Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mempunyai maklumat termasuk pembiayaan yang dibuat oleh syarikat terlibat.
SHAH
ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mendedahkan syarikat didakwa
merupakan kroni Umno-Barisan Nasional (BN) yang lemah dalam menguruskan
air di negeri itu.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya
mempunyai maklumat termasuk pembiayaan yang dibuat oleh syarikat
terlibat.
“Ada beberapa tender dan kontrak yang berbeza. Satu buat loji,
terowong dan empangan. Kita sudah ada nama syarikat dan pembiayaan yang
dibuat. Sebelum forum air kita akan didedahkan hal ini. Kita akan
beritahu kepada semua masyarakat,” kata Abdul Khalid.
Dalam satu kenyataan Isnin lalu, Setiausaha Politik beliau Faekah
Husin berkata, masalah air di Selangor berpunca daripada pengurusan air
yang lemah dan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos tarif air
tinggi.
Faekah mendakwa pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang
melibatkan kos RM12 bilion sebenarnya dilaksanakan atas kepentingan
kroni pihak tertentu dan bukannya untuk membantu rakyat.
Penstrukturan semula air
Abdul Khalid dalam pada itu menegaskan penstrukturan semula air
adalah topik utama berbanding isu Langat 2 dan pengambilan air di
Pahang.
Tegasnya penstrukturan semula air penting kerana ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang wujud ketika ini.
“Perbincangan utama adalah penstrukturan semula air dan bukannya
tentang Langat 2 atau pengambilan air di Pahang. Semua ini tidak akan
timbul jika penstrukturan semula air dibuat,” katanya.
Ujarnya, sebarang pelaksanaan dan pengurusan loji mempunyai kaitan
dengan kenaikan tarif air dan beliau mendapati ia mempunyai kelemahan.
“Pengalaman dari angka-angka yang diterima, pembinaan loji adalah
dibina oleh Puncak Niaga. Dari segi kos pembinaan dan pembersihan loji
adalah sangat tinggi. Jika kos tersebut tinggi maka rakyat turut
menerima kesan melalui tarif air,” katanya.
Beliau berkata daripada 33 loji pembersihan di seluruh Selangor, 29
daripadanya dimiliki oleh kerajaan negeri, manakala empat oleh pihak
konsesi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.