Followers

Saturday, February 28, 2015

UMNO mahu PR berpecah demi majoriti dua pertiga di Parlimen

 
Liew-Chin-TongKLUANG, 27 FEB: UMNO sedang berusaha untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat supaya ia dapat terus memerintah apabila berjaya mendapatkan lebih banyak kerusi di Parlimen dengan melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Menurut Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Malaysia kini mempunyai pertandingan ‘50-50’ antara dua gabungan pembangkang dan kerajaan setelah pilihanraya 2008 dan 2009.

Ini menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional berusaha berhempas-pulas untuk kembali mendapatkan kuasa penuh seperti ketika sebelum kedua-dua pilihanraya itu.

“Antara cara mereka nak dapatkan kuasa seperti dulu ialah dengan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

“Ini agenda utama pimpinan UMNO dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujar Ahli Parlimen Kluang itu.

Namun, menurut Chin Tong usaha persempadanan semula ini memerlukan pindaan perlembagaan dengan majoriti dua pertiga justeru menyebabkan Barisan Nasional memulakan langkah memecah-belahkan Pakatan supaya mereka mendapat dua pertiga majoriti.

Kata beliau ini boleh dilakukan dengan mudah kerana mereka hanya memerlukan empat belas kerusi sahaja untuk tujuan itu.

“(UMNO akan) pecah-belahkan PR dengan berusaha agar PAS bergabung dengan UMNO atau pecahkan PAS dengan melobi golongan Kerajaan Perpaduan dalam PAS untuk dapatkan lebih undian di Parlimen.

“Dengan mendapatkan undian (dari perpecahan ini), persempadanan semula dan pertambahan kerusi (di Parlimen dan DUN) akan memberi kelebihan sewaktu pilihanraya akan datang.”

Dalam pada itu, Chin Tong berkata UMNO kini telah membuat beberapa usaha terang-terangan dan secara rahsia untuk melemahkan dan menghancurkan Pakatan Rakyat. 

Ini termasuklah pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, rundingan hudud oleh Kerajaan Persekutuan UMNO dengan kelompok Kerajaan Perpaduan (UG), dan mengapi-apikan isu perkauman.

“Pemenjaraan Anwar Ibrahim bertujuan menghalang calon alternatif Perdana Menteri Malaysia.
“Penonjolan isu hudud pula bertujuan untuk pecahkan Pakatan Rakyat atau PAS dari dalam. 

Jelas sekali, UMNO tak pernah berniat pun untuk laksana hudud, kenapa tiba-tiba sekarang ini UMNO ghairah benar menekan PAS untuk laksana hudud pula?

“Perpecahan dalam Pakatan hanya membuatkan UMNO mendapatkan pengaruh lebih banyak dari mereka yang ingin dekat dengan UMNO melalui projek UG ini, lebih-lebih lagi dalam usaha mereka untuk adakan persempadanan semula.

“Memahami semua ini, akan membantu kita membaca senario sekarang dengan labih baik,” jelas Chin Tong. – 


Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.