UMNO seperti ular yang sudah dicabut bisanya kerana
hanya kami, pihak media yang menikmati keterujaan penyampaian berita
walaupun sebenarnya tiada siapa (rakyat) yang kisah terhadap parti yang
sudah hilang keMelayuannya.
COMMENT
Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bergema dengan laungan penuh bertenaga itu demi kelangsungan UMNO, sepanjang lima siang empat malam, dengan kepercayaan ia akan terus menjadi denyutan setiap ahli dan perwakilan yang hadir.
Ucapan semua perwakilan UMNO terutama sekali ketua pemimpin parti itu sendiri, Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dihadam sebagai mantera paling gah dalam kalangan pengikut UMNO yang masih setia dengan parti yang berusia 69 tahun (?) itu.
Kesetiaan yang ditunjukkan seolah-olah tiada pendua bagi UMNO dan Melayu, kalau ada sekalipun, ia lebih haram daripada yang haram. Begitu bersemangatnya 5,732 perwakilan yang menghiasi PAU 2015 kali ini.
Persoalannya, adakah semua itu semangat ikhlas dan bukan yang di’implan’, sekadar memberi harapan palsu kepada 3.52 juta ahli berdaftar dengan 21,502 cawangan di seluruh negara?
Kenapa saya berkata demikian, kerana saya merasakan lebih 5,000 perwakilan yang hadir itu tidak lagi mewakili lebih 3 juta ahli UMNO mahupun kaum Melayu lain di negara ini. Realitinya, parti itu seperti ular yang sudah tidak berbisa.
Ular yang dicabut bisa lazimnya akan digunakan untuk pameran atau pertunjukkan jalanan, untuk tujuan menakut-nakutkan penonton secara olok-olok. Penonton juga tahu, tetapi mereka memberi reaksi takut sekadar untuk mengekalkan keterujaan, supaya kedua-dua pihak dapat menikmati tujuan pertunjukan tersebut.
Dan saya rasa samalah keadaanya dengan UMNO, kami, media menjadi penonton yang mahu menikmati keterujaan penyampaian berita walaupun sebenarnya tiada siapa yang kisah kerana ia parti yang sudah hilang bisanya.
Kalau dulu, PAU seakan-akan sambutan yang dinanti-nantikan dalam kalangan orang Melayu, kini ia bukan lagi. Ini kerana UMNO tidak lagi bercakap untuk Melayu, mengenai Melayu atau berkenaan Melayu. UMNO kini hanya bercakap mengenai UMNO, untuk UMNO dan berkenaan UMNO.
Rata-rata rakyat marhaen langsung tidak mengendahkan perjalanan PAU, mereka akui sudah hilang ‘stim’ dengan UMNO dan kepimpinannya yang lebih dilihat syiok sendiri dan bukan berpihak kepada rakyat.
Benar, selepas tamat ucapan perasmian dan penutupan Presiden, selepas para perwakilan UMNO membuat ucapan sokongan tidak berbelah bagi kepada UMNO dan Najib (UMNO adalah Najib dan Najib adalah UMNO), lihat sahaja reaksi daripada rakyat, mereka sama ada lebih marah atau berdiam diri kerana semuanya tidak memberi sebarang makna.
Antara pencetus kekesalan itu ialah tindakan menghalang Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada membuat ucapan, yang telah memberi kesan yang cukup mendalam. Berbeza dengan etika dan sifat sebenar seorang Melayu yang sentiasa memberi peluang kepada semua orang bersuara lebih-lebih lagi kepada darah daging sendiri, UMNO pertama kali bertindak di luar norma seorang Melayu.
Keputusan itu pula secara membuta tuli disokong oleh semua perwakilan yang hadir, walaupun sebilangan kecil dalam dewan dan seluruh rakyat Malaysia melihatnya sebagai ketidakadilan. Ini semua bukan UMNO Melayu yang diuar-uarkan. UMNO seolah-olah semakin hilang keMelayuannya, norma kesantunan yang menjadi nadinya selama ini.
Konflik dalaman yang melibatkan UMNO dan Najib, ‘laungan Hidup Tun M’ yang dibawa oleh pengikut setia bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sokongan NGO Melayu terhadap Muhyiddin di luar dewan, kenyataan awal Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan supaya perhimpunan parti itu diadakan secara tertutup tanpa liputan media hanya menjarakkan hubungan rakyat dan UMNO.
Jelas, rakyat sudah terang-terang menunjukkan penolakkan terhadap UMNO kerana mereka sudah tidak mendengar apa yang diperkatakan sepanjang PAU.
Mungkin ini petunjuk: sudah tiba masanya untuk UMNO pula mendengar kata-kata rakyat dan bukan berdegil untuk terus berkata-kata walaupun tidak siapa yang mahu mendengarnya.
Jangan paksa rakyat, UMNO, kalau mahu menang PRU. Mantera yang seharusnya dituturkan bukan ‘Hidup Najib’, tetapi ‘Dengar, dengar dan dengar keluhan rakyat'; rakyat ada terlalu banyak perkara untuk disebutkan kepada anda, beri ruang dan ambil masa, dengar kepada mereka.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.