Followers

Thursday, October 10, 2013

Polis dedah nama dan gambar dalang kes pembunuhan pengasas Ambank !

  Polis hari ini mendedahkan nama dan gambar lelaki disyaki dalang kes pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi (gambar), yang dipercayai meninggalkan negara selepas kejadian pembunuhan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki tempatan itu, Lim Yuen Soo, 53, beralamat terakhir di No. 9, Jalan Bayu Segar 3, Bayu Segar, Cheras, Kuala Lumpur, juga merupakan majikan suspek utama kes itu.

Beliau berkata orang ramai yang mengenali Lim diminta tampil membantu siasatan dan menurutnya polis turut meminta bantuan Interpol di Australia bagi menangkapnya untuk dibawa balik ke Malaysia dan dihadapkan ke mahkamah.

"Lelaki ini sebenarnya terlibat dalam perniagaan pusat hiburan dan merupakan pemilik beberapa kawasan parkir di ibu negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 1 Oktober lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki terbabit dipercayai melarikan diri ke Australia selepas pembunuhan itu.

Pada 22 September, suspek utama kes itu ditahan bersama-sama dua rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, dan pada 3 Oktober lepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh.

Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon pada 29 Julai lepas.

Mohmad berkata usaha mencari senjata api yang digunakan dalam pembunuhan Hussain masih diteruskan.

"Kami masih meneruskan pencarian senjata itu, bukan perkara yang mudah untuk mencari senjata yang kecil di lombong yang agak besar itu. Tapi kita akan tetap teruskan dengan kemampuan penyelam-penyelam yang polis ada untuk kita terus mencari," katanya.

Pada 30 September, polis menjalankan operasi mencari pistol yang diguna dalam pembunuhan Hussain yang telah dibuang di kawasan Tasik Mines bersebelahan Lebuhraya Besraya. – Bernama,  


The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.