Followers

Thursday, January 30, 2014

PKR Dedah Individu Paling Tertekan Dalam Umno Ekoran Anwar Bertanding Di DUN Kajang - Posted by Addin Deen


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak dapat menyembunyikan tekanan dengan langkah politik PKR hari ini. 
Rakyat secara umum mengetahui PKR, dengan dukungan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersetuju bersama atas semangat Pakatan Rakyat untuk meletakkan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang, yang kosong akibat peletakan jawatan Lee Chin Cheh.

Reaksi pantas Khairy Jamaluddin sebagai selebriti media sosial dijangka, dengan segera memperolok-olokkan Anwar atas keputusan tersebut yang secara jelas mendedahkan bahawa Umno Barisan Nasional cuba mengalihkan perhatian rakyat yang berminat untuk mengetahui senario politik di Selangor ini. 

Saya tidaklah memandang berat komen kosong Khairy Jamaluddin tersebut, tetapi inilah bentuk tekanan awal yang dizahirkan oleh pimpinan Umno Barisan Nasional.

Sejak awal lagi, Umno Barisan Nasional cuba membina persepsi negatif terhadap perkembangan tersebut melalui tweet dan sebaran media sosial kerana menyedari impak penyertaan Anwar ke dalam kancah politik Selangor secara khususnya, yang hampir pasti memberi pukulan lebih hebat kepada mereka pada masa ini sudah tidak lagi relevan di Selangor.

Anwar mahu jadikan Selangor sebagai model pentadbiran di Putrajaya

Memang wujud tekanan dan persepsi berbeza daripada semua golongan, dan PKR berbesar hati untuk menerima perbezaan tersebut. Benar akan berlaku sebuah pilihan raya kecil yang menurut sesetengah pihak, sebagai membazirkan wang rakyat, namun, meneliti keperluan dan permintaan untuk menyediakan perkhidmatan lebih efektif kepada rakyat, maka Anwar mengambil langkah progresif dan berani sebagai persediaan Selangor menjadi model pentadbiran di Putrajaya kelak.

Tindakan ini mungkin tidak popular, tetapi PKR yakin ia adalah strategi terbaik dan penuh perancangan serta dedikasi supaya apa yang diperjuangkan selama ini kembali ke landasan yang tepat dan ini adalah harga yang perlu dibayar untuk sebuah perubahan.

Anwar Ibrahim dan PKR komited dengan janji untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus dan berani walaupun berdepan kritikan dan teguran.

Pentadbiran Pakatan Rakyat yang memasuki usia enam tahun di Selangor serta Pulau Pinang bukanlah seperti anak kecil yang merangkak.This child is growing, dan bersedia menempuh fasa baru yang lebih matang dan mencabar.

Anwar kini adalah pemimpin, yang bersedia berkongsi pengalaman luasnya di dunia politik untuk manfaat bersama rakyat Selangor. Kini, beliau berpeluang berperanan lebih jelas dalam pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor.

Hubungan Pakatan Rakyat erat dan tidak mudah goyah

PKR menelusuri 15 tahun penubuhannya dengan isu dan cubaan politik yang pelbagai. Malah dari tempoh waktu itu, 6 tahun parti ini membina setiakawan dan pakatan yang erat dengan PAS dan DAP. 
PKR menerima baik perbezaan pendapat dan yakin bahawa hubungan ini sangat erat dan tidak mudah goyah dek satu lagi cubaan politik baru.

Saya menyedari wujud usaha untuk menggeserkan hubungan erat dalam Pakatan Rakyat, namun meyakini bahawa setiakawan yang terbina sejak penggal lalu akan menjadi sandaran untuk Pakatan bersama menempuh sekali gus meningkatkan kembali pemahaman dan keyakinan rakyat terhadap matlamat kami.

Iltizam untuk memberikan reformasi pentadbiran kepada rakyat Malaysia, nyata mengatasi segala-galanya. PKR bersama PAS dan DAP tidak akan layu dek kerana label dan momokan kosong yang menjadi acahan Umno Barisan Nasional bagi mengalih isu semasa.

Khairy, dalam peranan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia Sukan tidak harus ghairah menjadi populis, sedangkan pentadbiran kerajaan persekutuan Umno Barisan Nasional lebih tenat dan melupakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Khairy boleh memilih untuk menghiburkan pengikutnya di laman sosial dan menjadi selebriti politik, tetapi jangan sesekali cuba menyembunyikan tekanan dan keresahan dengan penyertaan Anwar ke DUN Selangor. 
Tekanan Khairy begitu dirasai, dan saya yakin tekanan ini sedang membara dan sedikit masa lagi Umno Barisan Nasional akan berhabis-habisan menyerang peribadi calon PKR di N25 Kajang.

PKR komited untuk terus melawan bagi menjadi pemangkin perjuangan rakyat. Lawan tetap lawan!


Manivanan Gowin
Ahli PArlimen Kapar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.