Saturday, May 30, 2015

SURAT TERBUKA KEPADA YB DATO SERI ABDUL HADI BIN AWANG DARI ANAK MUDA

 

Surat terbuka ini Yong terbitkan di atas permintaan penulisnya yang mahu ia disebarkan. Yong tidak ubah isinya. Setakat pembetulan format dan ejaan sahaja.

Surat ini adalah gambaran gelodak hati muda yang inginkan perubahan. Bacalah dengan otak di mulut, bukan di lutut.

SURAT TERBUKA KEPADA YB DATO’ SERI ABDUL HADI BIN AWANG,

Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) merangkap Timbalan Ketua Ulama Dunia.

Salam hormat dan maaf didahulukan di atas ketibaan surat terbuka ini kepada Dato’ Seri menjelang ketibaan muktamar yang akan datang minggu hadapan. 
 
Sesungguhnya, saya menulis surat ini dengan panjang lebar bukanlah disebabkan memperoleh apa jua faedah yang mendatangkan keuntungan kepada diri ini, tetapi anggaplah kehadiran coretan kecil ini adalah mewakili jiwa dan luahan hati seorang anak muda yang menginginkan perubahan tampuk kekuasaan. 
 
Serta anggaplah ini sebagai teguran dan peringatan seorang rakyat yang memberi undi dan amanah kepada parti Dato’ Seri untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Dato’ Seri Haji Hadi,

Secara suka atau tidak,pemilihan parti PAS kali ini mengundang perhatian yang luar biasa umum baik ahli parti mahupun pemerhati luar berbanding muktamar sebelum-sebelum ini. Muktamar kali ini bakal menyaksikan dua blok berlainan fikrah (meski sejemaah) bertembung bagi menduduki kerusi kepimpinan kali ini.
 
Semenjak dua tahun lepas, kempen - kempen memecah belahkan PAS berjalan dengan wujudnya suara-suara yang meletakkan PAS kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang menyokong kepemimpinan ulama dan kumpulan progresif yang digelar erdogan. 
 
Hari ke hari, kempen ini semakin kotor dan jijik dengan pelbagai fitnah, gelaran, caci maki ditembak bersimpang siur ke arah individu-individu yang dirasakan tidak mengikuti fikrah yang dikira sama sesebuah kumpulan itu.

Ya Dato’ Seri,

Ingin saya lontarkan persoalan, inikah akhlak yang dianjur sabda Nabi SAW dalam Islam? Yang bersongkok, yang berkopiah, yang berserban, berjubah hatta bertudung litup sekalipun seakan hilang apabila caci maki, ungkapan kafir mengkafir terbit daripada mulut-mulut yang mengaku membawa nama Islam dan akhlak Islam ini.

Sayugia diingatkan,PAS membawa Islam pada namanya.Jika ada tindak tanduk yang tercela seperti ponteng sidang parlimen, mengkafir sesama Islam, memuja manusia hingga digelar wali adakah itu bukan sahaja memburukkan nama PAS malahan Islam itu sendiri turut terpalit kotor angkara kebebalan umat yang saban hari melaung kamilah yang membawa perjuangan Islam?

Sukacita saya ingatkan pada Dato’ Seri dan seluruh parti PAS dan perwakilan,

Pada 2008 yang lalu telah terjadinya satu tahaluf siyasi di antara parti PAS, DAP, dan PKR atas jalinan kerjasama dinamakan Pakatan Rakyat khusus bagi menumbangkan rejim Barisan Nasional. 
 
Hasil jalinan kesepakatan itu, lima buah negeri berjaya kita tawan termasuklah parlimen tempat saya mengundi iaitu Parlimen Padang Serai yang sebelumnya dikuasai Barisan Nasional sekian lama.

Namun, mengecewakan apabila selepas sahaja pilihanraya tamat terdapatnya beberapa individu daripada PAS (Dato’ Seri saya kira lebih maklum siapa individu ini) yang telah berjumpa secara senyap dengan Yang Di-Pertuan Agong bagi membincangkan mengenai kerajaan perpaduan dengan UMNO atas nama Melayu dan Islam. Sekali lagi,agama menjadi retorik politik demi kuasa. 
 
