Malaysia dilaporkan menikmati belanjawan lebihan (surplus) antara tahun
1993 hingga 1997, iaitu semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai
Menteri Kewangan, kata Pengarah Eksekutif Institut Rakyat, Azrul Azwar
Ahmad Tajudin.
Beliau berkata, dalam tempoh itu negara berjaya mencatat lebihan RM6.6
bilion, iaitu nilai tertinggi yang pernah dicapai dalam bajet tahunan.
Bagaimanapun katanya, prestasi kewangan negara menjunam ke paras defisit
yang teruk pada tahun 2009 semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Sejak 2009, kita lihat perbekalan tambahan paling kurang dua kali
setahun hingga menyebabkan perbelanjaan keseluruhan meningkat hampir
RM260 bilion sehingga kini,” katanya, lapor Media Selangorku.
Azrul Azwar berkata demikian pada Forum Laporan Audit Negara:
Kepincangan Urustadbir, Ketirisan dan Rasuah di Dewan Sivik Majlis
Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.
Laporan Audit yang dibentangkan baru-baru ini menunjukkan beberapa
pembaziran dan ketirisan melampau antaranya, projek menambahbaik
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; projek mewujudkan Malaysian
Emergency Response Services (MERS) 999 oleh Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan; projek pembentungan negara dan kelewatan
mengutip cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings pada Ogos lalu turut meletakkan
unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif serta
mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan
terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini.
Azrul berkata, hutang negara kini mencecah RM500 bilion dengan peratusan
KDNK sebanyak 35 peratus sehingga hujung tahun 2012.Menurutnya lagi,
tiada jaminan daripada Kerajaan Pusat untuk berbelanja secara berhemah
kerana perbekalan tambahan dikeluarkan sekurang-kurangnya dua kali
setahun sejak 2009.
“Kita akan sukar untuk kekalkan hutang negara di bawah 55 peratus pada
setiap masa kerana tiada sebarang reformasi fiskal dilakukan oleh
kerajaan,” katanya lagi. ~kd
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.