Surat terbuka ini Yong terbitkan di atas permintaan penulisnya yang mahu ia disebarkan. Yong tidak ubah isinya. Setakat pembetulan format dan ejaan sahaja.
Surat ini adalah gambaran gelodak hati muda yang inginkan perubahan. Bacalah dengan otak di mulut, bukan di lutut.
SURAT TERBUKA KEPADA YB DATO’ SERI ABDUL HADI BIN AWANG,
Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) merangkap Timbalan Ketua Ulama Dunia.
Salam hormat dan maaf didahulukan di atas
ketibaan surat terbuka ini kepada Dato’ Seri menjelang ketibaan muktamar
yang akan datang minggu hadapan.
Sesungguhnya, saya menulis surat ini
dengan panjang lebar bukanlah disebabkan memperoleh apa jua faedah yang
mendatangkan keuntungan kepada diri ini, tetapi anggaplah kehadiran
coretan kecil ini adalah mewakili jiwa dan luahan hati seorang anak muda
yang menginginkan perubahan tampuk kekuasaan.
Serta anggaplah ini
sebagai teguran dan peringatan seorang rakyat yang memberi undi dan
amanah kepada parti Dato’ Seri untuk menumbangkan Barisan Nasional.
Dato’ Seri Haji Hadi,
Secara suka atau tidak,pemilihan parti PAS
kali ini mengundang perhatian yang luar biasa umum baik ahli parti
mahupun pemerhati luar berbanding muktamar sebelum-sebelum ini. Muktamar
kali ini bakal menyaksikan dua blok berlainan fikrah (meski sejemaah)
bertembung bagi menduduki kerusi kepimpinan kali ini.
Semenjak dua tahun
lepas, kempen - kempen memecah belahkan PAS berjalan dengan wujudnya
suara-suara yang meletakkan PAS kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang
menyokong kepemimpinan ulama dan kumpulan progresif yang digelar
erdogan.
Hari ke hari, kempen ini semakin kotor dan jijik dengan
pelbagai fitnah, gelaran, caci maki ditembak bersimpang siur ke arah
individu-individu yang dirasakan tidak mengikuti fikrah yang dikira sama
sesebuah kumpulan itu.
Ya Dato’ Seri,
Ingin saya lontarkan persoalan, inikah akhlak
yang dianjur sabda Nabi SAW dalam Islam? Yang bersongkok, yang
berkopiah, yang berserban, berjubah hatta bertudung litup sekalipun
seakan hilang apabila caci maki, ungkapan kafir mengkafir terbit
daripada mulut-mulut yang mengaku membawa nama Islam dan akhlak Islam
ini.
Sayugia diingatkan,PAS membawa Islam pada
namanya.Jika ada tindak tanduk yang tercela seperti ponteng sidang
parlimen, mengkafir sesama Islam, memuja manusia hingga digelar wali
adakah itu bukan sahaja memburukkan nama PAS malahan Islam itu sendiri
turut terpalit kotor angkara kebebalan umat yang saban hari melaung
kamilah yang membawa perjuangan Islam?
Sukacita saya ingatkan pada Dato’ Seri dan seluruh parti PAS dan perwakilan,
Pada 2008 yang lalu telah terjadinya satu
tahaluf siyasi di antara parti PAS, DAP, dan PKR atas jalinan kerjasama
dinamakan Pakatan Rakyat khusus bagi menumbangkan rejim Barisan
Nasional.
Hasil jalinan kesepakatan itu, lima buah negeri berjaya kita
tawan termasuklah parlimen tempat saya mengundi iaitu Parlimen Padang
Serai yang sebelumnya dikuasai Barisan Nasional sekian lama.
Namun, mengecewakan apabila selepas sahaja
pilihanraya tamat terdapatnya beberapa individu daripada PAS (Dato’ Seri
saya kira lebih maklum siapa individu ini) yang telah berjumpa secara
senyap dengan Yang Di-Pertuan Agong bagi membincangkan mengenai kerajaan
perpaduan dengan UMNO atas nama Melayu dan Islam. Sekali lagi,agama
menjadi retorik politik demi kuasa.
