Anggota bomba sedang membawa naik mayat mangsa:-
CHANGLUN – Misteri kehilangan seorang wanita sejak lima hari lalu,
akhirnya terjawab dengan penemuan mayat mangsa dalam keadaan menyayat
hati di sebuah perigi sedalam kira-kira lima meter di Kampung Cherok
Mokkan, Hosba, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Latifah An, 50, ditemui
meninggal dunia dalam keadaan bertelangkup oleh ibu saudara mangsa
kira-kira 10 meter dari rumahnya ketika dia kebetulan ingin membersihkan
laman kediamannya.
Ibu saudara mangsa, Siti Rosni Arif, 58, berkata, anak saudaranya yang
mengalami kemurungan dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar rumah
awal pagi pada 25 Jun lepas, bagaimanapun usaha mencari mangsa tidak
membuahkan hasil.
“Walaupun puas kami mencari dalam satu kampung, namun dia tetap tidak
ditemui. Justeru, saya sememangnya tidak menyangka akan menemuinya dalam
perigi pusaka berusia 100 tahun di pekarangan kediaman saya ini.
“Kami sekeluarga tidak jemu-jemu mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin
sejak menyedari kehilangan Latifah pada Selasa lalu, dengan harapan
dapat bertemu semula dengannya. Malah, pagi ini (semalam), sebelum
menemui dia saya juga berbuat demikian,” katanya.
Minta petunjuk
Siti Rosni berkata, dia melakukan solat sunat dengan harapan ALLAH SWT
akan memudahkan pencarian dan memberi petunjuk kepada mereka mengenai
kehilangan Latifah dan kemudiannya meneruskan aktiviti seharian dengan
keluar membersihkan sampah-sarap di pekarangan rumah.
“Ketika asyik membersihkan kawasan berkenaan, tiba-tiba saya terbau
sesuatu kurang menyenangkan dari arah perigi lama itu, saya terus
menghampirinya dan mendapati sesuatu objek tidak jelas timbul.
“Saya kemudiannya mendapatkan cermin mata untuk memastikan benda berbau
itu. Saya dapati satu mayat terapung berpakaian merah dan dipenuhi lalat
dalam perigi lama itu,” katanya.
Manakala, abang ipar mangsa, Nik Mohd Kamil Nik Musa, 54, dia bergegas
ke lokasi penemuan mangsa selepas menerima maklumat mengenai penemuannya
kira-kira jam 8.30 pagi, semalam, apabila dimaklumkan isterinya, Hazah
An, 53.
Katanya, Latifah yang mengalami kemurungan dipercayai sering memencilkan
diri 24 jam di kediaman mereka selepas kematian ibunya pada 2006,
justeru tidak menyangka mangsa akan keluar dari rumah.
Menurutnya, mereka hanya menyedari kehilangan Latifah pada jam 4 pagi,
Selasa lalu, selepas mendapati dia tiada di rumah dan dimaklumkan
penduduk setempat mengenai kelibat seorang wanita sedang berjalan-jalan
di kawasan itu.
“Walaupun sedih, kami lega kerana akhirnya berjaya menemui Latifah setelah beberapa hari kami sekeluarga mencarinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim
Mohamed Yusof berkata, pihaknya ada menerima laporan polis berhubung
kematian wanita itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Difahamkan, mayat anak kelima daripada tujuh beradik itu akan
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Mokkan selepas selesai
bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, semalam.
- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.