SIBU - Anggota Parlimen Julau Datuk Joseph Salang telah menolak
pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam
barisan baharu Kabinet Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Salang, yang juga naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), ketika
dihubungi berkata jika beliau perlu memilih antara menjadi timbalan
menteri dan keluarganya, maka "saya memilih keluarga saya".
Katanya beliau mungkin mempertimbangkan jika ianya adalah jawatan yang lebih tinggi atau jawatan menteri penuh.
"Saya fikir adalah lebih baik memberi laluan kepada orang lain untuk
jawatan timbalan menteri," katanya yang menjadi timbalan menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13), 5 Mei lepas.
Pada PRU13, Salang mempertahankan kerusinya dengan menewaskan calon
Parti Pekerja Sarawak, Wong anak Judat dan Andy Wong Hong Yu dari PKR
dengan majoriti 5,955 undi.
Sementara itu, penyokong Salang di Julau kecewa apabila wakil rakyatnya
itu tidak diberi jawatan menteri penuh walaupun berkhidmat sebagai
timbalan menteri di tiga portfolio berlainan sebelum ini.
"Memandangkan pengalaman luas, komitmen, dedikasi dan keikhlasan beliau,
kita jangka beliau dinaikkan pangkat tetapi beliau telah diberi jawatan
yang agak rendah, " kata Desmond Sunok, seorang jurucakap kumpulan itu.
Beliau berkata Salang juga telah menghubunginya atas keputusan untuk tidak menerima jawatan baharu itu.
~bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.