Followers

Monday, September 24, 2012

RCI SABAH TIDAK MUNGKIN BERKESAN - Sangat meragukan !

 

 
KOTA KINABALU : Bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansur berkata keberkesanan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan baru baru ini oleh kerajaan BN untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah sangat meragukan.

Katanya, RCI itu tidak akan memberi sebarang kesan kerana penubuhannya dilakukan bermotifkan politik sekadar menyenangkan hati rakyat Sabah.
 
“RCI ini jika diamati dengan teliti tidak ubah seperti satu tipu helah Kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka sangka rakyat Sabah pasti gembira apabila penubuhan suruhanjaya itu diumumkan.

“Parti Maju Sabah (SAPP) apabila berjaya membentuk Kerajaan Sabah yang mempunyai kuasa autonomi selepas memenangi pilihanraya umum kali ke-13 nanti akan menubuhkan satu suruhanjaya di bawah kuasa kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kehadiran pendatang asing tanpa izin di Sabah,” katanya yang kini merupakan salah seorang Penasihat SAPP.

Beliau berucap pada ceramah bertajuk 'Masa Depan Sabah' di perkarangan pejabat SAPP di Luyang di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan, Timbalan Presiden Tuan Haji Amde Sidik dan ADUN Luyang merangkap Ketua Wanita Melanie Chia.

Turut hadir Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Bendahari Agung Dullie Marie, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr. Chua Soon Bui, Naib Presiden Don Chin, Naib Presiden Jaafar Ismail dan Ketua Penerangan Chong Pit Fah.

Mohd Noor berkata, pembentukan RCI itu hanya umumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak setelah beberapa bulan dihebohkan di media massa.

Katanya, Perdana Menteri mengambila masa berbulan-bulan untuk mengumumkan terma rujukan (Terms of Reference) dan ahli panel RCI itu.

Beliau berkata, surat lantikan ahli panel itu hanya diserahkan beberapa hari lalu setelah terma rujukan diumumkan pada 11 Ogos lepas.

Beliau menambah, para ahli panel diberi masa selama enam bulan untuk menyelesaikan tugas masing-masing dan mereka dijangka tidak akan dapat menyelesaikan siasatan walaupun tempoh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak tamat pada awal tahun depan.

Mohd Noor berkata, RCI akan hanya menjadi perbualan sahaja dan hasil siasatan tidak akan diumumkan kepada awam kerana tidak sempat disiapkan sebelum pilihanraya umum.

Katanya, terma rujukan RCI itu juga tidak lengkap kerana tidak memberitahu samada pesalah akan dikenakan tindakan undang-undang dan dihukum jika didapati bersalah atau sebaliknya.

Terma rujukan itu mengandungi lapan perkara dan adalah seperti berikut, untuk menyiasat:

* Jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan.

* Sama ada pemberian dokumen berkenaan adakah sah mengikut peruntukan undang-undang atau sebaliknya.

* Adakah pihak berkuasa berkaitan membuat sebarang penambahbaikan kepada prosedur amalan standard (SOP), kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengelak apa-apa yang tidak teratur dari segi undang-undang.

* Adakah SOP dan perkara berkaitan berhubung pemberian dokumen-dokumen terbabit mengambil kira standard antarabangsa.

* Sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut kategori berikut:

* Warga Sabah menetap di Sabah termasuk mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui sijil kelahiran (pendaftaran lewat).

* pekerja asing (termasuk ahli keluarga)

* pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga)

* pelarian

* meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih.

* Implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian dokumen-dokumen berkenaan.

* Bilangan pendatang asing di Sabah yang diberikan dokumen-dokumen berkenaan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang tidak bernegara.
 
 
Sabahkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.