Followers

Sunday, January 4, 2015

Bertuah Ibu Yang Melahirkan Anak Seperti Ini...... ALHAMDULILLAH.....

 



BANJIR 2014 - BAHAGIAN 3 (Wira yang tidak didendang - the unsung hero)

(1)
Saya mahu memperkenalkan satu sosok mulia. Barangkali ada antara kalian yang mengenali beliau, dan telah mengikuti perkongsiannya yang bersifat semasa dan mendasar ke lapangan, di halaman FB miliknya. Jika ya, tidak mengapa. Bacalah lagi. Jika belum, selamat berkenalan dengan sosok istimewa dan bijaksana. Mari sama-sama kita berkongsi kesyukuran atas kewujudan hamba Allah yang berhati mulia ini.

(2)
Beliau merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang dilahirkan dengan tidak sempurna sifat. Kaki kanannya tiada, dan beliau bergerak menggunakan kaki palsu. Jejari pada tangan kanannya bercantum. Namun, kekurangan itu tidak dijadikan rintangan untuk beliau berbakti kepada masyarakat yang dilanda bencana.

(3)
Nama penuh beliau ialah Y.M. Raja Shamri bin Raja Hussin. Mesra disapa dengan panggilan Abang Raja. Pemilik syarikat motivasi yang sedang menapak naik di Kelantan, Golden Minds Consultant yang beroperasi di Pasir Putih ini, telah menjadikan Masjid Ibrahimi, Pasir Putih sebagai tempat operasi untuk dia dan Dr. Hadi menjalankan misi menyelamat dan menghantar bantuan buat mangsa bencana di Kelantan.

(4)
Pada asalnya, misi itu hanya dibuat pada skala kecil. Namun, berkat keikhlasan dan kesungguhan yang tidak mengenal lelah dan payah, misi anjurannya menjadi besar. Sukarelawan datang dari pelbagai arah. Bantuan tiba dengan mencurah-curah. Benarlah, saat keikhlasan hati dan kemurnian jiwa mengambil tempat, mudah sahaja Allah membukakan hati manusia untuk berkongsi rezeki dan kudrat.

(5)
Bantuan tidak dihantar ke pusat pemindahan banjir, kerana bantuan ke lokasi itu telah diselia dan disedia oleh pihak kerajaan. Pasukan beliau fokus kepada mangsa yang jauh terperosok ke kawasan pedalaman dan tidak berada di pusat pemindahan banjir, atas pelbagai sebab.

Kebanyakannya kerana aliran deras air yang menyukarkan pergerakan, ataupun disebabkan oleh pusat pemindahan ikut tenggelam, yang menyebabkan mangsa lari ke tanah lebih tinggi di perbukitan. Bantuan tiba kepada mangsa yang kelaparan, dan ia memberikan sinar untuk mangsa mencicip makanan buat mengalas perut yang kelaparan.

(6)
Antara hal yang menitiskan air mata saya adalah, beliau sanggup memandu dalam lebat hujan selama berjam-jam, semata-mata mencari petrol untuk kegunaan kenderaan bagi menghantar bantuan, meskipun beliau berkaki palsu. Meredah air deras, dengan kekuatan sebelah kaki sahaja, sangatlah sukar. Selalunya, kaki kiri beliau akan cepat berasa lenguh dan perlu diurut. Tidak mengapalah, pasti ada ganjaran besar buat Abang Raja daripada Allah kelak.

(7)
Andai dia yang serba kekurangan dari segi sifat dan kudrat bisa menjadi penyelamat, malu juga andai kita yang sempurna segala sifat hanya memandang kosong tanpa mahu berkongsi apa-apa. Ayuh! Kita rancakkan misi bantuan.

Nota kaki:

Masihkah kalian ingat tentang iklan Petronas sempena Hari Kebangsaan pada tahun 2005 mengenai lelaki yang kehilangan kaki dengan tagline “Jalan Mesti ke Depan, Bukannya Ke Belakang” lakonan Othman Hafsham?

Jalan cerita dalam iklan itu adalah buah fikir beliau, dan ia menyentuh sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupnya di dunia ini.

Selamat berbakti, Abang Raja! Kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian tuan menabur bakti. Tiba masa, para perantau ini akan pulang ke Kelantan untuk menyambung misi Abang Raja, agar ia tidak terhenti!



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.