Sunday, June 30, 2013

Misteri kehilangan terungkai !!

 
Anggota bomba sedang membawa naik mayat mangsa:-

CHANGLUN – Misteri kehilangan seorang wanita sejak lima hari lalu, akhirnya terjawab dengan penemuan mayat mangsa dalam keadaan menyayat hati di sebuah perigi sedalam kira-kira lima meter di Kampung Cherok Mokkan, Hosba, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Latifah An, 50, ditemui meninggal dunia dalam keadaan bertelangkup oleh ibu saudara mangsa kira-kira 10 meter dari rumahnya ketika dia kebetulan ingin membersihkan laman kediamannya.


Ibu saudara mangsa, Siti Rosni Arif, 58, berkata, anak saudaranya yang mengalami kemurungan dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar rumah awal pagi pada 25 Jun lepas, bagaimanapun usaha mencari mangsa tidak membuahkan hasil.

“Walaupun puas kami mencari dalam satu kampung, namun dia tetap tidak ditemui. Justeru, saya sememangnya tidak menyangka akan menemuinya dalam perigi pusaka berusia 100 tahun di pekarangan kediaman saya ini.

“Kami sekeluarga tidak jemu-jemu mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin sejak menyedari kehilangan Latifah pada Selasa lalu, dengan harapan dapat bertemu semula dengannya. Malah, pagi ini (semalam), sebelum menemui dia saya juga berbuat demikian,” katanya.

Minta petunjuk

Siti Rosni berkata, dia melakukan solat sunat dengan harapan ALLAH SWT akan memudahkan pencarian dan memberi petunjuk kepada mereka mengenai kehilangan Latifah dan kemudiannya meneruskan aktiviti seharian dengan keluar membersihkan sampah-sarap di pekarangan rumah.

“Ketika asyik membersihkan kawasan berkenaan, tiba-tiba saya terbau sesuatu kurang menyenangkan dari arah perigi lama itu, saya terus menghampirinya dan mendapati sesuatu objek tidak jelas timbul.

“Saya kemudiannya mendapatkan cermin mata untuk memastikan benda berbau itu. Saya dapati satu mayat terapung berpakaian merah dan dipenuhi lalat dalam perigi lama itu,” katanya.

Manakala, abang ipar mangsa, Nik Mohd Kamil Nik Musa, 54, dia bergegas ke lokasi penemuan mangsa selepas menerima maklumat mengenai penemuannya kira-kira jam 8.30 pagi, semalam, apabila dimaklumkan isterinya, Hazah An, 53.

Katanya, Latifah yang mengalami kemurungan dipercayai sering memencilkan diri 24 jam di kediaman mereka selepas kematian ibunya pada 2006, justeru tidak menyangka mangsa akan keluar dari rumah.

Menurutnya, mereka hanya menyedari kehilangan Latifah pada jam 4 pagi, Selasa lalu, selepas mendapati dia tiada di rumah dan dimaklumkan penduduk setempat mengenai kelibat seorang wanita sedang berjalan-jalan di kawasan itu.

“Walaupun sedih, kami lega kerana akhirnya berjaya menemui Latifah setelah beberapa hari kami sekeluarga mencarinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof berkata, pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kematian wanita itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, mayat anak kelima daripada tujuh beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Mokkan selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, semalam.

- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.