Followers

Saturday, January 3, 2015

Hujan monsun bermula minggu depan

 
 
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata episod hujan monsun dijangka bermula 7 atau 8 Jan ini dan berkemungkinan membawa taburan hujan berterusan selama dua hingga tiga hari di negeri seperti Johor, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Gayah Ismail berkata kejadian luruan monsun itu hanya dapat dipastikan dua atau tiga hari sebelum tarikh berkenaan.

"Biasanya setiap musim tengkujuh, luruan monsun berlaku empat hingga lima kali. Musim tengkujuh kali ini telah bermula pada November 2014 dan dijangka berakhir pada Mac 2015," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kenyataan berhubung perkara sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin menasihatkan penduduk yang terdedah kepada risiko banjir musim tengkujuh supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini cuaca.

"Orang ramai turut digesa tidak mudah percaya dengan maklumat cuaca buruk atau kejadian tsunami yang tidak sahih yang banyak tersebar di media sosial, katanya.

Che Gayah berkata pihaknya telah menempatkan seorang pegawai meteorologi di Majlis Keselamatan Negara untuk memberi perkembangan terkini berhubung fenomena cuaca termasuk episod hujan monsun yang mungkin berlaku.

"Kami akan terus mengemas kini sebarang maklumat dari semasa ke semasa melalui laman web rasmi dan akaun laman sosial seperti Facebook dan Twitter rasmi jabatan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari di laman sesawang www.met.gov.my dan laman twitter di https://twitter.com/malaysianmet.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.