KINI isu kenaikan gaji Ahli Parlimen galak diperdebatkan. Wajar atau
tidak kenaikan gaji tersebut setelah begitu lama gaji MP tidak dinaikkan
dan tahun lepas cadangan kenaikan gaji tersebut ditolak awal-awal lagi
oleh Ketua Pembangkang dan PR kerana kenaikannya begitu tinggi.
Isu
sekarang, bukan wajar atau tidak tetapi berapa peratus kenaikan itu?
Aku sokong sangat jika gaji atau elaun MP dinaikkan kali ini tetapi
mesti munasabah dan tidak begitu menghiris hati dan perasaan rakyat yang
kini tertekan dengan kos kehidupan yang semakin tinggi tambahan pula
harga minyak petrol dan diesel baru saja dinaikkan sebelum Hari Raya
Korban baru-baru ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
bersetuju dengan cadangan kenaikan gaji MP tetapi beliau menegaskan
kenaikan itu harus dilakukan dengan kadar yang rendah dan munasabah
kerana ia sudah lama tidak dinaikkan.
"Saya menunggu cadangan daripada kerajaan, dan pada dasarnya kita setuju
kalau kenaikan itu pada tahap yang rendah dan munasabah," kata beliau
kepada Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini.
Kelmarin Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata elaun MP yang
sekarang ini berjumlah kira-kira RM6,500 adalah antara yang paling
rendah di dunia.
Beliau berkata cadangan kenaikan pada 2012 sebelum ini
tidak dipersetujui
pembangkang. Anwar pula berkata beliau sebelum ini menolak cadangan
tersebut pada 2012 kerana kenaikan itu terlalu mendadak dan tinggi.
"Dulu saya telah membuat kenyataan menolak kerana kenaikan itu agak
mendadak. Tetapi oleh kerana cadangan dan bertahun tiada kenaikan, kita
bersetuju tetapi dengan kadar yang kita anggap munasabah," kata beliau.
Mengapa kita perlu sokong kenaikan gaji MP ini? Di antaranya adalah seperti berikut;
1. MP terutamanya dari PR tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat
bagi kawasan-kawasan yang mereka wakili dan sekiranya ada sekalipun
bukan diberikan terus kepada MP dari PR dan ini menyukarkan perancangan
Wakil Rakyat berkenaan untuk membangunkan kawasan masing-masing.
2. Pengurusan dan pentadbiran Pejabat Khidmat MP perlu kepada
peruntukan bagi menyediakan segala kelengkapan pejabat, kelengkapan
lojistik dan juga elaun kepada kakitangan Pusat Khidmat di kawasan
masing-masing.
3. Terbukti masih banyak Pusat Khidmat Wakil Rakyat khususnya dari PR
yang menyediakan tabung derma memohon sumbangan orang ramai hanya untuk
menyediakan kelengkapan dan peralatan pejabat seperti kemudahan
komputer, kertas komputer, dakwat komputer, Telefon/Fax, kemudahan
Internet dan berbagai lagi bertujuan untuk melicinkan lagi pengurusan
pejabat untuk menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat.
4. Terdapat kakitangan pejabat MP yang tidak bergaji atau mendapat
elaun yang terlalu rendah bahkan kadangkala dibayar dan kadangkala
tidak. Namun mereka faham MP dari PR lebih mengutamakan rakyat di
kawasan mereka dan MP tidak mempunyai cukup wang untuk kakitangan
pejabatnya sendiri.
5. Menyedari bahawa pengurusan yang licin dan sistematik serta
mempunyai kakitangan pejabat yang cekap memerlukan kos dan MP tidak
mampu untuk menangung kesemuanya.
Atas dasar ini, maka wajarlah gaji atau elaun para MP ini dinaikkan agar
mereka mampu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisyen
lagi, Ini bukan masalah MP tidak menghiraukan kesusahan rakyat, tetapi
langkah ini juga akan menjadikan MP lebih bersemangat untuk membela
nasib rakyat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.