Followers

Monday, June 13, 2011

RAIS BETUL BETUL "BERSIH CEKAP DAN AMANAH"

Rais Habiskan Bajet Setengah Tahun Dalam 1 Hari Untuk Hari Seniman Yang Tak Dapat Sambutan

Hari Seniman: 'Rais habiskan bajet setengah tahun dalam 1 hari'

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengecam Datuk Rais Yatim kerana menghabiskan RM100 juta, atau separuh bajet tahunan untuk projek kreatif untuk acara sehari sambutan Hari Seniman 2011 yang disifatkan oleh penggiat seni tempatan sebagai "projek mee segera".

Lim berkata, secebis daripada jumlah itu, atau RM2 juta, boleh digunakan untuk membiayai festival warisan George Town selama sebulan di Pulau Pinang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Rais Yatim mesti menjelaskan rasional pembaziran RM100 juta untuk Hari Seniman 2011 pada 29 Mei yang mendapat sambutan hambar penggiat seni.

“DAP dikejutkan oleh suatu laporan Bernama bahawa RM100 juta diperuntukkan untuk acara yang telah dikritik oleh penggiat seni itu,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bernama, pada tahun lepas, kerajaan membantu industri seni maju selangkah lagi dengan memperuntukkan RM200 juta sewaktu pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pembentangan tersebut, Najib menerangkan bahawa peruntukan tersebut adalah untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

Lim mempersoalkan sama ada laporan Bernama itu tepat dalam memetik jumlah sebesar itu yang dibelanjakan untuk acara berkenaan.

“DAP mengesyaki laporan Bernama itu palsu dan Rais harus menjelaskan jumlah sebenar yang dibelanjakan.

“Adalah sukar untuk mempercayai kerajaan boleh memperuntukkan RM100 juta untuk Hari seniman 2011 apabila 27 juta rakyat biasa Malaysia menanggung kenaikan harga kerana potongan subsidi kerajaan BN," tambahnya. -mk

Bernama : 29 Mei 2011 : Rais Tegur Penggiat Seni Tidak Hargai Hari Seniman 2011

Selebriti tanah air memperagakan busana masing-masing dalam acara Peraga Busana Seni Kraftangan Malaysia pada Majlis Sepetang Bersama Seniman sempena Sambutan Hari Seniman 2011 yang dirasmikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di Kompleks Kraftangan.

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menegur pengamal dan penggiat seni yang tidak menghargai usaha kerajaan mengiktiraf penglibatan mereka melalui sambutan Hari Seniman yang diadakan Ahad.

Beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kementerian dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) termasuk menyediakan kertas kerja untuk memastikan kerajaan mengiktraf sambutan Hari Seniman yang disambut pada 29 Mei setiap tahun bermula 2005.

Tarikh berkenaan dipilih bagi memperingati tarikh pemergian Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, katanya.

"Teguran ini ikhlas sebab kami bersusah payah mewujudkan Hari Seniman ini. Kita sudah bantu lebih RM100 juta kepada semua pengamal seni tapi kehadiran dan kesanggupan yang ditunjukkan oleh mereka jauh berbeza dari yang disangkakan.

"Semangat ini harus dianalisis dan teguran ini diberitahu secara ikhlas kerana kalau tidak pelakon, atau pengamal dan penggiat seni yang merancakkan Hari Seniman, siapa lagi?" katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Bersama Seniman sempena sambutan Hari Seniman 2011 di Kompleks Kraf di sini.

Dalam pada itu, Rais berharap sambutan Hari Seniman pada tahun-tahun akan datang lebih mencerminkan konsep 1Malaysia serta melibatkan gabungan tenaga lama dan baru selain meluaskan kepada cabang seni yang lain termasuk penulisan kreatif, lakonan, lawak, nyanyian, reka bentuk, ukiran, seni halus dan seni tampak.
"Hal ini penting kerana seni berupaya menyatukan masyarakat. Ia mempunyai bahasa sendiri, pendekatan sendiri dan nilai sendiri yang politik tidak boleh masuk dan cantuman sentimen lain pun tidak dapat masuk," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais meminta semua agensi di bawah kementerian iaitu Perbadanan Filem Nasional (Finas), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) memainkan peranan memelihara kreativiti seni dan budaya serta warisan tampak di mata masyarakat dan dunia.

Program Sepetang Bersama Seniman adalah satu pertemuan bersifat santai yang bertujuan untuk mendekati golongan seniman dengan lebih rapat di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap peranan warga seni. -- BERNAMA




 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.