Perkara ini hanya terdedah beberapa
tahun selepas itu. Selain itu, ekoran prestasi buruk (pergolakan
dalaman) dan sikap bebalisme segelintir pimpinan Pas menyaksikan PRU13
pada 2013 menyaksikan Kedah kembali terlepas daripada dakapan Pakatan
Rakyat.
Oh ya, sebelum saya terlupa suka juga saya
mengingatkan konflik kejatuhan kerajaan negeri Perak. Mungkin tidak
ramai yang mengetahui siapa sebenarnya pengkhianat kepada Nizar ketika
itu?
Siapa pula yang mengeluarkan kenyataan "Sultan betul, Nizar salah!"
Hanya semata-mata Nizar mengikuti prinsip tahaluf siyasi menjaga
hubungan bersama DAP walhal perbuatan Sultan Perak ketika itu menyalahi
perlembagaan? Hanya kerana sultan itu Melayu dan DAP itu cina? Tepuk
dada tanya hati wahai Dato’ Seri.
Dan selepas PRU13, azan kerajaan perpaduan
kembali dikumandangkan. Bersama pakej kali ini adalah hukum hudud yang
dikatakan telah dipersetujui UMNO dalam DUN Kelantan.
Malahan
menambahkan drama diperlihatkan tangisan wakil ADUN UMNO yang begitu
beremosi menyokong hudud. Mungkin Dato’ Seri dan seluruh ahli PAS
terlupa,syaitan juga boleh membaca quran!.
Kata Dato’ Seri soal ikhlas atau tidak itu
hak mereka. Wahai Dato’ Seri, sudah lupakah siapa pemerintah negara ini?
UMNO jika mereka betul ikhlas inginkan hudud sebagai kerajaan sudah
tentulah mudah dan tiada masalah bagi mereka melaksanakannya.
Tetapi
tidak!. Hudud hanya dijadikan sentimen mereka untuk memperoleh undi
Melayu. Malangnya Dato’ Seri tidak nampak soal itu. Kegelojohan Dato’
Seri untuk melaksanakan hudud secepat mungkin membuatkan Dato’ Seri buta
pada realiti depan mata.
Apa Dato’ Seri sudah lupa bagaimana suatu
ketika dulu UMNO pernah mengajak PAS bergabung dan apabila berasa punya
kekuatan kembali, PAS ditendang keluar gabungan seperti anjing hina?
Dato’ Seri,
Tiadalah niat di hati saya untuk
memperolokkan hukum hudud yang saya maklun termaktub dalam al quran
tetapi Dato’ Seri lebih fakih dan arif hukumnya mengenai syarat-syarat
yang harus diminimumkan jika pelaksanaan hudud ingin digubal.
Ekonomi
harus diutamakan kerana kebanyakan masalah sosial dan jenayah dimulai
dengan bermasalahnya ekonomi. Itu lah ucapan Dato’ Seri beberapa tahun
lalu. Tidak apa, saya ingatkan kembali.
Menyentuh mengenai kumpulan yang digelar
Erdogan dan jebon dalam parti PAS, saya kira itu adalah kempen yang
paling hina dan menjijikkan daripada kumpulan yang mengaku pendokong
ulama dalam PAS. Apa kesalahan dan justifikasi hingga membenarkan
sesetengah pro ulama dalam PAS menjadi "Tuhan" dalam menghukum ahli
sejemaah?
Hanya disebabkan mereka terus teguh pada deklarasi dan tahaluf
siyasi dalam Pakatan Rakyat? Hanya di sebabkan mereka tidak ingin
tunduk kepada kehendak sesetengah golongan yang mahukan kerjasama dengan
UMNO supaya hudud dapat dilaksana? Alangkah kejinya sikap sedemikian.
Tegas saya tekankan pada Dato’ Seri bahawa
deklarasi dan tahaluf siyasi itu adalah sesuatu yang Dato’ Seri sendiri
persetujui pada 2008 yang lalu. Atas kerjasama itu, ketiga parti
bersetuju untuk bersama-sama mencari kekuatan dan kepercayaan rakyat
bagi menumbangkan rejim Barisan Nasional.
