Followers

Wednesday, July 2, 2014

Mahathir terus teja Najib

 
Banyak pihak bercakap mengenai ketidakwajaran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga cadangan untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan satu akta baru. 
 
Masing-masing tidak setuju dengan pemansuhan itu dan berpandangan pemansuhan akta itu memburukan keadaan negara misalnya bertambahnya kejadian jenayah.

Antara orang yang mempertikai dan melahirkan rasa kurang senang dengan cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948 ialah bekas PM Dr Mahathir Mohamad. 
 
Katanya penghapusan itu boleh menyebabkan keadaan negara huruhara. Katanya apabila akta itu ditiadakan ia memudahkan untuk orang melakukan hasutan.

Sependapat dengan Mahathir ialah bekas IGP Musa Hassan. Katanya kalau akta itu dihapuskan dikhuatiri asas perpaduan dan keharmonian masyarakat selama ini menjadi sasaran orang tidak bertanggungjawab.

Sejauh manakah benar dan logiknya alasan diberikan kedua-dua mereka itu terutamanya Mahathir. 
 
Sebelum ini Mahathir dilihat orang yang berpandangan ke depan melakukan perubahan, tetapi berlainan berhubung soal ini. Beliau seakan premitif dan nampak sangat bimbang.

Apakah kebimbangan Mahathir itu berasas? Atau pun beliau sengaja menimbulkan itu kerana hendak menekan Mohd Najib Razak. 
 
Umum tahu pemansuhkan akta ISA dan cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948 adalah sebahagian dari transfomasi pentadbiran dilakukan Najib. 
 
Sedikit sebanyak Najib mendapat pujian atas keberaniannya memansuhkan akta berkenaan.

Setidak-tidaknya akta yang disifatkan kolot, usang dan undang-undang rimba itu sudah tidak ada lagi, walaupun ia diganti dengan akta-akta baru. 
 
Setidak-tidaknya Najib berani menghapuskan akta yang menjadi phobia ramai.

Dalam hal ini saya tidak berasakan pandangan Mahathir itu tepat dan ikhlas. Beliau berbuat begitu kerana hendak memburukkan imej Najib. 
 
Iya sebahagian daripada taktik Mahathir yang mahu Najib berundur dari kerusi PM kini. Kita tahu Mahathir kini sedang merancakkan tekanan ke atas Najib.

Beberapa polisi pentadbiran Najib dikritik hebat oleh Mahathir. Mahathir juga mengkritik Najib berhubung kehilangan pesawat MH370 yang hilang ghaib sampai ke hari ini.

Untuk kempen mendesak Najib ini Mahathir boleh panggil mana-mana orang untuk bersamanya. Tindakan Musa Hasan itu juga dilihat ke arah itu. 
 
Sebagai bekas ketua polis negara Musa relevan untuk memberi pandangan itu. Tetapi ketulusannya boleh dipersoalkan. 
 
Musa selepas bersara tidak mempunyai kedudukan istimewa. Dalam kata lain Najib tidak memberi apa-apa anugerah sebagai cenderamata buatnya. Tidakkah kritikan Musa itu juga sebagai sebab kecewa?

Kesimpulannya kebimbangan Najib dan kritikan ke atas pemansuhan akta Hasutan 1948 itu dan lainnya dibuat sebagai suatu bentuk tekanan psikologis ke atas Najib bukan sesuatu yang tepat. [wm.kl.6:32 pm 01/07/14]


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.