"Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)
Bantahan Terhadap Paparan Gambar Berunsur Lucah Di Muka Hadapan Akhbar Tempatan
Ikram
membantah keras tindakan beberapa akhbar harian tempatan yang
memaparkan gambar-gambar berunsur lucah di muka surat hadapan
akhbar-akhbar berkenaan.
Gambar yang dikatakan diambil
dari laman-laman blog yang boleh dipersoalkan kesahihannya dan
dikaitkan dengan individu tertentu, menjadi tatapan semua golongan
masyarakat – termasuk kanak-kanak dan remaja sekolah, seolah-olah
memberi gambaran ianya satu berita utama dan amat penting untuk
diketahui oleh semua rakyat Malaysia.
Ikram
mempersoalkan motif sebenar pihak akhbar yang tergamak menyajikan
gambar-gambar berunsur lucah tersebut sehingga sanggup merendahkan
kredibiliti dan kewibawaan sebagai saluran berita utama untuk tatapan
masyarakat umum.
Sebagai agen penyebar maklumat yang beramanah dan
bertanggungjawab, pihak media massa perdana tidak seharusnya terlibat
dengan sebarang usaha bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah dan
memalukan seseorang, apatah lagi sekiranya sumber dapatan maklumat
tersebut diragui dan boleh dipertikaikan kesahihannya.
Pihak media juga
seharusnya bersikap adil dan tidak terheret ke dalam kancah permainan
politik kotor sehingga membelakangi tuntutan agama dan moral.
Allah SWT memberikan peringatan berikut di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 dan ayat 12 yang mafhumnya :
Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak
diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Ayat 6, Surah Al Hujurat)
Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip
atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Ayat 12, Surah Al-Hujurat)
Ikram mendesak :
2. Pihak berwajib khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar tegas memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak media massa di negara ini yang menyeleweng dari peranan asal membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang beretika.
3. Ahli-ahli politik menghentikan segera permainan politik kotor, kempen mengaibkan satu sama lain dan budaya fitnah memfitnah. Mereka mestilah kembali menghayati akhlaq mulia yang dituntut oleh agama.
4. Rakyat Malaysia memboikot semua sumber maklumat umum, sama ada media cetak ataupun media elektronik yang tidak bertanggungjawab dan tidak profesional dalam menjalankan amanah kewartawanan mereka.
Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj ( 012-3243134)
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Sosial
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.