Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan berundur dalam
waktu terdekat, begitu juga parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak
akan digantikan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), kata wartawan
veteran Datuk A. Kadir Jasin.
Menulis dalam blognya hari ini, bekas ketua pengarang kumpulan New
Straits Times Press (NSTP) itu berkata, Umno akan menggunakan wang dan
kuasa bagi memancing undi, sambil menakutkan orang Melayu dengan
mengatakan mereka berdepan risiko "dihapuskan" golongan minoriti Cina.
"Cukup ramai orang di sekeliling perdana menteri yang percaya dengan
wang dan kuasa politik, mereka boleh terus mengatur undi luar bandar
yang cukup atas nama kelangsungan hidup bangsa (kaum) untuk terus
berpaut kepada kuasa.
"Penggunaan emotif 'bangsat' oleh Najib menerima sokongan ramai orang Melayu luar bandar.
"Najib sendiri percaya boleh mempertahankan kuasanya sehingga PRU akan datang untuk memimpin BN ke arah kemenangan.
"Jadi, sesiapa yang rasa Najib akan disingkirkan tidak lama lagi dan
BN tidak lagi wujud pada PRU akan datang, eloklah fikir dua kali," kata
Kadir.
"Selagi beliau boleh mendapatkan separuh daripada pakcik, makcik,
Orang Asli, penduduk luar bandar dan peneroka Felda untuk memihak kepada
beliau, Umno akan kembali berkuasa dan kedudukan beliau tidak akan
dapat disangkal. Beliau akan berjaya menyangkal tuduhan yang dibuat
terhadapnya."
Kadir berkata, apa yang Najib perlu lakukan pada masa sama ialah, memastikan tiada tindakan jenayah diambil terhadapnya.
Menurutnya penggubal undang-undang BN harus dipantau rapi bagi
mengelakkan sebarang kejadian berpaling tadah atau undi tidak percaya.
Memetik contoh "perhimpunan baju merah" 16 September di mana pihak
penganjur boleh meyakinkan orang ramai untuk menyertainya, Kadir
berkata, tiada apa yang boleh menghalang modus operandi sama digunakan
untuk memenangi PRU14 akan datang.
"Moto Najib – wang adalah raja – diterima baik orang Melayu yang miskin di kampung-kampung dan penempatan Felda.
Menurut Kadir, Najib tidak memerlukan "cerdik pandai Melayu" atau
orang bandar, menyedari yang beliau tidak dapat mengancam mereka supaya
berserah diri kerana rasa takut disebarkan.
Bagaimanapun, Kadir berkata, Najib, parti dan kerajaan makin lemah
dari segi media, memandangkan media arus perdana kini kehilangan pembaca
dan berdepan masalah kewangan.
Beliau berkata, integriti dan standard laporan mereka kini jatuh
apabila mempertahankan Najib dan kerajaannya runtuh dalam setiap kes
saman yang mereka tewas.
Sebaliknya, media bebas seperti akhbar Sinar Harian dan penerbitan di
bawah The Edge Media Group, makin diterima pembaca, dan pada masa sama
semakin ramai yang menggunakan blog, Facebook, Twitter dan Instagram.
"Percubaan Najib dan penyokongnya menggunakan platform ini, bermula dari PRU 2013, tidak berjaya dengan cemerlang.
"Sebaliknya, laman sesawang mereka digunakan rakyat untuk meluahkan cemuhan ke atas mereka."
www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.