Followers

Saturday, January 2, 2016

Apa hubungan Zuhdi, PAS dan Umno? – Muammar Qaddafi





.


Apabila Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Zuhdi Marzuki memetik kembali kenyataan Muhammad Razali yang mendakwa wujudnya hubungan DAP dan Israel seolah-olah cuba bermain emosi rakyat Malaysia agar membenci DAP berdasarkan sentimen Palestin-Israel.

Walaupun artikel Zuhdi yang diterbitkan portal Harakah Daily ditarik balik,namun artikel tersebut masih boleh dibaca di portal rasmi PAS, setakat jam 11 malam, 31 Disember, 2015.


Kalau Zuhdi mempersoalkan jika DAP benar maka kenapa tidak saman saja Razali maka wajarlah kita persoalkan juga jika Zuhdi benar mengapa ditarik balik artikel tersebut yang pertama kali diterbitkan portal lidah rasmi PAS itu.

Dakwaan tanpa sebarang bukti bertulis mahupun audio itu bagaimanapun tersebar luas sekali lagi melalui Whatsapp dan laman sosial Facebook sekali gus berjaya bermain dengan emosi masyarakat Melayu terutamanya Melayu PAS dan Umno. Kerosakan sudah berlaku dan berjayalah saraf PAS dalam memainkan isu Israel dalam menghasut orang Melayu untuk membenci DAP.

Maka persoalan besar yang bermain di minda saya adalah, adakah wujud hubungan intim antara PAS/Zuhdi dan Umno sehinggakan Zuhdi memainkan kembali serangan blogger Umno kepada DAP 4 tahun lepas? Adakah dengan bertindak menyambung kembali tuduhan ini maka Zuhdi berjaya menyelamatkan Malaysia daripada diperintah Cina DAP yang bertanding 51 kerusi Parlimen ini?

Adakah PAS turut termakan dengan propaganda Umno DAP bakal memerintah Malaysia sekiranya Umno tewas lalu turut dimainkan perkara serupa oleh PAS terhadap DAP, bezanya Umno memainkannya sebelum PRU13 manakala PAS mengguna pakai senjata lama blogger Umno ini menjelang PRU14.

Sebagaimana dakwaan yang mengatakan wujudnya hubungan DAP dan Israel, begitulah asas kepada dakwaan DAP akan perintah Malaysia, asasnya menuduh tanpa asas, namun begitu berjaya memainkan emosi sebilangan orang Melayu yang enggan menerima angka dan fakta sebagai hujah, sebaliknya sebarang isu yang boleh menyentuh emosi walaupun tidak berasas akan ditelan bulat-bulat sehinggakan tidak lagi mahu mendengar dan menerima hujah pembelaan pihak yang dituduh.

Sejak kemenangan besar besaran kumpulan pro Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar lepas, saya masih tidak dapat melihat serangan sekeras yang dilakukan terhadap DAP dan Amanah oleh PAS kepada Umno, sedangnya yang jelas melakukan kemungkaran di pihak Umno, dalam isu 1MDB, akandal Yapeim, TPPA, PAS hanyalah sekadar menegur dengan nada rendah untuk cukup syarat "PAS menjalankan tanggungjawab menegur Umno BN".

Alangkah malang nasib rakyat Malaysia, dibebani kos sara hidup tinggi, cukai membebankan, pendapatan isi rumah tidak meningkat bahkan kadar pengangguran tinggi namun yang menjadi keutamaan politikus berserban adalah DAP mahu memerintah Malaysia. – 1 Januari, 2016.

- TMI

.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.