Presiden
PERKASA, Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman fitnah terhadap
akhbar The Star dan seorang lagi berhubung penerbitan sebuah artikel
yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya, pada 2 November lepas.
Ibrahim, 63, memfailkan saman itu melalui Tetuan Adnan Sharida &
Associates menggunakan proses "e-filing" di Mahkamah Tingggi Kuala
Lumpur, bagaimanapun kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu menamakan Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Star Publications (M) Berhad Datuk Seri Wong Chun Wai sebagai
defendan pertama dan Star Publications (M) Berhad sebagai defendan
kedua.
Dalam pernyataan tuntutan, Ibrahim mendakwa pada 2 November lepas, Wong
telah menulis dan menerbitkan artikel berjudul "A mind-boggling spin"
di blognya "On the Beat" dan artikel itu kemudian diterbitkan semula di
'The Star Online' dan akhbar The Star.
Beliau mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu membawa maksud
antaranya ialah plaintif seorang pelampau agama, memperlekeh agama
Kristian dan telah melakukan kesalahan besar serta tidak sepatutnya
dilepaskan.
Selain itu, Ibrahim berkata artikel itu mendakwa beliau adalah pelampau
yang sentiasa terlepas daripada tindakan undang-undang, sepatutnya
ditangkap dan didakwa di bawah Akta Hasutan.
Artikel itu juga mendakwa plaintif mengeluarkan kenyataan yang menyerang
dan menghina penganut agama Kristian serta menimbulkan perbalahan dan
permusuhan di antara kaum dan penganut agama di negara ini.
Ibrahim mendakwa bahawa disebabkan perkataan fitnah itu, reputasi beliau
terjejas teruk, mengalami kerugian teruk dan dipandang rendah oleh
masyarakat.
Sehubungan itu, Ibrahim memohon defendan membayar ganti rugi am, teruk,
teladan dan injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan,
menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan memfitnah terhadapnya
sama ada secara maya atau bercetak.
Selain itu, beliau juga memohon faedah atas jumlah penghakiman pada
kadar lima peratus setahun, kos tindakan dan apa-apa relif yang
difikirkan sesuai oleh mahkamah.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.