Followers

Monday, September 29, 2014

Krisis Pakatan: Di belakang risiko ada peluang AHMAD LUTFI OTHMAN

 

PEMILIHAN Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali sebagai menteri besar baru Selangor, walaupun tidak pernah dicadangkan mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat kepada sultan, diharap dapat meredakan ketegangan politik negeri termaju yang berpanjangan begitu lama.

(Untuk rekod, mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 17 Ogos lalu mencadangkan dua nama, Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin. 


Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mengusulkan nama tersebut dan diterima sebulat suara dalam mesyuarat berjalan penuh harmoni. Namun begitu, apa yang berlaku seterusnya tidak selicin yang diharapkan).

Proses untuk menggantikan Abd Khalid Ibrahim bukan saja tidak mudah, berliku-liku, juga menimbulkan korban yang besar. "Anwar Ibrahim sendiri boleh dianggap mangsa pertama Langkah Kajang jika dilihat penghakiman kes mahkamahnya. Dia menjadi seteru yang cukup digeruni Putrajaya jika bertakhta di Selangor," kata seorang pemerhati.

Bagaimanapun, yang peliknya, isu yang bermula sebagai krisis dalaman KeADILan tiba-tiba sahaja telah menjadi "wabak dahsyat" dalam PAS, yang kemudiannya mengakibatkan hubungan antara parti dalam Pakatan kelihatan retak.

PAS bagai terbelah dua. Ramai mengkritik keras bagaimana tempangnya ia menguruskan krisis sehingga wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang berucap pada hari terakhir di muktamar Batu Pahat pun turut menegur agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah untuk meleraikan kekusutan.

Muktamar julung kali di Johor itu juga dicemari insiden keluar dewan tanda protes perwakilan kepada TImbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Bacaan doa yang menyebut nama-nama orang tertentu semasa sesi perbahasan ucapan dasar juga jelas tidak disenangi, apatah lagi seolah-olah ada kumpulan sorak yang menganggu ucapan perwakilan, termasuk penjelasan pengerusi lajnah, seperti dialami Hanipa Maidin.

"Anak saya, baru tingkatan empat, sebaik mendengar bacaan doa tersebut, yang kemudiannya dibantah oleh perwakilan Kuala Kedah, terkejut dan terus keluar dari tapak muktamar," cerita seorang rakan, yang turut membawa keluarganya ke Batu Pahat.

"Menyedihkan. Budak berusia 16 tahun itu tentu sekali tak faham kenapa hal itu boleh berlaku dalam muktamar PAS," tambahnya.

Semua maklum, pelantikan Khalid sebagai MB sejurus PRU12 turut tidak disenangi pimpinan tertinggi KeADILan Selangor. Bukan itu sahaja, ada exco kanan kerajaan negeri daripada PAS juga seperti tidak memberi sokongan sepenuhnya kepada Khalid, apatah lagi ada pelawaan Umno untuk membentuk kerajaan campuran, yang ditolak bulat-bulat PAS Pusat.

Selepas menang besar dalam PRU13, peluang menggantikan Khalid tertutup rapat apabila tiada nama lain diajukan kepada istana. Penguasaan Pakatan terhadap 44 kerusi Dun dikaitkan dengan prestasi cemerlang Khalid.


Masalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) ini, terutama "kepatuhannya" kepada arahan dan kehendak partinya, KeADILan, bukan isu baru, malah sudah dikesan sejak awal penggal pertama lagi, namun ia belum dianggap kudis yang merimaskan.

Mungkin bagi pihak tertentu, kelemahan dan kekurangan Khalid dalam parti boleh dianggap kehebatan pada kaca mata umum. Sifat kedekut dan legasinya meninggalkan rizab tunai RM3 bilion menjadi buah mulut ramai, tetapi namanya akan terpahat sebagai MB yang mempunyai kedudukan tersendiri  dalam senarai 14 nama sebelum Azmin.

"Saya tak boleh faham mengapa Khalid beria-ia sangat mahu pertahankan rizab sampai RM3 bilion dan begitu kedekut belanjakannya untuk kepentingan rakyat Selangor, terutama pelaburan modal insan, seperti peruntukan biasiswa dan seumpamanya," kata seorang profesor di UiTM.

