Followers

Sunday, June 29, 2014

35 Menteri Dan 28 Timbalan Menteri, Najib Boleh Hantar Pasukan Menteri JPM Ganti Sepanyol Di Piala Dunia


Najib boleh hantar pasukan Menteri JPM ganti Sepanyol di Piala Dunia [gambar fail]
Perlantikan tiga menteri dan tiga timbalan menteri baru daripada MCA dan Gerakan yang diumumkan Perdana Menterimenjadikan Kabinet Malaysia semakin bertambah dengan 62 orang anggota iaitu 35 menteri dan 28 timbalan menteri.

Hal itu menjadikan kabinet Datuk Seri Najib Razak adalah paling besar dalam sejarah Malaysia dan tidak pernah berlaku sebelum ini, baik di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tindakan itu ternyata mendapat kritikan daripada beberapa pemimpin termasuk penganalisa politik tanah air yang majoritinya mempertikaikan keputusan Najib berbuat demikan.

Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Syed Husin Ali, berkata dengan penambahan dua lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, jumlah menteri portfolio itu kini meningkat kepada 10 orang.

Katanya, jumlah itu mencukupi bagi Najib membentuk pasukan bola sepak dan bertanding dalam Piala Dunia yang sedang berlangsung di Brazil.

“Dengan 10 orang menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri, jumlah itu sudah lebih dari mencukupi untuk membentuk pasukan bola sepak. Najib boleh jadi kapten, hantar pasukan kabinet itu ke Brazil untuk menggantikan Sepanyol,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata jumlah pelantikan itu terlalu besar dan akan mendorong kepada pembaziran.

Katanya, lebih banyak wang rakyat rakyat bakal dihabiskan untuk membayar gaji dan elaun menteri dengan skop kerja dan bidang tugas menjadi semakin sedikit.

“Inilah hebatnya Najib. Sebelum beliau memperoleh banyak wang melalui cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan pada April 2015, beliau sudah mempunyai perancangan ke mana wang itu mahu dibelanjakan. Ini pemimpin yang memandang ke hadapan dengan gaya pemikiran di ‘luar kotak’.

“Bagi Najib, jika beliau boleh bazirkan wang dengan perbelanjaan super mewah selama ini, apalah sangat dengan penggunaan wang rakyat untuk memiliki 35 menteri dan 10 menteri di JPM saja,” tulisnya di blog.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.