliman bukannya budaya Melayu? Tidak
sama sekali. Pemimpin Melayu zaman dahulu seperti Datuk Maharajela di
Perak, Tok Janggut dan Mat Kilau, dan ramai lagi, tidak dicengkam
kemiskinan keberanian.
Tapi mengapa sekarang ini, walaupun ramai berpendidikan tinggi, mereka
masih miskin dari segi nilai dan tindak-tanduk yang mulia? Mengapa ramai
yang diam membisu tanpa suara apabila pemerintah dengan rakus menggadai
harta khazanah negara dan menghukum mereka yang tidak bersalah?
Fenomena ini amat menakjubkan terutamanya untuk sebuah negara yang telah
melahirkan ramai golongan cerdik pandai Melayu semenjak merdeka.
Tetapi sayang, yang bersuara lantang bukannya teknokrat ataupun sarjana
lulusan Oxford, bukannya pula mereka yang kuat menjerit ‘Hidup Melayu’
pada perhimpunan agung tahunan parti politik, tetapi seorang negarawan tua berumur 90 tahun anak kelahiran Alor Setar, dan srikandi muda dari Langkawi.
Di manakah yang lain? Mana para cendekiawan dan golongan elit Melayu
yang terkemuka? Mana perginya golongan profesional bertali leher segak
dengan baju kemeja Brook Brothers? Mana doktor mahupun peguam yang
hebat-hebat belaka dengan kereta BMW dan Mercedes mereka?
Mana teguran alim ulama berjubah Arab yang lantang bersyarah siang dan
malam di kaca televisyen mengenai Amar Maaruf Nahi Mungkar? Di mana
kebijaksanaan para pensyarah dari menara gading tersohor negara?
Bak kata pujangga Indonesia WS Rendra, kita ini berilmu untuk memihak kepada pihak yang mana?
Saya tidak ada jawapannya. Mungkin ramai yang takut. Tetapi
persoalannya, apa yang hendak ditakuti? Ingatlah kata novelis agung
Indonesia Pramoedya Ananta Toer; dalam hidup kita, cuma satu yang kita
punya, iaitu keberanian. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup
kita ini?
Ingatlah kata pujangga agung Usman Awang; “Anak Melayu, namamu telah diseru, jawablah, sebelum lidahmu jadi bisu”.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.