MKN Nafi Ribut Tropika Jangmi Akan Landa 90 Peratus Kawasan Di Malaysia Pada 3 Jan
Oleh Noor Farhana Ahmad Norain
KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Setiausaha Majlis Keselamatan Negara
Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menafikan dakwaan kononnya ribut
tropika 'Jangmi' akan melanda 90 peratus kawasan di Malaysia pada 3 Jan
ini.
Beliau berkata mesej yang tersebar secara meluas di laman sosial hari ini berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
Mohamed Thajudeen menjelaskan bahawa ribut tropika Jangmi yang kini
berada di kawasan perairan Filipina dijangka akan menjadi lemah di
kawasan Laut Sulu.
"Cuma yang akan berlaku nanti ialah laut akan bergelora, dan berlaku
hujan di beberapa kawasan khususnya di sebelah timur Malaysia.
"Kita telah semak dengan Jabatan Meteorologi dan mereka nyatakan ribut
tropika itu memang berada di kawasan Filipina. Tetapi tidaklah sampai
akan melanda 90 peratus kawasan Malaysia. Ia akan menjadi lemah di Laut
Sulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
MKN menyifatkan penyebaran berita tidak benar sebagai perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab, kata Mohamed Thajudeen.
Beliau menasihatkan agar perbuatan itu dihentikan, memandangkan rakyat
Malaysia baru hendak pulih daripada bencana banjir dan mahu memulakan
hidup baharu.
"Janganlah buat perbuatan khianat ini kepada rakyat. Cerita-cerita
begini mewujudkan suasana panik, cemas dan mengecewakan rakyat.
Perbuatan ini tidak baik dan boleh dianggap mengkhianati rakyat
Malaysia," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah
Ismail berkata ribut Jangmi dijangka menyebabkan keadaan laut bergelora
hanya di perairan Sabah, Labuan, dan Miri serta Bintulu di Sarawak dalam
tempoh 31 Dis hingga 2 Jan.
Penduduk di kawasan perairan Sabah (Kudat, pantai barat, Sandakan dan
pedalaman) dinasihatkan mengelak daripada sebarang aktiviti marin
terutamanya pada 1 Jan, 2015, kerana ribut tropika itu dijangka akan
menyebabkan cuaca buruk di kawasan-kawasan berkenaan.
Semalam, Che Gayah berkata ramalan dari Joint Typhoon Warning Centre
(JTWC) menyebut bahawa ribut itu berada 665km dari Timur Laut Sandakan
dan sedang bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 15km sejam.
"Ribut itu boleh menyebabkan angin kencang selaju 50 hingga 60kmsj yang
berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap
ikan dan perkhidmatan feri," kata Che Gayah.
Beliau berkata ia boleh mengakibatkan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter serta hujan lebat di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam makluman terbaharunya
menyatakan ribut tropika Jangmi telah menjadi lemah kepada Lekukan
Tropika pada 12 tengah hari tadi.
Lekukan Tropika itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan
40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan
perairan Sabah (Sandakan, Kudat, pantai barat dan pendalaman), Labuan
dan beberapa kawasan di Sarawak.
"Mengikut cerapan pada jam 12 tengah hari tadi, Lekukan Tropika ini
berada pada kedudukan latitud 8.9 darjah Utara dan longitud 121.7 darjah
Timur. Jarak paling hampir dengan bandar di Malaysia ialah 527 km ke
Timur Laut Sandakan.
"Ia sedang bergerak ke arah selatan dengan kelajuan 12kmsj," menurut kenyataan jabatan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian
hotline 1-300-22-1638 dan laman sosial MetMalaysia di facebook
https://www.facebook.com/malaysiamet atau twitter
https://twitter.com/malaysiamet.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.