Followers

Sunday, December 1, 2013

Suami sakit, isteri tuntut cerai

 

PASIR PUTEH - Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah ungkapan yang menggambarkan nasib malang menimpa seorang pemuda yang terlantar sakit sejak enam bulan lalu, sebelum isterinya menuntut cerai tanpa alasan munasabah.

Abd Manas Mohamed Noor, 31, yang diserang penyakit jantung dan lumpuh kini bergantung harap kepada kedua orang tuanya yang dihimpit kemiskinan.

Akibat penyakit itu, dia pernah koma selama hampir sebulan kini mengalami kekejangan otot, selain tidak sedarkan diri untuk tempoh tertentu.

Lebih menyayat hati, apabila dalam keadaan begitu, isterinya yang berusia 40 tahun dikatakan tidak sanggup berkongsi derita lalu mengambil keputusan pulang ke negeri asal, Pulau Pinang bersama anak tunggal berusia lima tahun selepas menuntut cerai daripadanya.

Abd Manas dari Kampung Tualang Rendah dekat sini, pernah bekerja sebagai pemandu lori di kedai alat pembinaan tetapi terpaksa berhenti kerana penyakit yang ditanggungnya.

Dia dimasukkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ), Kota Bharu pada 16 Mei lalu, dalam keadaan koma untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Selama 28 hari, tidak menampakkan tanda dia akan sembuh dan akhirnya pada 14 Jun lalu, Abd Manas `diminta’ pulang ke rumah oleh pihak hospital dalam keadaan tengkuknya masih berlubang dibaluti tiup plastik.

Kini dia terlantar di rumah dengan hanya sekali sekala dikunjungi kakitangan perubatan untuk memberi rawatan susulan.

Ibunya, Semah Awang Deraman, 55, berkata, dia bersama suami, Mohamed Noor Ibrahim, 62, dan anak-anak lain terpaksa menjaganya walaupun mereka dihimpit kemiskinan.

Menurut Semah, tiada apa yang mampu dilakukan keluarganya sekarang bagi mengubati penyakit yang dialami Abd Manas, selain memberikan kasih sayang.

Makcik dah tak tahu nak buat macam mana, hanya kasih sayang yang dapat makcik berikan, dia sepatutnya dijaga isteri tapi apa nak buat, nasib malang terus menimpanya.

“Kami pernah berikhtiar dengan mendapatkan khidmat pakar perubatan tradisional, selain tidak putus berdoa tapi ia juga belum menunjukkan tanda-tanda dia akan sembuh," katanya.

Katanya, walaupun Abd Manas menerima bantuan orang kelainan upaya RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia hanya meringankan sedikit bebanan ditanggung.

Semah berkata, selain perbelanjaan keluarga, mereka terpaksa menyediakan keperluan Abd Manas seperti bekalan susu, ubat-ubatan serta lampin pakai buang dan jika terdesak, mereka terpaksa meminjam duit jiran. - SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.