"Setakat RM500 juta itu kira okeylah," tambahnya, tanpa menafikan jasa dan sumbangan besar Khalid terutama daripada segi amanah, ketelusan dan tidak mengagihkan projek kepada kroni, kaum kerabat ataupun suku-sakat dalam parti.

"MB terdahulu, semua tersungkur kerana dikaitkan dengan rasuah dan salahlaku moral. Khalid boleh berbangga dari segi itu, dia jatuh secara bermaruah," ulas seorang veteran Umno. "Harap Azmin dapat ambil iktibar dan teladani apa yang terbaik dari Khalid," katanya lagi.

Azmin juga diharapkan dapat merawat dengan segera keretakan dalam Pakatan. Semua arif bahawa proses menggantikan Khalid telah menimbulkan krisis besar. Digambarkan majoriti rakyat, bukan sahaja di Lembah Klang, malah di seluruh negara, "bosan dan meluat" dengan rentetan konflik yang nampak mudah pada awalnya tetapi seterusnya menjadi sulit dan tegang.

Tokoh-tokoh besar Pakatan yang sebelumnya cermat dan teliti menangani cabaran - yang sebenarnya jauh lebih rumit, seperti isu Hudud, Negara Islam dan kalimah Allah - dilihat terjebak dalam kemelut emosi.

"Saya faham kalau Pakatan pecah kerana isu fundamental seperti Hudud, tapi janganlah persefahaman ini punah disebabkan jawatan MB Selangor. Memalukan," kata kolumnis Selena Tay, dengan nada sedih semasa berkunjung ke pejabat Harakah.

Ketika saya sendiri begitu terganggu dengan perbahasan dan ucapan penangguhan pada muktamar PAS di Batu Pahat, seorang rakan memanjangkan kenyataan Husam Musa, Naib Presiden yang dikaitkan dengan "kumpulan Erdogan".

Ucapannya semasa berkempen dalam PRK Pengkalan Kubor agak melegakan. Malaysian Insider melaporkan:

Mengulas mengenai pergeseran yang berlaku di antara kumpulan ulama dan profesional dalam PAS, Husam berkata partinya masih mencari keseimbangannya dan ia merupakan satu fenomena biasa.

“Dalam PAS ini saya tak panggil kemelut. Ia tenaga atom positif dan negatif sedang mencari titik keseimbangannya. Bumi pun berlaku gempa kemudian jadi betul balik bumi ni. Daripada dulu pun gempa bumi ada lepas tu berlaku lagi. Ia tak berhenti,” katanya.

Husam juga diminta mengulas mengenai ucapan penggulungan Ustaz Abdul Hadi Awang semasa muktamar. Katanya, ucapan Presiden PAS itu jelas menunjukkan ketegasan parti dan menampakkan parti Islam itu mempunyai hala tuju sendiri.

"Saya seronok nampak beliau tegas kerana ketegasannya penting untuk menunjukkan PAS sebuah parti yang ada pendirian,” katanya, seperti dilaporkan Malaysian Insider.

Dalam masa sama, ketika meneliti hasil wawancara Roketkini dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang disiarkan pada 17 September, gelora hati saya tambah reda.

Apabila ditanya bagaimana beliau melihat masa depan Pakatan Rakyat dalam keadaan yang seakan-akan sukar untuk bersama kerana perbezaan ideologi dan fraksi-fraksi tertentu, contohnya dalam PAS sendiri, Guan Eng menjawab:

"Saya tidak mahu komen tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan parti rakan. Biasalah politik, ada naik dan turunnya. Kadang-kadang masa akan menyembuh dan merawat semua masalah itu. Saya rasa keadaan masih belum jelas lagi. Biarlah kita tunggu seketika, ‘mungkin hari lebih siang, embun akan hilang’."

Menjawab soalan lain, berkaitan cadangan Wan Azizah sebagaia calon MB Selangor, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata:

"Kerajaan hanya boleh dibentuk dengan tiga parti secara bersama. Kurang satu pun jatuh. Mesti tiga parti bersama. 


Saya selalu melihat di belakang setiap krisis, ada peluang. Kalau krisis ini dapat diatasi dengan baik, itu akan mengutuh dan menguatkan lagi Pakatan Rakyat. Tentu ada risiko besar, tapi di belakang risiko, ada peluang.