Perkara ini hanya terdedah beberapa tahun selepas itu. Selain itu, ekoran prestasi buruk (pergolakan dalaman) dan sikap bebalisme segelintir pimpinan Pas menyaksikan PRU13 pada 2013 menyaksikan Kedah kembali terlepas daripada dakapan Pakatan Rakyat.

Oh ya, sebelum saya terlupa suka juga saya mengingatkan konflik kejatuhan kerajaan negeri Perak. Mungkin tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya pengkhianat kepada Nizar ketika itu? 
 
Siapa pula yang mengeluarkan kenyataan "Sultan betul, Nizar salah!" Hanya semata-mata Nizar mengikuti prinsip tahaluf siyasi menjaga hubungan bersama DAP walhal perbuatan Sultan Perak ketika itu menyalahi perlembagaan? Hanya kerana sultan itu Melayu dan DAP itu cina? Tepuk dada tanya hati wahai Dato’ Seri.

Dan selepas PRU13, azan kerajaan perpaduan kembali dikumandangkan. Bersama pakej kali ini adalah hukum hudud yang dikatakan telah dipersetujui UMNO dalam DUN Kelantan. 
 
Malahan menambahkan drama diperlihatkan tangisan wakil ADUN UMNO yang begitu beremosi menyokong hudud. Mungkin Dato’ Seri dan seluruh ahli PAS terlupa,syaitan juga boleh membaca quran!.

Kata Dato’ Seri soal ikhlas atau tidak itu hak mereka. Wahai Dato’ Seri, sudah lupakah siapa pemerintah negara ini? UMNO jika mereka betul ikhlas inginkan hudud sebagai kerajaan sudah tentulah mudah dan tiada masalah bagi mereka melaksanakannya. 
 
Tetapi tidak!. Hudud hanya dijadikan sentimen mereka untuk memperoleh undi Melayu. Malangnya Dato’ Seri tidak nampak soal itu. Kegelojohan Dato’ Seri untuk melaksanakan hudud secepat mungkin membuatkan Dato’ Seri buta pada realiti depan mata. 
 
Apa Dato’ Seri sudah lupa bagaimana suatu ketika dulu UMNO pernah mengajak PAS bergabung dan apabila berasa punya kekuatan kembali, PAS ditendang keluar gabungan seperti anjing hina?

Dato’ Seri,

Tiadalah niat di hati saya untuk memperolokkan hukum hudud yang saya maklun termaktub dalam al quran tetapi Dato’ Seri lebih fakih dan arif hukumnya mengenai syarat-syarat yang harus diminimumkan jika pelaksanaan hudud ingin digubal. 
 
Ekonomi harus diutamakan kerana kebanyakan masalah sosial dan jenayah dimulai dengan bermasalahnya ekonomi. Itu lah ucapan Dato’ Seri beberapa tahun lalu. Tidak apa, saya ingatkan kembali.

Menyentuh mengenai kumpulan yang digelar Erdogan dan jebon dalam parti PAS, saya kira itu adalah kempen yang paling hina dan menjijikkan daripada kumpulan yang mengaku pendokong ulama dalam PAS. Apa kesalahan dan justifikasi hingga membenarkan sesetengah pro ulama dalam PAS menjadi "Tuhan" dalam menghukum ahli sejemaah? 
 
Hanya disebabkan mereka terus teguh pada deklarasi dan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat? Hanya di sebabkan mereka tidak ingin tunduk kepada kehendak sesetengah golongan yang mahukan kerjasama dengan UMNO supaya hudud dapat dilaksana? Alangkah kejinya sikap sedemikian.

Tegas saya tekankan pada Dato’ Seri bahawa deklarasi dan tahaluf siyasi itu adalah sesuatu yang Dato’ Seri sendiri persetujui pada 2008 yang lalu. Atas kerjasama itu, ketiga parti bersetuju untuk bersama-sama mencari kekuatan dan kepercayaan rakyat bagi menumbangkan rejim Barisan Nasional. 
 
