Followers

Wednesday, June 3, 2015

Penyokong Najib Terpaksa Menunggu Lagi - Oleh Shahbudin Husin


Penyokong Najib Terpaksa Menunggu LagiSejak pagi semalam, apabila tersebar hebahan mengenai kepulangan Muhyiddin Yassin dari luar negara bakal disambut secara besar-besaran dan kemungkinan beliau akan membuat pengumuman penting, yang paling gelisah dan tidak senang duduk ialah para penyokong Najib Razak.

Mereka menanti dengan penuh debar sambil di media sosial meramalkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Semuanya tergambar bernada bimbang.

Apabila ada yang melaporkan bahawa Muhyiddin bakal mengumumkan perletakan jawatannya sebaik tiba di KLIA, terdapat antara mereka yang meluahkan perasaan bahawa detik hitam dalam UMNO dan perpecahan di kalangan orang Melayu akan berlaku sekali lagi.

Secara tidak langsung ia menggambarkan ketakutan mereka terhadap gerak dan gertak politik Muhyiddin dan dalam masa yang sama juga menyerlahkan kekuatan Najib yang digembar-gemburkan selama ini tidaklah setara mana sebenarnya.

Kalangan para penyokong Najib hanya kelihatan lega apabila akhirnya mendapati sebaik Muhyiddin tiba di KLIA, beliau tidak membuat pengumuman apa-apa, malah tidak bercakap pun dengan puluhan wakil media yang sedia menunggu.

Lebih melegakan mereka ialah apabila mendapati orangramai yang menyambut Muhyiddin hanyalah kira-kira 200 orang saja dan ia tidaklah melebihi sambutan yang diterima Najib di kebanyakan acara meraih sokongan yang diadakannya di pelbagai tempat sejak kebelakangan ini.

Menjelang lewat malam tadi, para penyokong Najib seolah-olah telah mencapai kemenangan kerana kebimbangan mereka Muhyiddin akan membuat sesuatu pengumuman yang boleh menjejaskan masa depan "boss" mereka tidak menjadi kenyataan akhirnya.

Ada juga yang mengucapkan syabas kepada Muhyiddin kerana kononnya tidak mudah melatah dengan provokosi yang ingin melaga-lagakannya dengan Perdana Menteri.

Sekali lagi, tanpa sedar mereka telah mengakui kedudukan Najib yang kian rapuh itu telah diselamatkan hanya kerana Muhyiddin tidak membuat sesuatu pengumuman yang mengejutkan sekembalinya dari luar negara.


Hanya kerana provokasi kecil-kecilan dan mainan persepsi di media dan laman sosial, penyokong Najib barangkali ada yang sudah hilang selera makan dan tak lena tidur sejak semalam.

Sebenarnya Muhyiddin memang tiada perancangan langsung membuat sesuatu keputusan atau pengumuman yang mengejutkan sekembalinya daripada percutian malam tadi. Jemputan menyambutnya hanyalah diedarkan kepada rakan, kenalan dan para penyokongnya saja.

Ia memang acara biasa setiap kali Muhyiddin pergi atau kembali dari luar negara. Ia adalah sebagai tanda kemesraan dengan Timbalan Perdana Menteri itu sejak sekian lama dan biasanya hanya diadakan secara kecil-kecilan atau sederhana saja.

Mereka yang menjadi penyokong atau biasa dengan Muhyiddin, tentu tahu bahawa adalah lumrah menerima pesanan ringkas bagi sebarang acara yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Para penyokong dan mereka yang biasa dengan Muhyiddin juga tentunya arif bahawa amat mustahil bagi Timbalan Perdana Menteri itu membenarkan dirinya disambut secara besar-besaran dan kemudian disusuli pula dengan membuat sesuatu pengumuman penting mengenai masa depannya.

Sejarah politiknya sejak menjadi Menteri Besar Johor dan ketika mendesak Tun Abdullah mempercepatkan perletakan jawatannya pada 2008 dahulu jelas memperlihatkan Muhyiddin adalah seorang yang berhati-hati dan hanya membuat keputusan penting jika keadaan benar-benar memihak kepadanya.


Hanya kebetulan saja kembalinya beliau dari bercuti kali ini bertembung dengan kehangatan isu politik negara dan baru beberapa hari pula Najib memberi kata dua kepada anggota kabinetnya sama ada bersamanya atau mengundurkan diri jika tidak bersetuju dengan pelan hala tuju yang dibentangkan mengenai 1MDB.

Tetapi semua itu tidak sesekali membuatkan Muhyiddin perlu memberi reaksinya dengan segera.
Dalam kemelut politik semasa, terutama berkaitan 1MDB dan kritikan Tun Mahathir yang sedang menjadi isu besar dalam negara, sesuatu yang harus difahami oleh para penyokong Najib ialah pendirian Muhyiddin tetap sama dan tidak berubah berbanding sebelum ini meskipun tiada apa-apa pengumuman dibuatnya sebaik kembali daripada bercuti bersama keluarganya malam tadi.
Muhyiddin tetap Muhyiddin yang dulu. 

Pendiriannya mengenai 1MDB tidak berubah, begitu juga sikapnya terhadap teguran dan kritikan Tun Mahathir kepada Najib tetap sama seperti dulu.


Tidak disambut oleh puluhan ribu penyokong dan tidak bercakap dengan media, tidak bermakna tiada apa-apa, jauh sekali menjadikan Muhyiddin tiba-tiba berubah menjadi seorang "penakut" atau sanggup melutut kepada Najib.

Tidak meletakkan jawatan sekarang tidak bermakna tidak berbuat demikian di lain ketika, kekal dalam kabinet tidak juga bererti tidak boleh terus berbeza pendirian.

Yang nyatanya, penyokong Najib kena menunggu lagi dan akan terus berdebar-debar menanti langkah Muhyiddin seterusnya. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.