Bali: Sebuah jawatankuasa kehakiman memecat seorang hakim Selasa lalu
kerana mengambil bahagian dalam beberapa sesi karaoke dengan peguam
mewakili plaintif yang dibicarakannya.
Hakim Mahkamah Daerah Denpasar, Encik Putu Suika, dipecat kerana
melanggar Kod Tatalaku Hakim, yang melarang hakim terbabit secara
peribadi dengan peguam dan pihak yang kesnya didengar di mahkamah
mereka.
Encik Putu, yang dijadualkan bersara tahun depan, mengaku bertemu peguam
bela tersebut, Encik Irfan, tiga kali untuk berkaraoke di rumahnya.
"Cuma, saya hanya mengambil bahagian selepas kes itu selesai. Apabila
saya berpindah ke Denpasar saya ada berhutang wang dengan Irfan tetapi
ia tiada kena-mengena dengan kes itu," katanya kepada jawatankuasa
tersebut.
Namun, jawatankuasa itu menolak penjelasan beliau, lapor agensi berita Antara.
"Anda langgar kod tatalaku. Perbuatan itu menyebabkan anda cenderung
campur tangan dalam proses penghakiman," kata anggota jawatankuasa itu,
Cik Sri Murwahyuni, seorang hakim Mahkamah Agung.
Jawatankuasa itu tidak memberi maklumat terperinci mengenai kes yang
dibicarakan Encik Putu. Bagaimanapun, ketika sesi keterangan, beliau
dikatakan bertindak berat sebelah dan menyebelahi plaintif, yang
diwakili Encik Irfan, tanpa berunding dengan anggota hakim lain.
"Keputusan itu tidak menurut Prosedur Kod Jenayah. Adakah anda membuat
kod prosedur sendiri?" kata seorang lagi anggota jawatankuasa, Encik H.
M. Zaharuddin, yang juga hakim Mahkamah Agung.
Pengerusi jawatankuasa, Encik Djaja Ahmad Jayus, berkata ia bukan kesalahan pertama Encik Putu.
"Putu timbalan ketua Mahkamah Daerah Palangkaraya tetapi beliau
diturunkan pangkat menjadi hakim biasa di Mahkamah Daerah Mataram
selepas rakyat menuduh beliau menyalah guna sebuah kereta," kata Encik
Djaja. - Agensi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.