Sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan acara-acara yang
melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan kita yang tidak berbelah
bahagi kepada ibu pertiwi, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
"Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan
yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di
sebaliknya," kata beliau yang juga timbalan pengerusi BN dalam perutusan
Hari Malaysia.
Pastinya, tegas beliau, perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September
telah mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut
objektifnya mahupun cara penganjurannya.
"Jika benar hendak memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya
gunalah saluran yang betul iaitu melalui parti Umno yang menerajui
kerajaan, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman.
"Saya secara peribadi ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan
supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran
apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia.
"Ini penting supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan
peristiwa yang boleh menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan
antara kaum.
"Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu
yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian
antara kaum serta keselamatan negara.
"Sempena sambutan Hari Malaysia ke-52, marilah kita bersama-sama berdoa
agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan
kemakmuran yang berkekalan," tambahnya.
Berikut adalah perutusan penuh Hari Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin:
Malaysia telah mencapai 52 tahun penubuhannya. Sepanjang tempoh ini,
negara kita telah menempa pelbagai kejayaan dan mengharungi pelbagai
cabaran.
Sebagai sebuah negara bangsa, kita telah berusaha untuk memupuk
integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, membasmi
kemiskinan, memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan, mewujudkan kestabilan
politik, memelihara keharmonian kaum dan mengekalkan keamanan negara.
Berkat persefahaman yang dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk, kita
telah menangani masalah perbezaan kaum, bahasa, agama dan wilayah untuk
mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu, bebas, aman dan
berdaulat.
Walaupun seringkali berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk
sentimen kewilayahan yang ada ketikanya dieksploitasi oleh segelintir
pihak untuk menangguk di air yang keruh, cabaran ini berjaya kita atasi
dan sehingga kini Malaysia terus berdiri megah sebagai negara yang
berdaulat.
Saya menghargai hakikat bahawa keseimbangan pembangunan antara wilayah
dan hubungan yang baik antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah
penting untuk memelihara keutuhan negara kita. Tidak boleh ada mana-mana
wilayah yang tertinggal dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan,
sosial, budaya dan lain-lain.
Ini termasuk pembangunan di Sabah dan Sarawak. Kita sedar bahawa
kedudukan geografi negeri Sabah dan Sarawak yang luas dengan keadaan
muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang, usaha untuk
membangunkan Sabah dan Sarawak memerlukan sumber kewangan, tenaga dan
kepakaran yang besar. Bukan setakat itu sahaja, setiap keperluan bagi
projek pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak perlu diputuskan dengan
segera dan dipantau dengan rapi oleh pegawai-pegawai di kedua-dua negeri
berkenaan.
Oleh sebab itu, saya berpandangan adalah wajar bagi kerajaan persekutuan
menurunkan sebahagian kuasa untuk melulus dan memantau projek-projek
pembangunan yang kritikal di Sabah dan Sarawak kepada ketua-ketua
jabatan kerajaan di kedua-dua negeri ini. Saya percaya penurunan kuasa
ini akan mempercepatkan proses kelulusan projek-projek pembangunan yang
kritikal dan meningkatkan keberkesanan pemantauan projek. Pada masa yang
sama, jabatan-jabatan ini juga perlu diberikan sokongan dari segi
sumber dan kepakaran untuk meningkatkan kecekapan.
Saya menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk
meningkatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak demi untuk memajukan
kedua-dua negeri ini dan menyejahterakan rakyat. Saya berharap agar
kerajaan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan di kedua-dua
negeri ini agar jurang antara wilayah dapat kita rapatkan dan dengan itu
semangat dan roh integrasi nasional akan menjadi lebih bermakna.
Kita juga berbangga dengan taraf pendidikan dan sosio-ekonomi rakyat
Malaysia yang semakin meningkat. Ditambah dengan kemajuan dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan rakyat negara kita lebih
bersikap terbuka dalam menerima maklumat dan peka terhadap isu-isu
semasa.
Mereka menginginkan pembangunan yang lebih mapan, peluang pekerjaan
dengan pendapatan yang lebih tinggi, peluang untuk memiliki rumah
sendiri yang lebih selesa, kos sara hidup yang munasabah, kualiti
pendidikan yang lebih baik dan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.
Lebih penting lagi, rakyat mengharapkan kepimpinan kerajaan yang
berintegriti, jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap
rakyat dan negara. Mereka mahukan kerajaan ditadbir secara telus dan
baik. Dalam menghadapi persaingan dunia yang semakin kompetitif hari
ini, tadbirurus kerajaan yang baik (good governance) merupakan kunci
kepada kejayaan Malaysia yang seterusnya.
Negara kita mempunyai sumber kekayaan yang banyak, baik dari segi sumber
asli, hasil percukaian mahupun bakat rakyatnya, namun jika sumber
kekayaan negara tidak diurus dengan cekap dan baik, oleh sebab berlaku
penyelewangan, ketirisan dan pecah amanah, maka kepercayaan rakyat,
komuniti perniagaan serta pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap
negara kita akan terhakis dan daya saing negara akan terjejas.
Malaysia tentunya akan menghadapi lebih banyak cabaran pada masa hadapan
disebabkan persaingan dunia yang semakin sengit. Keupayaan mengekalkan
kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan bergantung
kepada sejauhmana negara kita dapat ditadbir secara cekap dan amanah dan
mengekalkan daya saing untuk bertanding di peringkat antarabangsa.
Semua ini menuntut kerajaan supaya bersikap lebih responsif terhadap
tuntutan dan harapan rakyat dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi.
Tingkatkan integriti dalam pentadbiran dan ambil langkah-langkah
bijaksana untuk mengatasi permasalahan rakyat.
Saya percaya jika negara kita ditadbir dengan cekap dan amanah, maka
Malaysia akan kembali berada pada landasan yang betul untuk mencapai
wawasan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan bersatu
padu. Ini adalah tanggungjawab dan amanah besar yang dipikul oleh
kerajaan. Rakyat pula bertanggungjawab untuk menumpahkan taat dan setia
kepada negara serta sentiasa memelihara keamanan dan keharmonian
masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sehubungan itu, sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan
acara-acara yang melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan kita yang
tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi. Janganlah pula Hari Malaysia
disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan
sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya.
Pastinya perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September ini telah
mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut
objektifnya mahupun cara penganjurannya. Jika benar hendak
memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya gunalah saluran yang
betul iaitu melalui parti Umno yang menerajui kerajaan, bukan dengan
cara membangkitkan sentimen perkauman.
Saya secara peribadi ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan
supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran
apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia. Ini penting
supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan peristiwa yang boleh
menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan antara kaum.
Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu
yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian
antara kaum serta keselamatan negara.
Sempena sambutan Hari Malaysia ke-52, marilah kita bersama-sama berdoa
agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan
kemakmuran yang berkekalan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.