"Kalau kita boleh utuhkan lagi, bermakna kita sudah berjaya lepasi satu ujian oleh BN yang berniat untuk memecah-belahkan kita."

Justeru, saya yakin, kalaupun ada perselisihan faham, atau luahan bicara yang nampak melukakan pihak lain, termasuk seolah-olah seperti berlaku serang-menyerang, bidas-membidas, "episod kelabu" ini akan segera berganti.


Tuduh-menuduh 'pengkhianat" juga mampu dileraikan dengan baik sekiranya semua pihak berlapang dada. "Ustaz Hadi sudahpun meluahkan apa yang terkilan di hatinya, termasuk dengan Anwar dan Langkah Kajang, saya lihat aspek positifnya. 


DAP juga begitu. Pimpinan KeADILan turut membidas secara terbuka. Ya, biarkan masing-masing bersuara. Bermuhasabahlah," ujar seorang pemimpin kanan PAS.

"Saya mengharapkan kewarasan, atau lebih tepat kebijaksanaan dan kematangan orang-orang tua dalam Pakatan seperti Ustaz Hadi, Anwar dan Lim Kit Siang. 


Memanglah, kalau nak disandarkan reaksi orang muda yang aktif dalam parti masing-masing semasa sudah menang, memang mudah sangat Pakatan berpecah," pandangan seorang tokoh akademik, sambil menyebut nama-nama pemimpin muda yang baginya kadang-kadang "bermulut celupar".

"Terutama Ustaz Hadi, Kit Siang, tidak terkecuali Anwar, dan yang lebih muda, misalnya Mat Sabu dan Guan Eng, semuanya mendaki perjalanan siasah yang perit, menerima pelbagai tekanan berat kerajaan. 


"Saya yakin, ada titik-titik persamaan  yang mampu menyelamatkan gabungan politik ini."

Babak sukar ini memang terasa panjang, tetapi jalan keluar masih terbuka luas. Dapat difahami setiap parti juga berdepan tekanan dalaman agar tidak dilihat mudah tunduk kepada rakan dalam Pakatan.

"Paling teruk adalah PAS. Seluruh media menghentamnya sebagai parti yang paling tua. paling ramai ahli dan banyak cawangan, lebih berdisiplin tetapi dibuli oleh KeADILan dan DAP. 


Kesabaran dan hemah pimpinan PAS tergugat tapi janganlah bertindak di luar batas," seorang wartawan kanan yang berpengalaman lebih 30 tahun menelefon saya.

Dia juga menggesa saya agar mempersoalkan isu pelantikan Azmin sebagai MB, yang dilihatnya bertentangan prinsip amalan demokrasi berparlimen dan raha berperlembagaan.

"Bukan saya mahu menderhaka atau mengungkit perkara yang sudah selesai, tapi apakah wajar seorang sultan menolak untuk menerima menghadap Wan Azizah, yang menerima sokongan majoriti 30 Adun," katanya.

"Jangan sampai rakyat menyimpan amarah dalam diam, terutama kalangan anak muda. Mereka bertanya, apakah sultan ada kuasa mutlak memilih siapa yang dikehendakinya dan parti-parti yang menang terpaksa terima, bimbang dilabel penderhaka dan biadap," tambahnya bersemangat. Saya terpaksa menyabarkannya.

Beliau tidak juga reda. Dibacakannya amaran Pengerusi Bersih, badan pemantau pilihan raya, Maria Chin Abdullah: "Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia akan “runtuh” jika parti majoriti tidak dapat memilih calonnya sendiri untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor.


"Krisis di Selangor bukan setakat untuk mencari calon terbaik menjadi ketua eksekutif tetapi ia juga berkaitan sama ada demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan boleh terus berfungsi."

Saya sekadar memberi reaksi: "Hati-hati sahabat, nanti tak pasal-pasal hang kena Akta Hasutan! Tak berbaloi bertembung dengan istana." Saya juga bimbang serangan strok boleh berulang dalam keadaan  nampak begitu beremosi walaupun dia bukanlah penyokong KeADILan pun.



HARAKAHDAILY 20/9.2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.