Datuk Seri Najib Razak tidak layak menjadi perdana menteri Malaysia
kerana terlibat dalam "kelakuan salah" ketika menerima RM2.6 bilion
dalam akaun bank peribadinya, kata Tun Dr Ling Liong Sik dalam kenyataan
pembelaannya terhadap saman presiden Umno itu ke atasnya.
Bekas presiden MCA itu, yang didakwa Najib kerana membuat kenyataan
tentang sumbangan politik itu berkata, perdana menteri juga gagal
mendedahkan identiti pendermanya, sumber dana itu atau bagaimana ia
digunakan.
"Plaintif menjelaskan, menjadi hasrat penderma supaya derma tersebut
dibuat kepada plaintif secara peribadi dan, sumbangan itu didepositkan
ke dalam akaun peribadi plaintif.
"Ini bertentangan dengan kenyataan awal plaintif yang menyatakan semua
dana politik mesti disalurkan ke akaun parti politik itu dan disertakan
dengan suatu pengakuan penerimaan, bertujuan demi mencegah rasuah," kata
Dr Ling.
Beliau memfailkan pembelaannya hari ini melalui firma guaman Tetuan Ranjit Singh dan Yeoh.
Bekas menteri pengangkutan itu turut mengaku tingkah laku dan perbuatan
plaintif merupakan perkara berkepentingan awam yang mesti tertakluk
kepada perbincangan awam dan terbuka kepada kritikan dan penelitian yang
rapi.
Beliau berkata, pemindahan dana itu, kebanyakannya berlaku pada Mac 2013
sebelum pilihan raya umum tahun itu, menimbulkan persepsi perdana
menteri tidak berlaku jujur atau terlibat dalam politik wang untuk
membeli keputusan pilihan raya.
Dr Ling juga berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ramai pemimpin dahulu
dan sekarang yang mengkritik Najib dan membuat kenyataan yang
mencemarkan reputasi beliau tidak disaman kerana memfitnah.
Begitu juga, katanya, perdana menteri juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendedahkan mengenai penyaluran dana ke dalam akaun beliau itu.
Ling membuat pembelaan berdasarkan kepada komen yang adil (fair comment) dan perlindungan bersyarat (qualified privilege).
WSJ melaporkan
pada Julai, kira-kira AS$700 juta dipindahkan ke dalam akaun bank
peribadi Najib - bahagian terbesar dimasukkan kira-kira 2 bulan sebelum
pilihan raya umum 2013.
Pada Oktober, Ling dilaporkan bersetuju dengan bekas bosnya, Dr
Mahathir, yang Najib "mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam
akaun peribadi beliau".
"Saya bersetuju dengan Mahathir. Kerana beliau (Najib) mengambil wang
rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau," Dr Ling
dipetik sebagai berkata pada sidang media di Kuala Lumpur.
Berikutan kenyataan itu, firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak
mengeluarkan surat tuntutan bagi pihak Najib kepada Dr Ling di
kediamannya.
Surat bertarikh 5 Oktober itu menuntut permohonan maaf dan pampasan
dalam masa 7 hari, atau tindakan undang-undang akan dimulakan.
Bagaimanapun, peguam Dr Ling berkata, anak guamnya mempertahankan kenyataannya.
ADDIN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.