Polis perlu siasat anggota berkelakuan lucah, kata Suaram
Dalam kenyataannya hari ini, Suaram berkata, laporan polis dibuat pada 28 Mei lalu oleh penduduk kampung terhadap pegawai tersebut apabila pegawai berkenaan didakwa melakukan aksi tidak senonoh yang dilakukan di ladang getah kampung tersebut.
"Salah seorang penduduk yang berada di tempat kejadian mengesahkan kepada Suaram, Sarjan Mejar Abu Bakar menyatakan dan melakukan perkara-perkara yang lucah kepada penduduk kampung," kata NGO itu.
Suaram berkata, penafian Ketua Polis Negeri Sembilan Jaafar Mohd Yusof terhadap tindakan anggotanya juga seakan-akan terburu-buru. "Ini adalah disebabkan, laporan baru sahaja dibuat sehari dan langsung tiada memanggil penduduk kampung untuk membuat sebarang penerangan.
"Ini adalah sesuatu kes yang serius yang perlu diberikan perhatian oleh pihak polis," kata Suaram.
Pertubuhan itu berkata, isu melakukan gangguan seksual kepada orang awam adalah merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tetapi sekiranya benar-benar berlaku ianya perlu dibawa ke muka pengadilan untuk diadili.
Suaram berkata, meskipun kes berkaitan Kampung Gatco ini masih berada dalam proses perbicaraan yang akan bersambung di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 18 Ogos 2015 nanti, masih berlaku kerja-kerja mengeluarkan kayu getah yang sepatutnya diberhentikan sehingga keputusan perbicaraan selesai.
"Setakat ini keputusan di peringkat mahkamah rayuan, hakim memutuskan penduduk Kampung Gatco berhak membawa kes ini ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan penuh," kata pertubuhan itu.
Sehubungan itu, Suaram menuntut siasatan yang telus, adil dan serius mesti dilakukan terhadap anggota polis terlibat berkaitan laporan yang dibuat ke atasnya.
Selain itu, Suaram juga menggesa agar segala kerja-kerja pemaju di ladang getah perlu diberhentikan serta merta dan hendaklah menghormati keputusan mahkamah sehingga selesai perbicaraan.
"Pihak polis perlu menyiasat adakah terdapat unsur-unsur salah guna kuasa atau rasuah berkaitan dengan jawapan yang diberikan oleh polis iaitu ini adalah arahan orang atasan," katanya. – 29 Mei, 2015.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.