Friday, July 13, 2012

Hakim berkaraoke dengan peguam bela ??

 
Bali: Sebuah jawatankuasa kehakiman memecat seorang hakim Selasa lalu kerana mengambil bahagian dalam beberapa sesi karaoke dengan peguam mewakili plaintif yang dibicarakannya.
 
Hakim Mahkamah Daerah Denpasar, Encik Putu Suika, dipecat kerana melanggar Kod Tatalaku Hakim, yang melarang hakim terbabit secara peribadi dengan peguam dan pihak yang kesnya didengar di mahkamah mereka.
 
Encik Putu, yang dijadualkan bersara tahun depan, mengaku bertemu peguam bela tersebut, Encik Irfan, tiga kali untuk berkaraoke di rumahnya.
 
"Cuma, saya hanya mengambil bahagian selepas kes itu selesai. Apabila saya berpindah ke Denpasar saya ada berhutang wang dengan Irfan tetapi ia tiada kena-mengena dengan kes itu," katanya kepada jawatankuasa tersebut. 
Namun, jawatankuasa itu menolak penjelasan beliau, lapor agensi berita Antara.
 
"Anda langgar kod tatalaku. Perbuatan itu menyebabkan anda cenderung campur tangan dalam proses penghakiman," kata anggota jawatankuasa itu, Cik Sri Murwahyuni, seorang hakim Mahkamah Agung.
 
Jawatankuasa itu tidak memberi maklumat terperinci mengenai kes yang dibicarakan Encik Putu. Bagaimanapun, ketika sesi keterangan, beliau dikatakan bertindak berat sebelah dan menyebelahi plaintif, yang diwakili Encik Irfan, tanpa berunding dengan anggota hakim lain.
 
"Keputusan itu tidak menurut Prosedur Kod Jenayah. Adakah anda membuat kod prosedur sendiri?" kata seorang lagi anggota jawatankuasa, Encik H. M. Zaharuddin, yang juga hakim Mahkamah Agung.
 
Pengerusi jawatankuasa, Encik Djaja Ahmad Jayus, berkata ia bukan kesalahan pertama Encik Putu.
 
"Putu timbalan ketua Mahkamah Daerah Palangkaraya tetapi beliau diturunkan pangkat menjadi hakim biasa di Mahkamah Daerah Mataram selepas rakyat menuduh beliau menyalah guna sebuah kereta," kata Encik Djaja. - Agensi. 


Kerajaan Rakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.