Jadi apa dosa mereka sekiranya mereka kekal memegang amanah kepada tahaluf siyasi yang dipersetujui itu? Kepada kumpulan pro ulama PAS, jika dengan UMNO yang terang-terang menolak kerajaan Islam, yang memperlekehkan ajaran Islam,yang merasuah,menyeleweng kamu boleh bersuara lunak dan merdu, di mana tingkat maruah kamu yang sanggup berlaku biadap dengan rakan sejemaah malah ada yang perjuangannya dalam parti jauh lebih lama.Semasa kamu masih menetek mereka ini sudah ada yang merasa penjara?

Hanya disebab mereka bersama kafir seperti DAP dan PKR berbanding memilih bersama UMNO yang Islam dan Melayu? Orang kafir, jika mereka enggan menerima harus difahami kerana mereka tidak tahu maka seharusnya tanggungjawab kamu untuk menceritakkannya. 
 
Tetapi bagaimana dengan yang mengaku Melayu lagi Islam sudah puluhan tahun memerintah, puluhan tahun punya peluang untuk menegakkan agama Allah tetapi secara tiba-tiba saat ingin mati kelemasan baru melaung "kami mahu hukum Tuhan!"

Dato’ Seri Haji Hadi,

Umum sedia maklum dengan anggapan dan gelaran yang diberi ahli PAS bahawasanya Dato’ Seri dianggap bapa dalam jemaah.
 
Tetapi ingin saya lontarkan kritikan keras ini, sedayus apakah seorang bapa yang tergamak membiarkan "anak-anaknya" bercakaran sesama sendiri? Selemah manakah seorang bapa yang hanya menikus saat "anak-anaknya" makin hilang Islam dalam diri? 
 
Apa benar ini sifat nyata seorang yang diakui sebagai bapa? Tidak berusaha meleraikan,mendamaikan, malah seakan suka dengan kekacauan yang berlaku?

Dato’ Seri,

Sebagai anak muda yang tidak berparti dan hanya memberi pandangan didasarkan kepada keinginan untuk melihat Pakatan Rakyat berhasil menumbangkan Barisan Nasional, sekali lagi ingin saya ingatkan, kami mengundi PAS bukan kerana kami menerima PAS tetapi kami mengundi PAS untuk menjadi platform dalam Pakatan Rakyat bagi mengalahkan rejim. 
 
Kami tiada apa kerugian sekiranya matlamat kerajaan perpaduan akhirnya menjadi nyata, tetapi ingin kami beri amaran, jangan khianati amanah rakyat yang mengundi PAS untuk menjatuhkan BN. 
 
Dan sekiranya itu terjadi, maka janganlah PAS kesal jika rakyat menolak gabungan PAS-UMNO walaupun gabungan itu atas nama Islam? Yang batil tidak akan pernah bersama dalam kebaikan. Saya maklum kefakihan Dato’ Seri yang melebihi saya dalam soal hukum amanah dan janji ini.

Akhir kata, saya menyedari dan memaklumi kesan daripada kritikan saya terhadap Dato’ Seri ini. Tetapi ikhlas saya katakan, kritikan ini tidak langsung menyentuh kedudukan dan ilmu agama Dato’ Seri sebagai ulama tetapi saya mengkritik atas batang tubuh Dato’ Seri sebagai ahli politik semata. Dua skop berbeza inilah yang gagal difahami majoriti ahli PAS dengan kata mengkritik Dato’ Seri bererti mengkritik ulama dan mengkritik ulama bererti menghina pewaris nabi.

Dua skop berbeza yang saya berharap semua ahli PAS berlapang dada dalam membaca surat terbuka ini dan sama-sama mengambil ibrah daripada segala kemelut yang berlaku agama kembali kepada perjuangan dan akhlak Islam yang sebenar.Sesungguhnya yang baik itu dari Allah, yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri.

Selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan PAS dan semoga Allah melindungi jemaah ini daripada "tangan-tangan" yang menghancurkannya dari dalam.

Sekian,terima kasih.

SITI AISHAH,
Ustazah Kafa.

*mohon sebarkan


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.