Followers

Monday, April 27, 2015

Najib bakal berdepan tsunami Melayu - FMT Reporters

 
najib dilema

Jika berlaku kemerosotan undi BN di Permatang Pauh dan Rompin, Najib harus memberikan perhatian yang serius terhadap hala tuju beliau dalam perjuangan politik, sama ada untuk menyelamatkan diri dan isteri atau parti.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berdepan tsunami Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika terus mengamalkan dasar-dasar yang menghimpit rakyat.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Rompin akan menjadi ukuran penerimaan rakyat khususnya pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN).

“Saya mahu memberitahu Najib dengan sejujurnya bahawa keyakinan rakyat kepadanya berada pada tahap yang amat membimbangkan dan amat menyedihkan perasaan saya. Saya nampak akan kemungkinan berlakunya Tsunami Melayu pada Plihan Raya Umum akan datang.

“Saya bimbang pada nasib UMNO dan saya tidak bimbang pada nasib Najib. Sayang sekali kepincangan parti-parti pembangkang sekarang tidak menjadi suatu peluang bagi membangkitkan semula kekuatan UMNO dan BN.

“Jika berlaku kemerosotan undi BN di kedua kawasan parlimen itu maka Najib harus memberikan perhatian yang serius terhadap hala tuju beliau dalam perjuangan politik, sama ada untuk menyelamatkan diri dan isteri atau parti,” tulis Zam di blognya zamkata.blogspot.com.

Tambah Zainuddin, apa yang terjadi kepada Najib ini pernah terjadi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila tidak menghiraukan keadaan rakyat.

Beliau mendakwa, kepercayaan Abdullah bahawa kemenangan besar BN pada PRU 2004 kerana popularitinya adalah tidak tepat kerana keyakinan rakyat adalah kemantapan ekonomi dan maruah tinggi yang diwariskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Abdullah tidak mempedulikan ancaman yang didatangkan oleh Dr. Mahahir yang melantiknya malah melakukan tindakan-tindakan yang menyakitkan hatinya termasuk membayar ganti rugi berjuta ringgit kepada hakim untuk menunjukkan ketidakadilan Dr Mahathir dan membatalkan beberapa projek meganya.

“Maka itu saya menyalahkan Dr. Mahathir di atas kemerosotan merudum sokongan pada Abdullah setelah beliau mengistiharkan kesilapan melantiknya sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.

Selain itu, Najib yang bersikap seakan tidak mengenang budi Dr Mahathir berkemungkinan juga akan mengalami nasih yang sama seperti Abdullah.

“Najib tidak merasa terhutang budi kepada Mahathir untuk meneruskan projek yang pada Mahathir bersifat maruah negara (Jambatan Bengkok). Beliau juga meruntuhkan tunggak kekuatan negara iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang keperluannya dirasakan kembali dan menggantikannya dengan Akta Pencegahan Keganasan (POTA). Kelihatannya sekarang (Najib) sebagai cuba memasak semula nasi yang sudah menjadi bubur,” tulisnya.

Zam berkata, Najib berani memperkenalkan dasar-dasar yang mencabar rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menghapuskan subsidi minyak untuk populariti dan keuntungan sementara, cuba menaikkan umur kelayakan mengeluarkan caruman KWSP, menubuhkan National Unity Consultative Council yang tidak berfungsi (memakan diri sendiri) dan slogan 1Malaysia yang tidak tersemat di hati rakyat seperti ” Malaysia Boleh” malah slogan itu menimbulkan kemarahan orang Melayu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.