KERAJAAN Australia akan menolak permohonan Malaysia untuk membawa pulang
bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar kerana hukuman
yang dijatuhi ke atasnya adalah hukuman mati.
Akhbar Australia, Sydney Morning Heraldmelaporkan jurucakap Jabatan
Peguam Negara Australia menyebut undang-undang ekstradisi negara itu
tidak membenarkan seseorang diserahkan kepada negara lain untuk
kesalahan yang boleh dihukum dengan kematian melainkan negara ini telah
memberikan satu akujanji kepada Australia bahawa hukuman itu tidak akan
dilaksanakan.
“Australia menentang hukuman mati. Kita menentang hukuman mati di Australia dan di luar negara,” menurut laporan itu.
Sirul dan seorang lagi anggota UTK Azilah Hadri dijatuhi hukuman gantung
sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan, Selasa lepas selepas keputusan
Mahkamah Rayuan yang membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh model
Mongolia, Altantuya Shariibuu, ditolak.
Panel lima hakim sebulat suara mendapati Sirul dan Azilah bersalah dan hukuman gantung berkenaan dikekalkan.
Sirul tidak hadir ke mahkamah ketika hukuman tersebut dijatuhkan dan dipercayai berada di Australia sejak enam bulan yang lalu.
Polis akan mendapatkan kerjasama dengan Polis Persekutuan Australia
untuk memberkas Sirul yang menurut rekod Jabatan Imigresen, ke negara
tersebut pada Oktober lepas.
Kedua-duanya sebelum ini pada April 2009 didapati bersalah oleh Mahkamah
Tinggi atas pertuduhan membunuh model Mongolia Altantuya sembilan tahun
lalu tetapi kemudian dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan.
– MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.