Followers

Wednesday, March 28, 2012

Ke mana arah ahli-ahli parlimen bebas ini?


Ke mana arah ahli-ahli parlimen bebas ini?
Pada 19 Februari yang lalu, ahli parlimen Pasir Mas yang tidak menganggotai mana-mana parti, Ibrahim Ali telah mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya sejak tahun 2008 yang lalu, tetapi tidak menyatakan pula sama ada beliau akan bertanding semula sebagai calon bebas ataupun menyertai mana-mana parti politik yang pilihan beliau.
 
Pada pilihanraya umum yang lalu, Ibrahim bertanding atas tiket PAS dan memenangi kerusi parlimennya atas bantuan dan sokongan ahli-ahli dan para penyokong PAS di kawasan Pasir Mas, tetapi tidak pernah memohon menyertai parti tersebut selepas itu.
 
Pemimpin pertubuhan perkauman ekstremis Perkasa itu, turut mendakwa sokongan masyarakat Cina kepadanya turut bertambah dan disebabkan oleh faktor tersebutlah yang telah mendorong Ibrahim berhasrat untuk bertanding mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya pada pilihanraya umum akan datang yang akan bakal diadakan pada bila-bila masa lagi.
 
Selain daripada Ibrahim, ahli-ahli parlimen bebas yang lain termasuklah Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baru), Zahrain Mohamad Hashim (Bayan Baru), Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Kebetulan pula kesemua ahli-ahli parlimen bebas ini telah meninggalkan parti asal mereka, PKR selepas pilihanraya umum tahun 2008 yang lalu.
 
Halatuju ahli-ahli bebas ini
 
Persoalannya adalah sama ada ahli-ahli parlimen bebas ini akan mempertahankan kerusi parlimen sandangan mereka pada pilihanraya umum yang akan datang masih menjadi tanda tanya semua pihak dan para pemerhati politik khususnya.
 
Pada bulan Jun 2010, kumpulan ahli-ahli parlimen bebas ini telah “bergabung” secara tidak formal untuk membentuk sebuah kumpulan yang bergelar Konsensus Bebas di dalam parlimen bagi mempraktikkan status bebas mereka. Ahli-ahli Konsensus Bebas ini terdiri daripada Zahrain, Choo Keong, Zulkifli, Tee Beng dan Mohsin. Ibrahim pula enggan menyertai konsensus tersebut kerana berpendapat bahawa konsensus itu tidak memberikan sebarang manfaat kepada beliau.
 
Yang menarik perhatian adalah kelima-lima ahli Yang Berhormat ini adalah berasal daripada parti yang sama, iaitu PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan telah meninggalkan PKR setelah dikatakan telah berselisih dengan ketua pembangkang parlimen tersebut.
 
Bagi Tee Beng, setelah meninggalkan PKR, beliau telah menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan dilantik menjadi pengerusi KITA Pulau Pinang. Namun, karier politiknya dalam KITA taman apabila disingkirkan daripada parti tersebut kerana memberontak menentang pemimpin KITA Zaid Ibrahim. Sementara itu, Zulkifli kini adalah salah seorang naib-presiden Perkasa yang kini diterajui oleh Ibrahim Ali.
 
Berkenaan dengan kedudukan ahli-ahli parlimen bebas ini, umumnya rakyat memandang remeh akan status yang mereka pilih sekarang kerana dikatakan tidak ada halatuju dan perjuangan yang sebenarnya di dalam diri mereka. Siapakah sebenarnya mereka wakili, apakah konsep dan pendirian mereka, bagaimana pula dengan fahaman yang mereka pelopori dan apakah yang mereka dapat tawarkan kepada rakyat itu semuanya masih kabur dan kurang jelas.
 
Yang rakyat ketahui adalah kesemua ahli-ahli bebas ini dahulunya menganggotai PKR, bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi masing-masing atas usaha dan sokongan daripada PKR dan penyokong-penyokong parti tersebut, dan selepas itu mengkhianati PKR dengan keluar parti dan kini secara tidak langsung “menyokong” Barisan Nasional (BN).
 
Soal mungkinkah mereka ini akan menyertai Umno ataupun mana-mana parti komponen BN yang lain sebelum pilihanraya umum yang akan datang masih menjadi tanda tanya. Sama ada parti-parti komponen BN ini akan membenarkan para “pengkhianat” ini bertanding semula juga turut menjadi tanda tanya kerana para pemimpin BN juga dikatakan risau akan isi hati ahli-ahli bebas ini yang dianggap masih tidak tentu arah dan halatuju mereka.
 
Kesetiaan yang tidak jelas
 
Selain daripada arah dan halatuju yang tidak jelas pada ahli-ahli parlimen bebas ini, kesetiaan mereka turut dipersoal ramai pihak berdasarkan sejarah politik beberapa Yang Berhormat bebas ini.
 
Zahrain adalah seorang bekas pemimpin Umno yang menyertai PKR, sementara Zulkifli yang sebelum menyertai PKR, adalah seorang ahli PAS, manakala Tee Beng dahulunya adalah ahli Gerakan sebelum menyertai PKR, meninggalkan parti tersebut dan kemudiannya menyertai KITA yang selepas itu memecat beliau. Ibrahim pula yang bertanding atas tiket PAS tetapi tidak menyertai parti tersebut dan kemudiannya menjauhkan dirinya daripada parti yang pernah mendukungnya.
 
Jadi adalah amat jelas sekali label “lompat” itu melekat pada mereka semua ini walaupun apajua penjelasan yang mereka telah cuba berikan kepada umum dan para pengundi di kawasan-kawasan mereka khususnya.
 
Oleh yang demikian, sememangnya amat sukar untuk mempercayai akan kredibiliti dan kesetiaan mereka yang sebenarnya dan jika sekiranya mereka menyatakan pendirian mereka di dalam sesuatu perkara kesetiaan mereka pada pendirian yang mereka ketengahkan juga perlu diragui berdasarkan beberapa kenyataan yang pernah mereka keluarkan pada umum sebelum ini.
 
Yang rakyat akan terus melihat mereka adalah dari segi, kesemua mereka ini pernah dan banyak kali melompat parti dan itu adalah hakikatnya dan pada masa yang sama di dalam beberapa siri “lompatan” mereka adakah soal kewangan turut terlibat di dalam mempengaruhi keputusan mereka dari masa ke semasa. Itulah yang senantiasa akan menjadi tanda tanya di samping terus menimbulkan pelbagai keraguan di mata semua pihak akan keihlasan mereka yang sebenarnya.
 
 
Pencacai SeMalaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.