Polis
hari ini mendedahkan nama dan gambar lelaki disyaki dalang kes
pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain
Ahmad Najadi (gambar), yang dipercayai meninggalkan negara selepas
kejadian pembunuhan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki tempatan
itu, Lim Yuen Soo, 53, beralamat terakhir di No. 9, Jalan Bayu Segar 3,
Bayu Segar, Cheras, Kuala Lumpur, juga merupakan majikan suspek utama
kes itu.
Beliau berkata orang ramai yang mengenali Lim diminta tampil membantu
siasatan dan menurutnya polis turut meminta bantuan Interpol di
Australia bagi menangkapnya untuk dibawa balik ke Malaysia dan
dihadapkan ke mahkamah.
"Lelaki ini sebenarnya terlibat dalam perniagaan pusat hiburan dan
merupakan pemilik beberapa kawasan parkir di ibu negara," katanya kepada
pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Pada 1 Oktober lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk
Ku Chin Wah berkata lelaki terbabit dipercayai melarikan diri ke
Australia selepas pembunuhan itu.
Pada 22 September, suspek utama kes itu ditahan bersama-sama dua
rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping,
Perak, dan pada 3 Oktober lepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret
atas tuduhan membunuh.
Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari
jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari Tokong Kuan Yin
di Lorong Ceylon pada 29 Julai lepas.
Mohmad berkata usaha mencari senjata api yang digunakan dalam pembunuhan Hussain masih diteruskan.
"Kami masih meneruskan pencarian senjata itu, bukan perkara yang mudah
untuk mencari senjata yang kecil di lombong yang agak besar itu. Tapi
kita akan tetap teruskan dengan kemampuan penyelam-penyelam yang polis
ada untuk kita terus mencari," katanya.
Pada 30 September, polis menjalankan operasi mencari pistol yang diguna
dalam pembunuhan Hussain yang telah dibuang di kawasan Tasik Mines
bersebelahan Lebuhraya Besraya. – Bernama,
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.