Bekas Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini mengesahkan telah melepaskan
jawatannya sebagai penasihat kepada Petronas, berkuatkuasa semalam.
Dr Mahathir berkata
surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak baru-baru ini. Beliau berkata sudah masa untuk beliau
meninggalkan syarikat petroleum negara itu kerana faktor usia serta
ingin menumpukan perhatian kepada kesihatannya.
"Saya sudah 10 tahun bersama Petronas, saya rasa Petronas sudah beroperasi dengan baik dan mempunyai untung banyak," katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita selepas menganjurkan jamuan tengah hari untuk peserta
forum antarabangsa “Politik Kesederhanaan Ke Arah Keamanan dan
Kestabilan” sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Kuala Lumpur hari
ini.
Dr Mahathir dimasukkan
di Institut Jantung Negara pada 16 November lepas dan dirawat hampir 10
hari setelah didapati terkena jangkitan paru-paru.
Ditanya sama ada beliau
turut berhasrat untuk berundur daripada Proton Holdings Bhd, beliau
berkata masih belum berfikir untuk berbuat demikian.
Selain itu, Dr Mahathir
berharap Petronas dapat mengekalkan peranannya untuk meningkatkan
penyertaan usahawan muda dalam syarikat itu. ~bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.