Sambungan dari N3 kelmarin...(Yang belum baca boleh akses di sini).
KENYATAAN YANG DIPERTIKAI |
Berikut kenyataan dari anak muda PAS yang sudah tersebar luas di dunia
siber. Anak muda itu ialah Pengarah Pendidikan Politik, Dewan Pemuda PAS
Pusat. Isinya amat bagus. Haji Razman dan Dr Zuhdi patut baca. Yong
perturunkan di sini buat pengunjung yang tiada Facebook.
KENYATAAN MEDIA
Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS
Malaysia berbeza pandangan dengan Ketua Pegawai Operasi Pusat
Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, dan Pesuruhjaya PAS
Perak, Haji Razman Zakaria, di dalam isu seruan kepada ahli-ahli PAS
yang tidak bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti supaya keluar parti
untuk menyelesaikan konflik dalaman parti.
Seruan meminta ahli-ahli PAS keluar parti
adalah suatu tindakan yang tidak bijak, apatah lagi jika ia dibuat oleh
pemimpin tinggi parti.
Seruan ini tidak selari dengan prinsip demokrasi
di dalam parti di samping bercanggah dengan perlembagaan parti dan
sangat bertentangan dengan usaha para pemimpin terdahulu yang bekerja
dengan penuh jerih mengajak rakyat Malaysia menyertai PAS.
Selaku sebuah parti yang memperjuangkan hak
asasi rakyat, di dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syariat, kita di
dalam PAS sepatutnya menghormati hak asasi ahli PAS untuk kekal menjadi
ahli PAS, apa lagi hak untuk memilih dan dipilih untuk memegang
mana-mana jawatan dalam parti, di samping hak untuk memberikan pendapat
dan pandangan kepada parti.
Fasal 15(1) Perlembagaan PAS menyebut
“keberhentian ahli ialah disebabkan (a) permintaan sendiri (b) dipecat
(c) mengisytihar diri keluar PAS atau menyertai parti politik lain.”
Peruntukan di bawah Fasal 15(1)(a) dan (c) jelas menyentuh hak asasi
ahli yang tidak boleh diusik oleh sesiapa, waima oleh pemimpin tertinggi
parti sekalipun, kerana ia membabitkan kerelaan ahli.
Sebaliknya, jika mana-mana pihak merasakan
bahawa kewujudan ahli-ahli tertentu parti menimbulkan kemudaratan, apa
yang boleh mereka lakukan ialah bukan membuat seruan terbuka tetapi
mengemukakan cadangan bertulis kepada Setiausaha Agung bagi
dipertimbangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS supaya
ahli-ahli tersebut dipecat dari parti.
Asal saja bukti ada; selaras Fasal 15(3)(a)
Perlembagaan PAS yang menyebut “pemecatan seseorang ahli itu bolehlah
dilakukan apabila terbukti ianya telah melanggar Perlembagaan PAS,
Aturan dan Peraturan serta arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti,
atau telah melakukan sebarang perbuatan yang berlawanan dengan
kepentingan parti atau menyalahi tatatertib parti”.
Sedarkah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman apakah
yang akan berlaku jika seruan mereka supaya ahli-ahli PAS yang tidak
bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti keluar parti disahut oleh
ahli-ahli tersebut?
Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman berapakah
bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar dengan Pendaftar
Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif pada masa ini?
Jika Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman melihat
semula Laporan Tahunan PAS Sesi 2013/2014 yang dibentangkan di dalam
Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60 di Batu Pahat, pada September lalu,
mereka patut tahu bahawa bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar
dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif hanyalah
sebanyak 763,849 dan 6,894 sahaja.
Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman betapa
susahnya para pemimpin terdahulu bekerja untuk mengumpul ahli hingga
menjadi seramai ini?
Di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 di Taman
Melewar pada Jun 1991, Almarhum Datuk Fadzil Noor telah mensasarkan
untuk mendapatkan 180,000 ahli baru bagi mencukupkan ahli PAS menjadi
500,000 pada tahun 1995.
Tetapi berapa orang sahajakah ahli yang mampu
ditambah oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Dr Daeng Sanusi
Mariok di dalam tempoh empat tahun ini? Hanya 48.5% dari jumlah yang
disasarkan sahaja, iaitu 87,328 orang, dengan 21,123 orang pada sesi
1991/1992, 17,550 orang pada sesi 1992/1993, 21,547 orang pada sesi
1993/1994 dan 27,108 orang pada sesi 1994/1995.
Bayangkanlah betapa gembiranya Almarhum Datuk
Fadzil di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada
Mei 1999 apabila mengumumkan di dalam ucapan dasar beliau bahawa, hasil
dari gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan
sebelum itu, “Alhamdulillah rancangan kita telah pun berjaya. Hari ini
bilangan ahli PAS telah melebihi setengah juta.”
Jelas Almarhum Datuk
Fadzil, “Saya cukup terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah
lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini”.
Dengan bangganya Almarhum Datuk Fadzil
menyebut, “Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan bahawa PAS
begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama dari golongan
profesional.
Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan
mereka tidak mempunyai tenaga profesional? Sekarang kita mempunyai
ribuan ahli di kalangan profesional. Apakah kita masih tidak mampu
mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?”
Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS
Malaysia menyeru semua pemimpin PAS supaya berlapang dada memikirkan di
manakah silapnya apabila ahli-ahli yang sebelum ini pernah menjadi
lambang kebanggaan kita kini cuba dihambat keluar dari parti pula.
Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari parti perlulah dihentikan
serta-merta kerana gesaan ini sangat memalukan. Ia seolah-olah membuat
pengakuan terbuka bahawa Lajnah Dakwah dan Lajnah Tarbiyyah kita gagal
dalam melaksanakan tugas mendakwah dan mentarbiyyah ahli-ahli parti.
Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS
Malaysia ingin mengingatkan semua pemimpin PAS bahawa sebagai sebuah
parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan kuantiti pada
ahli-ahli kita.
Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari parti adalah
berlawanan dengan matlamat kita berpolitik, iaitu untuk mencapai
kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai redha Ilahi.
Meruntuhkan
apa yang telah dibina dengan bersusah-payah oleh para pemimpin terdahulu
bukanlah kerja yang susah, tetapi membinanya semula sudah tentu akan
memakan masa.
Dengan penuh hormat, saya berharap agar gesaan sedemikian tidak berulang lagi.
MOHD HASBIE MUDA
Pengarah Pendidikan Politik
Facebook Hasbie Muda
Di bawah ini pula petikan kenyataan Pemuda PAS Kota Bharu. Isinya
berbeza. Yang ini, selain Haji Razman dan Dr Zuhdi, Nik Abduh pun patut
baca supaya lain kali berfikir sebelum bercakap.
Apa dikecoh gesa presiden PAS undur?
Pemuda PAS Kota Bharu ingin melahirkan rasa
dukacita ke atas kemelut yang berlaku di dalam PAS menjelang pemilihan
kepimpinan parti Jun ini.
Cara kita menangani kritikan memperlihatkan
seolah-olah PAS adalah sebuah parti yang tertutup, mana-mana ahli yang
menegur pimpinan dianggap telah melakukan kesalahan.
Jika ada ahli yang menyarankan mana-mana
pimpinan parti mengundurkan diri maka ahli ini dikatakan telah melakukan
dosa besar, tidak wala' kepada pimpinan.
Dalam soal ini, Pemuda PAS Kota Bharu ingin
mengimbau kembali tindakan yang telah dibuat oleh almarhum Mursyidul Am
PAS, Datuk Nik Aziz (kiri), ketika PAS berkemelut pada tahun 1982
dahulu.
Dalam laporan bertajuk "Nik Aziz akui krisis
dengan Asri: Masalah dalam pilihan raya umum lalu", Tuan Guru Nik Aziz
mempertikaikan tindakan Datuk Asri melantik dirinya sendiri sebagai
pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon PAS Kelantan dan cara pemilihan
calon PAS dalam pilihan raya umum 1982.
Tuan Guru Nik Aziz secara terbuka mengkritik
presiden PAS pada waktu itu, Datuk Asri, dalam akhbar Berita Harian pada
6 Julai 1982.
Kata Tuan Guru Nik Aziz, sepatutnya beliau
yang menjadi pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik mengetuai jawatankuasa
tersebut, bukan Datuk Asri.
Beliau malah menyebut dalam laporan tersebut
betapa beliau telah diperalatkan oleh Datuk Asri. Apa tindakan Datuk
Asri terhadap Tuan Guru Datuk Nik Aziz pada waktu itu?
Tiada apa tindakan pun. Begitulah terbukanya PAS pada waktu itu.
Baca seterusnya di http://www.malaysiakini.com/news/290589.
Dalam tahun 90an, agaknya Haji Razman dan Dr Zuhdi masing-masing sibuk
membina kerjaya. Dalam tahun 80an mungkin masih belajar. Mohd Hasbie
Muda dan Pemuda PAS Kota Bharu pula tentu masih sangat budak dan tak
tahu apa-apa.
Tetapi hari ini budak-budak itu mampu buat kajian dan analisis.
Haji Razman dan Dr Zuhdi tak tahu buat apa, sebab sepertinya mereka jahil tentang sejarah PAS.
Tak mengapalah. Budak-budak tu dah sekolahkan keduanya dan sesiapa saja
yang bersama mereka berdua dalam isu berbangkit mengenai pemilihan dalam
Muktamar 2015 ini.
Ini pula kenyataan Nik Abduh berkaitan dengan isu yang sama:
SIAPAKAH PARASIT YANG FASIK ITU? |
Beranikah Nik Abduh mempertikai ayahandanya sendiri yang pernah menentang Dr Asri?
Nak sekolah dengan budak-budak tentu segan. Oleh itu, amat sesuai kalau Hj Razman, Dr Zuhdi dan Nik Abduh sekolah dengan Dr Dzulkifly Ahmad.
Nak sekolah dengan budak-budak tentu segan. Oleh itu, amat sesuai kalau Hj Razman, Dr Zuhdi dan Nik Abduh sekolah dengan Dr Dzulkifly Ahmad.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.