Maklumat Siasatan 1MDB Tidak Akan Didedahkan Kepada Rakyat
MOHAMED APANDI: Kerahsiaan itu penting bagi mempertahankan integriti siasatan dan orang ramai tidak harus mempertikaikan siasatan tersebut. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Peguam Negara yang baharu dilantik, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menghargai perhatian serta kebimbangan mendalam yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad tetapi menjelaskan perkembangan siasatan termasuk keterangan saksi-saksi tidak akan didedahkan kepada orang ramai.
Katanya, apa saja nasihat, arahan serta bimbingan yang diberikan kepada agensi-agensi penyiasat juga tidak akan didedahkan.
"Biarpun orang ramai berhak untuk diberitahu, butir-butir siasatan jenayah yang mengandungi antara lain kandungan keterangan yang diberikan oleh saksi adalah dilindungi dan undang-undang melarang hal itu didedahkan," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Mohamed Apandi, kerahsiaan itu penting bagi mempertahankan integriti siasatan dan orang ramai tidak harus mempertikaikan siasatan tersebut.
Peguam Negara mengulas kenyataan lima panel bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendesak agar siasatan terhadap 1MDB dibenarkan untuk berjalan tanpa sebarang gangguan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
Lima panel bebas yang mengawasi fungsi dan operasi SPRM itu juga mahu Jabatan Peguam Negara, Polis Di-Raja Malaysia, SPRM dan Bank Negara diberi ruang untuk menjalankan siasatan tanpa rasa gentar dan memihak.
Perkembangan minggu ini yang menyaksikan pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail daripada jawatan peguam negara menimbulkan spekulasi penamatan perkhidmatan itu dibuat kerana ada kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam satu kenyataan berasingan lebih kurang 12 jam sebelumnya, Mohamed Apandi menafikan dakwaan Sarawak Report bahawa Abdul Gani diberhentikan kerana sedang menyiapkan kertas pertuduhan jenayah rasuah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, kertas pertuduhan yang didakwa "tidak ada dan tidak pernah sampai di Jabatan Peguam Negara".
"Lagi pula, format kertas itu tidak betul atau ditulis oleh jabatan kami," katanya.
Mohamed Apandi juga memaklumkan bahawa siasatan Pasukan Petugas Khas masih belum selesai dan mustahil dari segi undang-undang satu kertas pertuduhan boleh dirangka lebih awal.
"Dakwaan kertas pertuduhan ini menunjukkan bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri yang sedang berkhidmat dengan mengaitkan beliau dengan jenayah dan cara-caranya termasuklah dengan mengada-adakan dan membocorkan (dokumen)," katanya yang meyifatkan plot itu sebagai satu ancaman kepada demokrasi Malaysia.
"Saya akan mengarahkan semua tindakan wajar diambil untuk menyiasat (konspirasi itu). Undang-undang yang tegaskan akan dikenakan tanpa berkecuali kepada sesiapa yang didapati bersalah."
- astroawani
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.