Followers

Wednesday, August 15, 2012

INI WAK DOGOL KITA LOGO DAN LAGU WAK DOGOL

Telah sampai dan tepat pada masanya pada 31 Ogos ini Negara Malaysia wajib menobatkan Menteri Penerangan Rais Yatim sebagai Wak Dogol. 

Saheh bin Betul bahawa kelihatan semakin jelas watak Wak Dogol ini sedang dimainkan dengan penuh penghayatan lagi kyusuk oleh Datok Seri Rais Yatim.

Jika Lembaga Acadeny Awards tahu tentang watak Wak Dogol ini pasti Rais Yatim akan menerima sebuah Oscar. Jika Woody Allen tahu tentang Wak Dogol pasti telah ada watak ini dalam filem satiranya.

Justeru, kerajaan Malaysia wajib mewujudkan satu derajah kebesaran yang di panggil Datuk Seri Tan Seri Wak Dogol. Sosok yang paling layak menerima derajah kebesaran ini hanyalah Rais anak lelaki Yatim.

Wak Dogol ini ialah watak yang kita temui dalam wayang kulit. Watak ini adalah watak pelawak. Kerjanya ialah membuat lawak dalam Istana. Menghiburkan Sultan dan Raja.

Ketika ada jamuan makan Wak Dogol a.k.a Rais Yatim inilah yang akan menjamah makanan dahulu. Jika ada racun maka Wak Dogol inilah yang akan diracun dahulu.

Ketika Raja ingin beradu Wak Dogol akan membuat cerita dongeng agar Raja berkhayal untuk tidur. Jika Raja lengoh-lengoh badan maka Wak Dogol inilah yang akan jadi tukang urut.

Dalam keramaian jika Najib..opps...Raja terkentut maka Rais Yatim...opsss Wak Dogol akan mengaku yang dia telah melepaskan angin.

Hakikatnya Wak Dogol ialah kaki bodek. Hakikatnya Rais Yatim ialah juga seorang kaki bodek. Rais sedang membodek Najib, manakala Maznah suami Rais ...opps... isteri Rais sedang membodek Rosmah.

Jantan betina dua ekor ini sedang membodek untuk memastikan kerusi Rais Yatim di Jelebu selamat. Membodek untuk memastikan yang Rais akan terus menjadi calon.

Cerita Rais Yatim kaki bodek ini bukan susah hendak difahami. Kita lihat sahaja apa yang telah berlaku pada awal bulan Ogos ini.

Biasanya bulan Ogos ini ialah bulan dimana United Malays National Organisation akan heboh ke hulu ke hilir menjual cerita-cerita dongeng tentang peranan mereka berjuang untuk mencapai Merdeka.

Sayangnya dongeng ini sudah basi. Tahun ini tidak ada sesiapa yang ambil pot tentang kesah dongeng ini.

Satu Malaysia telah tahu bahawa lagu Negara Ku – lagu kebangsaan – telah diciplak dari lagu Indonesia Terang Bulan yang berasal dari lagu Peranchis. Satu Malaysia juga telah tahu bahawa Jalur Tembelang....opps.. Jalur Gemilang diciplak dari motif bendera Amerika.

Datok Seri Wak Dogol sedar tentang perkara ini. Bendera dan lagu kebangsaan ini hanya menunggu masa untuk ditukar. Anak-anak muda dalam alam siber telah menyatakan kemualan mereka terhadap dua pekara ini.

Jenerasi muda hari ini lebih kreatif, maka mereka merasa malu apabila dibuktikan ‘ikon negara’ Malaysia ini sebenarkan bukan asli tapi ciplakan. Penciplakan ini telah menjemput negara jiran memanggil Malaysia ini sebagai Malingsia. Maling ialah pencuri.

Dengan kesedaran ini , dengan niat membodek, Rais Yatim telah melancarkan logo 31 Ogos. Mengikut kesah yang dibebelkan oleh Rais Yatim logo ini bertujuan untuk menyambut Merdeka.

Sayang seribu kali sayang, Datuk Seri kita ini sudah salah congak. Politik negara telah berubah. Rakyat telah tidak takut lagi dengan kuasa United Malay National Organisation.

Pada tahun 2012 orang ramai terutama anak muda dalam dunia siber telah ‘menibai’ logo resmi yang dikeluarkan oleh Pak Menteri. Anak-anak muda dalam alam siber telah memperlekeh logo Merdeka buatan Rais Yatim.

Sebagai Wak Dogol Rais Yatim merasa terdesak. Logo itu dibuat untuk membodek Najib tetapi semuanya tunggang terbalik.

Kemungkinan Wak Dogol ini terus bertanding di Jelebu semakin merosot. Untuk menyelamatkan keadaan si Rais Yatim ini telah mencadangkan logo baru untuk direka oleh anak-anak muda.

Penolakan orang ramai terhadap logo Wak Dogol adalah pertanda bahawa parti yang memerintah selama 55 tahun ini sedang nazak.

Era kekuasan United Malays National Organisation kelihatan jelas dicabar oleh orang ramai. Apa sahaja yang cuba dilakukan oleh kerajaan hari ini semuanya diperlekeh.

Semuanya dikritik. Semuanya menjadi bahan lawak.

