Saturday, May 5, 2012

IKRAM : Utusan dan Kosmo sekeras kerasnya penyiaran gambar berunsur lucah - Oleh: naifus

 

"Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)

 
Bantahan Terhadap Paparan Gambar Berunsur Lucah Di Muka Hadapan Akhbar Tempatan
 
Ikram membantah keras tindakan beberapa akhbar harian tempatan yang memaparkan gambar-gambar berunsur lucah di muka surat hadapan akhbar-akhbar berkenaan.


Gambar yang dikatakan diambil dari laman-laman blog yang boleh dipersoalkan kesahihannya dan dikaitkan dengan individu tertentu, menjadi  tatapan semua golongan masyarakat  – termasuk kanak-kanak  dan remaja sekolah, seolah-olah memberi gambaran ianya satu berita utama dan amat penting untuk diketahui oleh semua rakyat Malaysia. 

Ikram mempersoalkan motif sebenar pihak akhbar yang tergamak menyajikan gambar-gambar berunsur lucah tersebut sehingga sanggup merendahkan kredibiliti dan kewibawaan sebagai saluran berita utama untuk tatapan masyarakat umum. 
 
Sebagai agen penyebar maklumat yang beramanah dan bertanggungjawab, pihak media massa perdana tidak seharusnya terlibat dengan sebarang usaha bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah dan memalukan seseorang, apatah lagi sekiranya sumber dapatan maklumat tersebut diragui dan boleh dipertikaikan kesahihannya. 
 
Pihak media juga seharusnya bersikap adil dan tidak terheret ke dalam kancah permainan politik kotor sehingga membelakangi tuntutan agama dan moral.
Allah SWT memberikan peringatan berikut di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 dan ayat 12 yang mafhumnya :

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Ayat 6, Surah Al Hujurat)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. 
 
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Ayat 12, Surah Al-Hujurat)

Ikram mendesak :

1. Sidang pengarang akhbar-akhbar terbabit memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia di atas tindakan memalukan menyiarkan gambar berunsur lucah di muka hadapan akhbar-akhbar mereka.

2. Pihak berwajib khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar tegas memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak media massa di negara ini yang menyeleweng dari peranan asal membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang beretika.

3. Ahli-ahli politik menghentikan segera permainan politik kotor, kempen mengaibkan satu sama lain dan budaya fitnah memfitnah. Mereka mestilah kembali menghayati akhlaq mulia yang dituntut oleh agama.

4. Rakyat Malaysia memboikot semua sumber maklumat umum, sama ada media cetak ataupun media elektronik yang tidak bertanggungjawab dan tidak profesional dalam menjalankan amanah kewartawanan mereka.

 
 
Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj ( 012-3243134)
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Sosial
Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.