Kira-kira 100 penduduk kampung di Sepang hari ini menyerahkan memorandum
kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bagi membantah projek ternakan
babi di kawasan tersebut.
Salah
seorang wakil penduduk, Hanapiah Mohamad berkata, beliau berharap agar
kerajaan negeri dapat memindahkan projek ternakan itu memandangkan ia
dibuat di kawasan yang majoritinya kaum Melayu.
Katanya, sebagai penduduk, dia tidak menghalang projek ternakan itu dibuat.
Bagaimanapun, katanya, dia mengharapkan supaya projek itu dibuat ditempat lain berikutan bau busuk yang melanda kampung di kawasan sekitar projek ternakan itu.
"Kita minta supaya dialihkan penempatan itu ke tempat lain. Dan bukan di kawasan di situ. Kerajaan Negeri ada kuasa untuk alihkan projek itu.
"Jadi kita harap dipindahkanlah. Kita bukan menolak projek ini tetapi kita minta dipindahkan ke tempat yang jauh," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum memorandum di serahkan kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Radzi Razak.
Ketua Kampung Tumbuk Darat, Tarmudi Tushran turut berpendapat bahawa
kawasan projek ternakan babi itu tidak sesuai di kawasan hampir dengan
penduduk kampung.
Katanya, walaupun teknologi penternakan yang digunakan canggih, namun bau yang kurang enak tetap ada.
"Teknologi itu kita setuju. Canggih. Tapi tempat tak sesuai sebab hampir dengan kampung. Babi ini ada bau kurang enak.
"Tapi kalau dah kata canggih sangat teknologinya, kenapa tak buat di Shah Alam sahaja?" katanya.
Sebelum itu, kesemua penduduk yang hadir di bangunan Setiausaha Kerajaan
Negeri (SUK) Shah Alam membawa sepanduk yang bertulis "Rumah babi
diutamakan, rumah rakyat dipinggirkan" dan "Rakyat tolak projek babi".
Selain itu, terdapat juga kain rentang yang mengecam ADUN Tanjung Sepat
Mohd Haslin Hassan yang bertulis "YB Ir Haslin sokong penempatan babi,
kami rakyat bantah".
Selepas memorandum diserahkan, seorang lelaki daripada kumpulan tersebut
dengan memakai kain di muka dan memegang sangkar burung yang berisi dua
ekor ayam, tiba-tiba enggan berganjak dan berkeras mahu menyerahkan
sangkar itu kepada Azmin.
Lelaki tersebut yang tidak diketahui identitinya itu tiba-tiba meluru
menuju ke bangunan SUK. Bagaimanapun, dia dihentikan oleh seorang
anggota polis iaitu DSP Che Din Ali daripada IPD Shah Alam.
Bagaimanapun, lelaki tersebut tiba-tiba menjerit dengan melafazkan dua kalimah syahadah dan 'lailahailallah'.
Selepas itu, beliau berjaya ditenteramkan oleh seorang lagi anggota
polis yang kemudiannya mengiringinya keluar dari kawasan bangunan SUK.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.