Followers

Thursday, May 7, 2015

'Barua UMNO' : Kenyataan Azmin Melampau - KPN

 
 
BUKIT MERTAJAM 6 Mei - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan sebagai melampau kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang didakwa menggelarnya 'barua UMNO' dalam ceramah baru-baru ini.

Khalid berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai dakwaan Azmin itu dan Persatuan Pegawai Kanan Polis sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

"Negara kita ada undang-undang dan biarlah undang-udang yang menentukan. Saya tidak pasti sama ada kertas siasat berhubung kes itu dibuka atau tidak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau sedih dengan kenyataan Menteri Besar Selangor itu, Khalid berkata, beliau sudah sering berhadapan dengan kenyataan seumpama itu. "Kamu (wartawan) pun tahu saya sudah banyak kali dikecam seperti ini.

Tapi bagi saya kenyataan Mohamed Azmin kali ini adalah melampau," katanya.

Mohamed Azmin dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh baru-baru didakwa mengeluarkan kenyataan secara terbuka mendakwa Khalid sebagai barua UMNO. Dalam pada itu,

Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis (Cawangan Pegawai Diwartakan) Datuk Shah Gzali Khan Shahadad berkata PDRM amat terguris dengan perbuatan yang dianggap biadap imbalan presiden PKR itu.

Ketua Polis Negara adalah sebuah institusi dan penghinaan itu bererti (terhadap) seluruh institusi PDRM juga, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu turut mewakili Persatuan Pegawai Kanan Polis (cawangan Inspektor) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis. Oleh itu, PDRM mendesak Mohamed Azmin supaya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka terhadap penghinaan ke atas pasukan keselamatan itu.

"Kenyataan media ini tidak dibuat serta-merta sebaik saja media sosial melaporkan perkara itu, ini kerana PDRM beranggapan kata-kata kesat itu mungkin disalah rujuk atau disalah tafsir.

"Namun hingga kini beliau (Mohamed Azmin) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyangkal, maka sahlah beliau bertindak di luar batasan tertib dan budaya demi kepentingan politik," kata Shah Gzali.

Tambah beliau, sebanyak tiga laporan polis dibuat berikutan ketidakpuasaan hati terhadap tindakan Mohamed Azmin itu yang dikatakan turut menggelar Khalid dengan pelbagai nama seperti yang dilaporkan beberapa media online baru-baru ini.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.