Menteri
Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan
menyediakan perkhidmatan bas percuma, mengekalkan cukai premis kediaman
selain menyediakan rumah mampu milik dan menambah peruntukan beberapa
program dan skim yang sedia ada, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi
Selangor (MES) bagi menghadapi tahun 2014.
Beliau
berkata, biarpun Selangor mempunyai kuasa terhad dalam menentukan harga
barangan keperluan dan perkhidmatan, itu tidak bermakna kerajaan negeri
hanya membiarkan keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan
perkhidmatan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, peluang sama rata
juga diberikan kepada seluruh rakyat yang menetap di Selangor bagi
menikmati hasil negeri tanpa mengambil kira keturunan atau kedudukan .
"Saya memberi jaminan bahawa
sejak Pakatan Rakyat menerajui kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008,
kita tidak mengamalkan fahaman populis, sosialis dan sebagainya.
"Sebaliknya program-program
kebajikan dalam dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah berterusan dan
diterima baik oleh majoriti rakyat negeri ini," kata Khalid dalam satu
kenyataan sempena Tahun Baru.
Selain itu, Khalid berkata
kerajaan Selangor memahami bebanan rakyatnya yang khuatir kenaikan
barang dan perkhidmatan seperti tol dan kadar elektrik boleh menyebabkan
harga kediaman rumah mampu milik menjadi mahal.
Katanya lagi, di atas
kepercayaan rakyat yang memilih PR pada pilihan raya lalu, telah
mendorong kerajaan negeri meneruskan kecemerlangan apabila dalam
Belanjawan Negeri Selangor 2014, sebanyak RM2.28 bilion diperuntukkan
bagi pembangunan negeri dan rakyatnnya.
Menurut Khalid, rakyat Selangor bakal menyaksikan kerajaan negeri menyediakan beberapa langkah mengurangkan beban rakyat.
"Lebih dari itu kerajaan negeri
juga mahu keupayaan rakyat ditingkatkan bukan sekadar menerima pelbagai
bantuan kebajikan, antaranya menerusi pembangunan desa yang dijangka
dilaksanakan di kesemua daerah Selangor pada tahun depan," katanya.
Beliau pada masa turut menegur
rakyatnya untuk menghormati kebebasan hak beragama seperti titah Sultan
Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Demi keharmonian yang
berkekalan, saya percaya rakyat berbilang kaum dan agama serta budaya di
Selangor sedia mengambil maklum akan titah Sultan Selangor Duli Yang
Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Setiap rakyat perlulah
menghormati kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara
sensitif yang boleh mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara
tidak diingini," katanya. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.