Setelah
Perdana Menteri, Najib Razak memberikan kenyataan bahawa desas-desus
perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hanyalah
rekaan politik pihak-pihak tertentu saja dan diikuti pula dengan
perasaan lega pengundi serta ahli-ahli UMNO Pagoh menerima perkhabaran
itu, hakikat yang berlaku mungkin adalah sebaliknya.
Sebagaimana
yang selalu terjadi, penafian tidak lagi bermaksud sesuatu itu tidak
akan berlaku, malah lebih merupakan petunjuk bahawa khabar angin semakin
hampir menjadi kenyataan.
Ini
berikutan tidak berapa lama selepas Najib menafikan ada sebarang
pertukaran orang nombor duanya, dikhabarkan pula bahawa Muhyiddin telah
pun berlepas ke Jakarta dengan diikuti oleh beberapa orang pengikut
serta rakan karibnya dalam dunia politik.
Beberapa
nama telah disebutkan sebagai antara yang pergi menemani Muhyiddin ke
Jakarta itu dan antaranya memang diketahui sebagai penyokong setia dan
mereka yang selalu jatuh bangun bersama-sama dengannya.
Sumber
yang dekat dengan Muhyiddin memberitahu, pemergian itu ada kaitan untuk
membincangkan perkembangan politik terbaru mengenai dirinya serta
hubungannya dengan Perdana Menteri yang menjadi bualan ramai ketika ini.
Difahamkan,
hasil daripada perbincangan di Jakarta itu nanti, tidak mustahil
Muhyiddin akan membuat sesuatu keputusan yang mengejutkan. Namun tidak
mustahil juga beliau dinasihati terus kekal dan bersabar sehingga
pilihanraya umum akan datang.
Sebelum
tersebar berita mengenai perletakan jawatan Muhyiddin yang dihebohkan
melalui media sosial, sudah lama sebenarnya kedengaran mengenai hubungan
dinginnya dengan Najib Razak kerana beliau difahamkan tidak bersetuju
dalam beberapa perkara tetapi tidak mampu bertindak berikutan pemusatan
kuasa yang terlalu tertumpu kepada Najib dan Seri Perdana.
Blog ini
turut mendedahkan kesengsaraan yang dialami oleh Muhyiddin sebagai
pemimpin nombor dua yang seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.
Berbanding ramai pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa dengan Najib,
Muhyiddin mungkin merupakan orang yang paling sengsara dan terseksa
jiwanya.
Kemudian
dari itu, bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam dalam
blognya juga menulis bahawa Muhyiddin memang diketahui telah memberitahu
beberapa rakannya mengenai hasrat untuk meletakkan jawatan dan walaupun
alasan yang diberi ialah umur tetapi dikatakan juga menyimpan perasaan
kecewa yang mendalam tentang beberapa hal.
Najib
pula, disebalik menafikan desas-desus mengenai Muhyiddin tetapi masih
lagi menangguhkan rancangannya untuk merombak kabinet, meskipun wakil
daripada MCA dan Gerakan yang sebelumnya dipelawa dan dijanjikan jawatan
dalam kabinet sudah tidak sabar-sabar mahu berada dalam kerajaan.
Rombakan
kali ini, selain bertujuan memasukkan wakil MCA dan Gerakan, dipercayai
juga untuk menaikkan pangkat sepupunya, Hishammuddin daripada Menteri
Pertahanan kepada Menteri Kewangan. Langkah itu pastinya akan membuatkan
Muhyiddin tersinggung kerana ia menunjukkan seolah-olah Najib sedang
mempersiapkan Hishammuddin untuk mengambil alih tempatnya.
Penafian
Najib sambil mengatakan ia hanyalah rekaan politik tetapi dalam masa
yang sama masih menangguhkan rombakan kabinet, lebih membuktikan bahawa
beliau memang ada rancangan untuk menaikkan pangkat Hishammuddin sambil
menyisihkan Muhyiddin secara perlahan-lahan.
Jika
rombakan kabinet sekadar untuk memasukkan wakil MCA dan Gerakan atau
menukar portfolio beberapa menteri UMNO yang tidak menjejaskan masa
depan Muhyiddin, tiada sebab Najib masih menangguhkannya sehingga
sekarang.
Namun,
oleh kerana isu ini sudah menjadi perbualan ramai, kemungkinan besar
ianya ditukar atau ditangguhkan dahulu sehingga keadaan reda. Tetapi
Muhyiddin dikatakan semakin memahami permainan politik Najib dan nasib
yang bakal menimpa dirinya.
Dalam
masa yang terdekat ini nampaknya ada dua perkara yang menjadi penantian -
rombakan kabinet dan pengumuman Muhyiddin mengenai masa depannya hasil
perbincangan dengan rakan-rakannya di Jakarta itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.