Sebuah laman web pro-Umno mendakwa, terdapat pemimpin Pemuda Umno yang
berkomplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Laman Mykmu.net melaporkan, usaha itu dilakukan dalam satu mesyuarat bersama Pemuda Umno Johor di Rompin malam tadi.
Dalam mesyuarat itu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan atau dikenali
sebagai Azwan Bro (kanan) didakwa menghasut ketua pemuda Umno bahagian
Johor untuk menentang kepimpinan presidennya.
Menurut laporan itu lagi, mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh exco
Pemuda Umno Arman Azha Abu Hanifah, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi,
Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman dan Penolong Setiausaha Pemuda BN
Datuk Mohamed Shafri Abd Aziz.
Azwan yang sepatutnya membincangkan strategi kempen Pemuda Umno Rompin
dilaporkan turut melahirkan rasa tidak percaya dengan penjelasan Najib
semasa pertemuan bersama Pemuda Umno minggu lalu.
Katanya, tindakan Ahli Parlimen Pekan itu sekadar untuk membeli masa bagi menunggu laporan Ketua Audit Negara.
"Menurut sumber, Azwan mengingatkan Pemuda Johor bahawa sokongan Pemuda
Umno Malaysia adalah kepada jawatan presiden Umno bukannya kepada Najib
Tun Razak.
"Beliau turut menyatakan tidak percaya dengan penjelasan perdana menteri
semasa pertemuan Pemuda Umno Malaysia minggu lalu dan percaya Najib
hanya buying time(membeli masa) untuk menggunakan alasan menunggu Ketua
Audit Negara," kata laporan itu.
Malah, laporan itu mendakwa, Azwan yang pernah menjadi ketua Pemuda
Perak turut beranggapan, Najib harus ditumbangkan dan orang yang layak
mengetuai tindakan itu ialah Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin Abu
Bakar.
Laporan itu menyebut, pandangan Azwan itu turut mendapat sokongan Ketua Pemuda Umno Sri Gading, Simpang Renggam dan Pulai.
Mykmu.Net juga mendakwa, Azwan akan berada di Permatang Pauh esok untuk meneruskan agenda yang sama.
Arman: Cuma mahu naikkan rating
Khairy dan Azwan masih lagi tidak memberi sebarang respon terhadap dakwaan ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Arman menafikan laporan
oleh Mykmu.netdan mengatakan ia bertujuan hanya untuk mendapatkan
menaikkan rating laman web itu.
Malah, Arman (kanan) berkata, semasa mesyuarat itu semalam, tiada
mana-mana pihak yang mendesak Najib meletakkan jawatan seperti yang
dilaporkan.
Jelasnya, antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu semalam adalah
tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST).
"Saya nak sanggah apa yang di perkatakan oleh penulis Mykmuyang
mengatakan perbincangan untuk jatuhkan Datuk Seri Najib dalam sesi
perbincangan semalam.
"(Saya) nak tanya, penulis ada ke dalam perbincangan semalam atau
sekadar mendengar cerita dan manipulasi cerita sekadar mengejar rating
bagi portal Mykmu?" soal Arman.
Malah Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim turut menafikan perkara sama.
Dalam tulisan di Facebooknya, Hahasrin berkata, perbincangan malam tadi
menjurus kepada gerak kerja parti di peringkat Pemuda Umno Johor
termasuk berbincang isu nasional.
"Tidak timbul isu untuk Pemuda buat gerakan menjatuhkan pemimpin.
“Pemuda masih berpegang kepada kesetiaan dalam perjuangan parti dan
kepada pihak yang mengambil kesempatan digesa untuk menghentikan
tohmahan dan tuduhan liar tersebut," tulisnya.
- mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.