Jadi apa dosa mereka sekiranya
mereka kekal memegang amanah kepada tahaluf siyasi yang dipersetujui
itu? Kepada kumpulan pro ulama PAS, jika dengan UMNO yang terang-terang
menolak kerajaan Islam, yang memperlekehkan ajaran Islam,yang
merasuah,menyeleweng kamu boleh bersuara lunak dan merdu, di mana
tingkat maruah kamu yang sanggup berlaku biadap dengan rakan sejemaah
malah ada yang perjuangannya dalam parti jauh lebih lama.Semasa kamu
masih menetek mereka ini sudah ada yang merasa penjara?
Hanya disebab mereka bersama kafir seperti
DAP dan PKR berbanding memilih bersama UMNO yang Islam dan Melayu? Orang
kafir, jika mereka enggan menerima harus difahami kerana mereka tidak
tahu maka seharusnya tanggungjawab kamu untuk menceritakkannya.
Tetapi
bagaimana dengan yang mengaku Melayu lagi Islam sudah puluhan tahun
memerintah, puluhan tahun punya peluang untuk menegakkan agama Allah
tetapi secara tiba-tiba saat ingin mati kelemasan baru melaung "kami
mahu hukum Tuhan!"
Dato’ Seri Haji Hadi,
Umum sedia maklum dengan anggapan dan gelaran
yang diberi ahli PAS bahawasanya Dato’ Seri dianggap bapa dalam
jemaah.
Tetapi ingin saya lontarkan kritikan keras ini, sedayus apakah
seorang bapa yang tergamak membiarkan "anak-anaknya" bercakaran sesama
sendiri? Selemah manakah seorang bapa yang hanya menikus saat
"anak-anaknya" makin hilang Islam dalam diri?
Apa benar ini sifat nyata
seorang yang diakui sebagai bapa? Tidak berusaha meleraikan,mendamaikan,
malah seakan suka dengan kekacauan yang berlaku?
Dato’ Seri,
Sebagai anak muda yang tidak berparti dan
hanya memberi pandangan didasarkan kepada keinginan untuk melihat
Pakatan Rakyat berhasil menumbangkan Barisan Nasional, sekali lagi ingin
saya ingatkan, kami mengundi PAS bukan kerana kami menerima PAS tetapi
kami mengundi PAS untuk menjadi platform dalam Pakatan Rakyat bagi
mengalahkan rejim.
Kami tiada apa kerugian sekiranya matlamat kerajaan
perpaduan akhirnya menjadi nyata, tetapi ingin kami beri amaran, jangan
khianati amanah rakyat yang mengundi PAS untuk menjatuhkan BN.
Dan
sekiranya itu terjadi, maka janganlah PAS kesal jika rakyat menolak
gabungan PAS-UMNO walaupun gabungan itu atas nama Islam? Yang batil
tidak akan pernah bersama dalam kebaikan. Saya maklum kefakihan Dato’
Seri yang melebihi saya dalam soal hukum amanah dan janji ini.
Akhir kata, saya menyedari dan memaklumi
kesan daripada kritikan saya terhadap Dato’ Seri ini. Tetapi ikhlas saya
katakan, kritikan ini tidak langsung menyentuh kedudukan dan ilmu agama
Dato’ Seri sebagai ulama tetapi saya mengkritik atas batang tubuh Dato’
Seri sebagai ahli politik semata. Dua skop berbeza inilah yang gagal
difahami majoriti ahli PAS dengan kata mengkritik Dato’ Seri bererti
mengkritik ulama dan mengkritik ulama bererti menghina pewaris nabi.
Dua skop berbeza yang saya berharap semua
ahli PAS berlapang dada dalam membaca surat terbuka ini dan sama-sama
mengambil ibrah daripada segala kemelut yang berlaku agama kembali
kepada perjuangan dan akhlak Islam yang sebenar.Sesungguhnya yang baik
itu dari Allah, yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri.
Selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan
PAS dan semoga Allah melindungi jemaah ini daripada "tangan-tangan"
yang menghancurkannya dari dalam.
Sekian,terima kasih.
SITI AISHAH,
Ustazah Kafa.
*mohon sebarkan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.