Dengan ambience politik sademikian maka Pakatan Rakyat dengan cekap telah mengambil kesempatan untuk mengajukan logo mereka sendiri. Sekali pandang ada apa pada logo?

Awas. Logo yang dicadangkan itu hanyalah manifestasi untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat memiliki kudrat dan iradat untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional. Justeru Wak Dogol terus mengelabah.

Minggu lalu Wak Dogol telah membuat satu lawak apabila dia berkata bahawa Pakatan Rakyat telah ketandusan idea. Lawak bodoh Rais Yatim ini menjadika bertambah seram apabila YouTube memberitahu bahawa lagu tema yang direka khusus untuk 31 Ogos rupa-rupanya telah diciplak dari lagu gereja Indonesia. Berita ini menggemparkan alam siber.

Tidak dapat tidak Wak Dogol telah bersilat lidah menafikan ciplakkan telah berlaku untuk lagu tema 31 Ogos. Untuk menyedihkan hati Rais Yatim, si pereka lagu ini telah mengaku pula bahawa lagu ini masih belum siap.

Lepas satu, satu projek Rais Yatim kantoi. Nampaknya, projek-projek gagal ini semakin berjaya membotakkan kepala Datuk Seri Wak Dogol kita ini.

Wak Dogol kita ini belum mahu mengaku kalah lagi. Wak Dogol ini masih menyimpan cita-cita bahawa dia bukan saja calon yang boleh menang malah dia juga adalah calon Menteri.

Tetiba Datuk Seri Wak Dogol kita ini dalam usaha untuk mempertahankan jawatannya telah mengeluarkan satu kenyataan. Kenyataan ini jika diutarakan dimana-mana pun dalam dunia ini, pasti sosok yang mengutarakan akan dianggap sasau dan gila.

Datuk Seri Rais Yatim Menteri Penerangan Barisan Nasional telah berkata bahawa logo Hari Merdeka tahun 2012 akan bertukar setiap dua hari. Minta maaf apa yang saya tulis ini bukan fitnah. Ini kenyataan datuk Seri Rais Yatim.

Apakah Datuk Seri yang juga jantan takut kepda bini ini telah hilang akal? Atau telah nyonyo mengikut istilah Zaid Ibrahim – tidak lah dapat diketahui.

Seharusnya sesudah sahaja Datuk Seri Wak Dogol kita ini membuat kenyatan bodoh tentang logo berubah-ubah ini, dia wajib di tangkap dan dihantar ke hospital. Satu pemerekasan rapi wajib dilakukan keatas daya fikir Wak Dogol kita ini.

Kepala Rais Yatim wajib dipereksa. Tidak pernah dalam dunia ini atau mana mana negara atau apa apa lembaga akan mengubah logo resmi mereka setiap dua hari.

Mustahil syarikat kasut Puma akan mengubah logonya dua hari sekali. Mustahil Bank Pertanian akan mengubah logonya dua tahun sekali. Malah NFC syarikat lembu Sharizat tidak akan mengubah logonya sampai bila-bila walau pun semua lembunya telah mati.

Pernahkah kita melihat logo sukan Olympik berubah-ubah. Malah negara yang menjadi tuan rumah sukan ini tidak akan mengubah logo ciptaan negaranya untuk merayakan Olympik sampai bila-bila kerana ianya adalah bahan sejarah.

Malah RTM sendiri pun tidak akan mengubah logonya setiap dua hari. Hanya Wak Dogol Rais Yatim yang ‘mental’ berani berkata bahawa logo Merdeka tahun ini akan berubah setiap dua hari. Jelas Rais Yatim sedang mengalami gangguan fikiran yang maha sangat.

Kita boleh ketawa apabila melihatkan perangai Wak Dogol Rais Yatim yang sedang membodek Najib ke tahap gaban. Tetapi apa sebenarnya yang sedang berlaku pada bulan Ogos tahun 2012 ini?

Apa yang terjadi sekarang ialah Projek Malaysia yang direka mengikut acuan United Malays National Organisation telah gagal dan sedang dibakul sampahkan.

Penolakan lagu, penolakan logo, penolakan bendera, penolakan tema untuk menyambut 31 Ogos yang dikatakan sebagai Hari Merdeka membuktikan bahawa Projek Malaysia telah gagal.

Penolakan-penolakan ini adalah menifestasi kebencian rakyat terhadap United Malays National Organisation. Kebencian rakyat telah juga sampai ke tahap gaban.

Anak semua bangsa dalam negara ini telah semakin tidak sabar untuk menendang keluar kerjaan Barisan Nasional. Anak semua bangsa sedang menunggu masa dan ketika untuk melupuskan kuasa dari tangan United Malays National Organisation.

Sebelum saya mengundur dan mengucapkan selamat hari raya pasti ramai pembaca akan bertanya apakah dianya tahap gaban itu. Sebenarnya saya sendiri pun tidak tahu apakah dianya tahap gaban itu.

Untuk saya tahap gaban ini akan kebencian yang maha sangat dikalikan dengan sejuta loya dan didarafkan dengan sejuta mual. Kemudian dicampurkan dengan perangai membodek Datuk Seri Wak Dogol Rais Yatim. Untuk saya inilah dia gaban. Selamat Hari Raya. (TT)


NOTA:

tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
yang terbaru - sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-22-72-40-45



Dicatat oleh Tukar Tiub

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.